KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melipatgandakan penguatkuasaan bagi memastikan tidak berlaku ketirisan bekalan minyak masak paket bersubsidi dan botol.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementeriannya juga akan membuat advokasi supaya pengguna faham dengan keadaan semasa dan membantu supaya mengehadkan pembelian minyak masak kampit satu kilogram yang bersubsidi.
“Penguatkuasaan akan dilipat gandakan bagi memastikan tiada ketirisan dalam penggunaan minyak masak,” katanya seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sidang media Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Putrajaya hari ini.
Menurut Alexander, KPDNHEP mempunyai lebih 2,000 anggota penguat kuasa dan 72 Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) yang dapat bergerak pantas apabila ada aduan.
Baca: Subsidi minyak masak peket masih diteruskan – PM
Harga siling ayam, telur dan subsidi minyak masak kemasan botol tidak diteruskan
Selain itu, katanya, hampir 1,000 pegawai pemantau harga yang membantu memantau keadaan bagi memastikan tidak berlaku ketirisan dalam penggunaan minyak masak.
“Penguatkuasaan amat penting, kita lihat kepada semua minyak masak botol dan peket. Memang kita pantau dari segi harga dan ketirisan,” katanya.
Kerajaan mengekalkan subsidi minyak masak paket 1 kg yang kini dijual pada harga RM2.50 meski pun harga minyak sawit global melonjak.
Sehubungan itu, aspek penguatkuasaan penting bagi memngelak subsidi kerajaan tiris kepada pihak tidak sepatutnya terutama bagi mengelakkan daripada diseludup ke luar negara.

