KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan satu rangkaian sindiket penyelewengan minyak masak peket bersubsidi yang dipercayai mengaut keuntungan dengan menjual semula bekalan subsidi kepada pihak ketiga selepas diproses di premis haram.
Dalam operasi bersepadu hasil risikan dan pemantauan Bahagian Penguat Kuasa KPDN bersama beberapa agensi penguatkuasaan, tiga serbuan dilakukan di dua premis di Seremban, Negeri Sembilan dan sebuah premis di Seri Kembangan, Selangor.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, premis terbabit dipercayai dijadikan pusat penyimpanan serta pemprosesan minyak masak peket bersubsidi secara tidak sah.
Menurutnya, pemeriksaan menemukan sejumlah besar minyak masak peket bersubsidi dan cecair disyaki minyak masak yang disimpan dalam tangki IBC, tong simpanan serta pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk pemindahan, pemotongan dan penyimpanan minyak sebelum diedarkan semula.
“Siasatan awal mendapati pengendali premis gagal mengemukakan lesen atau dokumen sah berkaitan aktiviti penyimpanan dan urus niaga barang kawalan berjadual seperti yang dikehendaki di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Modus operandi sindiket dipercayai membabitkan lapan jenama tempatan dan pembekal yang mempunyai lesen barang kawalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sindiket dipercayai mendapatkan bekalan minyak masak peket bersubsidi daripada pembungkus atau pemborong sebelum dihantar ke premis haram untuk dipotong daripada bungkusan asal.
Katanya, minyak masak itu kemudian dikumpulkan dan disimpan dalam tangki IBC sebelum dipercayai dijual kepada pihak ketiga termasuk pengusaha minyak masak terpakai atau Used Cooking Oil (UCO) bagi memperoleh keuntungan lebih tinggi.
Dalam operasi berkenaan, pasukan serbuan menyita minyak masak peket bersubsidi, cecair disyaki minyak masak, tangki IBC, pam, hos penyambung, forklift, lori, telefon bimbit, kotak pembungkusan dan pelbagai peralatan lain yang dipercayai digunakan dalam kegiatan itu.
“Secara keseluruhan, lebih 59,000 kilogram minyak masak dan cecair disyaki minyak masak dirampas dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM393,040,” katanya.
Azman berkata, sembilan individu turut ditahan bagi membantu siasatan membabitkan tiga warga tempatan dan enam warga asing.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki menjalankan urus niaga barang kawalan berjadual tanpa lesen sah daripada Pengawal Bekalan.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti penglibatan individu serta syarikat lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian sindiket berkenaan.
“KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi. Tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dan tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

