Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng GAMBAR: Abd Razak Aid

PENGARAH Syarikat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (ZCSB), Zarul Ahmad Mohd Zulkifli memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini Lim Guan Eng hanya tersenyum dan kelihatan gembira apabila menerima sampul surat berisi wang rasuah RM200,000 yang diserahkannya kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu pada 2013 dan 2014.

Zarul Ahmad, 62, berkata beliau menyerahkan wang RM100,000 kepada Lim pada 2013 sebagai tanda ‘milestone’ pembayaran perjanjian awal daripada keuntungan projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang.

“Sumber wang tunai RM100,000 ini adalah dari wang syarikat ZCSB. Duit RM100,000 ini adalah sebahagian wang rasuah daripada 10 peratus yang diminta oleh YB Lim Guan Eng,” katanya.

Zarul Ahmad berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes rasuah Lim yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Menceritakan kejadian itu, Zarul Ahmad berkata beliau telah membuat temu janji dengan Lim pada Ogos 2013 melalui setiausaha sulit kanan Lim untuk memberi laporan berkenaan projek tersebut dan juga mendapat nasihat hala tuju daripada ahli politik itu.

“Selepas perbincangan yang diadakan di pejabat YB Lim di tingkat 28, Bangunan KOMTAR, saya telah mengeluarkan sampul bersaiz A4 yang mengandungi duit tersebut.

“Saya sendiri telah menyerahkan sampul kepada beliau dan mengatakan kepadanya “Ini untuk tuan”. YB Lim mengambil sampul itu dan cuma tersenyum ketika menerimanya,” kata saksi pendakwaan ke-23 itu.

Berkenaan pembayaran kali kedua kepada Lim sebanyak RM100,000, Zarul Ahmad menjelaskan ia berlaku menjelang sambutan Tahun Baru Cina pada Januari 2014 di pejabat Lim di tingkat 28, Bangunan KOMTAR.

“Saya membawa wang tunai RM100,000 yang saya letakkan di dalam satu sampul putih. Sebelum menyerahkan wang itu, kami ada bercakap berkenaan perkembangan kajian ketersauran yang sedang saya lakukan berkaitan projek pembinaan tersebut.

Baca artikel berkaitan: Lim Guan Eng masuk IJN, bicara kes rasuah tetap diteruskan

“Pada peringkat ini, syarikat saya telah diberikan surat anugerah untuk melaksanakan projek tersebut. YB Lim menerima sampul putih itu setelah saya hulurkan kepadanya. Saya berada di pejabat YB Lim sekejap saja dan beliau kelihatan gembira setelah menerima sampul tersebut daripada saya,” katanya.

Zarul Ahmad memaklumkan wang itu juga sebahagian wang rasuah daripada 10 peratus yang diminta oleh Lim daripada keuntungan syarikat.

Terdahulu, Zarul Ahmad menjelaskan Lim tidak meminta wang daripadanya tetapi beliau cuba menunaikan janji atas permintaan Lim yang menuntut 10 peratus daripada keuntungan daripada projek terowong dan jalan-jalan utama itu.

“Sebagai seorang ahli perniagaan, etika untuk mengotakan janji adalah penting. Semua sumber wang yang saya dapat pada waktu itu adalah daripada dana modal kerja.

“Dana tersebut saya peroleh daripada pelabur seperti Pengarah Urusan Ewien Zenith Sdn Bhd (EZCB) mendiang Datuk Ewe Swee Kheng. Saya menyimpan sebahagian daripada sumber tersebut dalam bentuk tunai untuk membuat sumbangan kepada YB Lim,” katanya.

Lim berhadapan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta, dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek itu dan dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011.

Lim yang juga bekas setiausaha agung DAP itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat, yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram