Bekas pembantu khas mengaku tak bersalah tipu Teresa Kok, terima suapan RM500,000

Dari Penulis

BEKAS pembantu khas kepada Teresa Kok mengaku tidak bersalah selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menipu Ahli Parlimen Seputeh itu.

Pada masa sama, Edmund Teoh Kheng Yaik, 40, turut didakwa atas satu pertuduhan menerima suapan berjumlah RM500,000 berhubung perolehan papan pintar, dua tahun lalu.

Edmund Teoh membuat pengakuan tersebut selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

“Faham pertuduhan, tidak mengaku bersalah,” katanya yang berada di kandang tertuduh dengan memakai kemeja berwarna putih.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Edmund Teoh didakwa memperdaya Teresa, 62, hingga mendorong Ahli Parlimen Seputeh itu mempercayai hanya dua sekolah di Parlimen tersebut memohon sumbangan papan pintar interaktif.

Tindakan itu dilakukan sedangkan tertuduh tahu sebenarnya terdapat 16 sekolah membuat permohonan.

Tindakan tertuduh itu didakwa mendorong Teresa memberikan persetujuan bagi permohonan sumbangan melalui sistem My-Khas di bawah Projek Mesra Rakyat Parlimen Seputeh, yang mana beliau tidak akan memberikan persetujuan itu sekiranya tidak diperdayakan.

Edmund Teoh didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Seputeh di Sri Desa Entrepreneurs Park, Jalan 1/116B, Off Jalan Kuchai Lama, pada Jun 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Edmund Teoh didakwa telah menerima suapan wang tunai RM500,000 daripada seorang lelaki berusia 37 tahun di kawasan tempat letak kereta sebuah stesen minyak di Jalan Kuchai Maju, Kuchai Lama, pada 12 Ogos 2024.

Suapan itu sebagai upah kerana membantu lelaki berkenaan mendapatkan sumbangan bagi pembekalan papan pintar interaktif serta peralatan berkaitan untuk 16 sekolah di parlimen berkenaan daripada syarikat TMT IT Solutions milik isteri lelaki berkenaan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

PRN Johor: SPR keluarkan 24,677 kertas undi pos

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan sebanyak 24,677 kertas undi pos kepada individu yang berhak untuk mengundi secara pos. Setiausaha...

More Articles Like This