SUSULAN penerbit Datuk A Aida mahu mengambil tindakan saman pada Jumaat lalu, akhirnya pelakon Amelia Henderson dan Idris Khan tampil membuat kenyatan.

Menyifatkan tuduhan yang dibuat oleh A Aida dalam sidang media itu tidak berasas dan fitnah, Idris memberitahu akan membela diri kerana yakin berada di pihak yang benar.

“Beberapa dakwaan dan tuduhan yang dilemparkan terhadap saya dalam sidang media itu adalah tidak berasas dan bersifat fitnah.

“Atas nasihat peguam yang mewakili saya, prosiding undang-undang untuk mendedahkan kebenaran akan diteruskan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Langgar kontrak, A Aida saman Amelia Henderson & Idris Khan

Dalam pada itu, Idris turut menentang sekerasnya sebarang bentuk ancaman dan buli dalam masyarakat, apatah lagi dalam industri hiburan.

“Terdapat segelintir pihak yang menggunakan kedudukan dan kuasa dengan memeras ugut supaya mengikut rentak mereka atau menanggung akibatnya.

“Saya akan melawan penyalahgunaan kuasa secara terang-terangan ini hingga ke akhirnya.

“Saya tidak akan berdiam diri menghadapi sebarang ancaman yang memperkecilkan peribadi, integriti dan prinsip saya dalam hidup.

“Pihak yang pernah bekerjasama dan mengenali saya sepanjang saya berada di dalam industri ini boleh mengesahkan komitmen dan etika bekerja saya yang tidak boleh dipertikaikan,” ujarnya.

Sementara itu, menerusi perkongsian video di Instagram, Amelia mengakui agak terkejut dengan sidang media tersebut kerana menganggap isu terbabit boleh diselesaikan secara tertutup tanpa melibatkan media.

“Saya percaya perkara ini boleh diselesaikan secara tertutup tanpa melibatkan media dan orang awam. Saya faham kontrak tersebut, tetapi saya tidak melanggarnya.

“Apa yang boleh saya cakap, watak dalam skrip yang diterima pada Mei lalu tidak sama seperti mana ditawarkan ketika awal perbincangan untuk berlakon dalam drama tersebut,” ujarnya.

Jelasnya, selepas menandatangani kontrak pada Februari lalu, dia masih belum menerima skrip penuh drama tersebut dan tarikh sebenar penggambaran dimulakan juga belum diketahui.

Selain itu, Amelia menjelaskan watak dan skrip baharu yang diterima juga membuatkan dia tertekan dan risau, terutama sekali mengenai jalan cerita drama tersebut.

“Saya diberitahu watak yang dipegang adalah tentang wanita yang kuat namun apabila terima skrip ia adalah sebaliknya. Jalan cerita drama ini membuatkan saya tertekan dan risau.

“Sebagai seorang pelakon saya ada tanggungjawab untuk memberi contoh baik kepada penonton, tetapi sewaktu membaca skrip ia bertentangan dengan prinsip saya dan saya tidak boleh terima. Lebih teruk lagi ia tidak sama seperti digambarkan awal dahulu,” ungkapnya.