BARU-baru ini penyanyi, Rihanna diumumkan sebagai jutawan wanita termuda di Amerika Syarikat dalam senarai ‘self-made woman 2022’ yang dikeluarkan oleh majalan perniagaan terkenal, Forbes.
Rihanna atau nama sebenarnya Robyn Rihanna Fenty, 34 tahun telah meraih hasil pendapatan kesuluruhan sebanyak RM 6.2 bilion secara tidak langsung menduduki tempat ke-21 dalam senarai dan jutawan pertama yang berasal dari negaranya iaitu Barbados.
Selain itu, dengan kedudukannya masa kini, dia berjaya memintas selebriti terkenal Amerika Syarikat, Kylie Jenner yang sebelum ini memegang gelaran tersebut selama tiga tahun berturut-turut.
Kylie bagi edisi kali ini hanya berada di tangga 41 dengan nilai pendapatan yang diraih sebanyak RM2.6 bilion daripada perusahaan kosmetiknya.
Forbes turut menyatakan, hasil pendapatan yang diraih oleh penyanyi lagu Diamonds itu adalah daripada saham jenama pakaian dalam Savage x fenty di samping menjadi pengasas produk kecantikan dan kosmetik Fenty Beauty.
Senarai yang meliputi pelbagai latar belakang wanita berjaya itu juga memuatkan nama-nama selebriti lain seperti Oprah Winfey yang menduduki tempat ke-10 dan juga Kim Kardashians pada tangga ke-16 dengan nilai pendapatan masing-masing sebanyak RM 11.5 bilion dan RM 7.9 bilion.
Tidak terlepas juga nama-nama selebriti terkenal lain yang turut tersenarai adalah Celine Dion, Beyonce, Reese Witherspoon dan juga Sandra Bullock.

