SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan sebanyak 24,677 kertas undi pos kepada individu yang berhak untuk mengundi secara pos.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, ia seperti yang diperuntukkan di bawah Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.
“Pengeluaran kertas undi pos pada 29 Jun (Isnin) dijalankan oleh Petugas Pilihan Raya di semua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN),” jelasnya dalam kenyataan.
Khairul Shahril memberitahu, kesemua 24,677 kertas undi pos tersebut terdiri daripada 23,288 kategori Borang 1A (Petugas Pilihan Raya, Ahli/Pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera, dan petugas media).
Jelasnya, 1,044 kertas undi pos lagi adalah bagi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara), dan 345 kertas undi pos kategori Borang 1C (agensi/organisasi).
Katanya, proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding.
“SPR mengingatkan kepada semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Perisytiharan Identiti (Borang 2).
“Selain itu serta segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus DUN berkenaan sebelum pukul 5 petang pada hari mengundi iaitu 11 Julai 2026 (Sabtu).
“Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial,” katanya.

