RATU Pop Hollywood, Beyonce mengumumkan album baharu berjudul Act II: Cowboy Carter yang mengetengahkan genre muzik country.
Album tersebut dijangka akan dilancarkan pada 29 Mac ini menerusi laman web dan sosial medianya.
Beyonce atau nama sebenarnya Beyoncé Giselle Knowles-Carter, 42, merupakan seorang penyanyi pop yang lahir di Houston, Texas dan pernah memenangi beberapa anugerah muzik termasuk Anugerah Grammy bagi Best Song of the Year pada 2010.
Dalam sebuah temu ramah di Knox News baru-baru ini, Dolly Parton ditanyakan tentang spekulasi bahawa Beyonce telah merekod salah satu lagu hit milik Parton untuk album tersebut.
“Ya, saya fikir Beyonce telah melakukannya. Saya rasa dia telah merakamkan lagu Jolene dan mungkin akan dimasukkan dalam album country tersebut.
“Ia membuatkan saya sangat teruja tentang itu,” ujarnya memetik laporan CNN Entertainment.
Ratu muzik country ini telah lama mengagumi Beyoncé dan telah menjalinkan hubungan rapat sejak sekian lama.
Dia menganggap Beyoncé sebagai penyanyi yang hebat, sementara Ratu Pop itu bersama ibunya pula merupakan peminat tegar Parton.
“Kami sentiasa menghantar mesej secara berterusan selama bertahun-tahun.
“Dan dia serta ibunya adalah seperti peminat, membuatkan saya sentiasa terharu walaupun saya sentiasa fikir dia seorang penyanyi yang hebat,” katanya lagi.
Ini bukan kali pertama buat Parton menyuarakan pendapatnya tentang Beyoncé.
Selepas single terbaru Beyoncé, Texas Hold ‘Em yang meraih tangga lagu country tertinggi, Parton telah memberi kenyataan sebagai tanda penghargaan.
“Saya seorang peminat tegar Beyoncé dan sangat teruja melihat dia melancarkan album country.
“Jadi, tahniah atas single nombor satu anda di tangga lagu country Billboard Hot,” kata Parton menerusi media sosialnya.

