“Dan langit itu Kami bangunkan dengan kekuasaan Kami…” – Di sebalik alam semesta yang semakin mengembang

Dari Penulis

SEBELUM abad ke-20, tiada seorang pun ahli astronomi pernah mengemukakan teori tentang pengembangan alam semesta, sekalipun ilmu kaji bintang telah wujud sejak beberapa abad sebelum Masihi lagi.

Pada ketika itu, pemahaman manusia hanya bersandarkan kepada fakta bahawa alam semesta adalah bersifat statik.

Bagaimanapun, penelitian yang dilakukan oleh astronomi moden telah menemui fakta di mana alam semesta sebenarnya mempunyai permulaan dan ia terus menerus mengembang secara konsisten.

Fakta ini terungkap pada awal kurun ke-20 ketika ahli astronomi dari Rusia, Alexander Friedmann bersama rakan sejawatnya dari Belgium, George Lemaitre secara teori telah menghitung dan menemui proses pengembangan ini.

Alexander Friedmann dan George Lemaitre, saintis astronomi terawal menemui proses pengembangan alam semesta.

Berdasarkan perkiraan, kedua-dua saintis itu mendakwa kadar kelajuan pengembangan yang berlaku itu didapati berkurangan sedikit demi sedikit. Ia secara konsisten mengembang dan mereka mengibaratkannya seperti belon yang sedang ditiup. Bagaimanapun, teori ‘the expending universe’ ini hanya dianggap sebagai hipotesis dan golongan saintis pada ketika itu masih sukar untuk menerimanya.

Pada tahun 1915, Albert Einstein juga telah melakukan kajian secara teori fizik dan mendapati bahawa alam semesta sememangnya tidak statik seperti yang didakwa oleh beberapa saintis lain. Penemuan ini bagaimanapun dirahsiakan olehnya kerana tidak ingin mewujudkan teori yang bertentangan dengan pendapat terkemuka pada waktu itu yang mempercayai alam ini abadi dan statik.

Albert Einstein juga mendapati alam semesta tidak bersifat statik.

Lima tahun selepas itu, ahli astronomi Amerika Syarikat, Edwin Hubble telah mengemukakan bukti baru tentang hipotesis ini. Berdasarkan cerapan yang dilakukan, beliau mendapati bahawa bintang-bintang di dalam galaksi Bimasakti berada pada kedudukan yang semakin berjauhan – menunjukkan alam semesta ini sememangnya mengembang.

Namun, pada 1928, Thomas Gold dan Hermann Bondi pula telah mengutarakan teori ‘Steady State’ dan menolak prinsip Big Bang. Thomas dan Hermann berpandangan bahawa alam semesta ini tidak pernah ada permulaan, malah ianya berkeadaan sama sejak dahulu hinggalah sekarang.

Pada tahun 1948, teori ini sekali lagi berubah apabila Goerge Gamow tampil menyatakan bahawa sekiranya pembentukan alam semesta dimulakan dengan satu letupan besar, sisa radiasi daripada letupan ini seharusnya wujud dan tersebar secara rawak di segenap pelosok cakerawala.

George Gamow.

Akhirnya pada 1965, komuniti saintis astronomi telah menemui gelombang-gelombang tertentu di udara yang mengesahkan tentang kewujudan Big Bang, seterusnya menolak pendapat yang mengatakan alam semesta ini bersifat statik.

Selama hampir satu abad manusia bertungkus lumus untuk mengesahkan hipotesis tentang kewujudan alam semesta ini, pelbagai pendapat telah diutarakan oleh ahli-ahli sains untuk mengukuhkan hujah masing-masing.

Alam semesta mengembang selepas letupan Big Bang.

Namun, sesuatu yang menarik untuk diperkatakan ialah sebelum manusia memikirkan tentang teori pembentukan alam semesta dan sebelum fakta-fakta saintifik mengenainya berjaya diungkai oleh manusia, Al-Quran dilihat terlebih dahulu menyatakan tentangnya.

Firman Allah; “Dan langit itu Kami bangunkan dengan kekuasaan Kami, dan sesungguhnya kami benar-benar meluaskannya (musi’un).” (Surah Az-Zariyat; ayat 47)

Perkataan musi’un dalam ayat ini membawa maksud ‘meluaskan’. Dalam kamus bahasa Arab, perkataan tersebut berasal daripada kata akar wasa’a, yakni bererti sesuatu yang menjadi besar.

Imam Ibn Kathir mentafsirkannya sebagai langit yang semakin mengembang ke segenap penjuru. Pendapat ini kemudiannya diperkukuhkan lagi oleh Syeikh Said Hawa di dalam kitab tafsirnya yang bertajuk Al-Asas fi Al-Tafsir. Beliau menyatakan maksud ayat tersebut ialah Allah menjadikan langit ini dalam keadaan mengembang secara berterusan. Maka, ia adalah ayat mukjizat yang berkaitan dengan penciptaan alam semesta.

Pada Mei 1996, satu kenyataan akhbar dikeluarkan oleh pihak Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) berhubung dengan teori pengembangan alam. Dua kumpulan saintis antarabangsa membuat kajian dan mendapati alam semesta ini mengembang pada kadar kelajuan antara 57 kilometer hingga 80 kilometer sesaat.

Persamaan antara ayat al-Quran ini dengan pembuktian saintifik menerusi teori pengembangan alam semesta sesungguhnya tidak dapat dinafikan lagi. Pada hari ini, teori ini telah diiktiraf saintis dunia dan menjadi pegangan dalam ilmu kosmologi moden.

Fakta :

  • Berdasarkan kepada kajian kosmologi, Big Bang atau letupan besar merupakan sebuah peristiwa yang menyebabkan pembentukan alam semesta. Letupan itu telah membentuk ruang, masa, tenaga dan jirim. Ledakan Big Bang berlaku sekitar 14 bilion tahun dahulu dan ia terus mengembang sehingga kini. Letupan itu telah menyebabkan cakerawala bertaburan dan berpecah-pecah. Proses pengembangannya kemudian melahirkan bintang-bintang, planet, Matahari, Bulan dan seumpama dengannya.
  • Alam semesta yang kita ketahui sekarang ini awalnya berasal daripada gas yang berserakan secara teratur di angkasa lepas kemudian menjadi kabut lalu membentuk kumpulan kosmos.
  • Alam semesta awalnya dalam keadaan sangat panas dan padat. Selepas letupan besar, ia mengembang secara terus menerus sehingga ke hari ini. Ketika ini, alam semesta berada pada tahap panas yang tidak terhingga.
  • Komuniti saintis yang menyokong teori ‘steady state’ menyatakan alam semesta bukanlah tercipta, tetapi ia telah wujud sejak azali, konsisten serta kekal. Justeru fahaman ini menganggap alam semesta seperti ini tidak memerlukan untuk kita mempercayai sang Pencipta.
  • Komuniti saintis yang mendokong teori Big Bang pula menyatakan alam semesta bermula daripada satu titik yang memiliki isipadu sifar. Titik tanpa sebarang isipadu membawa maksud sesuatu tidak wujud. Justeru, alam semesta dicipta daripada sesuatu yang tiada dan ia sudah semestinya dilakukan oleh Tuhan.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

‘Di dasar laut, saya menemui kebesaran Allah’ – Afizah 

"Saya sangka dasar laut hanya dipenuhi ikan dan batu karang. Rupa-rupanya, di situlah saya belajar erti kehidupan." Luah Pengasas Mikraj...

More Articles Like This