SALAH satu empayar dunia yang terkenal zaman dahulu ialah empayar Parsi. Di bawah pemerintahan Cyrus the Great, empayar ini muncul antara yang terkuat dan terluas setelah berjaya menawan banyak negara bertamadun hebat.

Cambyses II merupakan pewaris Cyrus the Great. Beliau merupakan maharaja Parsi yang menempa kejayaan selepas menewaskan firaun Mesir, Psammetichus III, pada 525 SM. 

Di sebalik kejayaan penaklukan Cambyses II, ada juga kisah aneh yang dikaitkan dengan kehilangan 50,000 orang tenteranya dalam suatu kejadian misteri.

Kisah mengenai tentera Cambyses yang hilang telah direkodkan oleh seorang ahli sejarah Greek, Herodotus, yang dipercayai pernah mengembara ke Mesir selepas 75 tahun pencerobohan Parsi ke atas wilayah itu.

Dalam sebuah buku bertajuk  ‘Book III: Herodotus Histories’, diceritakan satu angkatan tentera Cambyses  telah diarah menyerang penduduk Ammon di Siwa dan membakar sebuah tempat suci.

Selepas mendapat arahan,  angkatan tentera tersebut  telah  memulakan perjalanan menuju ke Ammon melalui sebuah lokasi yang digelar ‘The Isles of the Blest’- sebuah kawasan padang pasir yang terletak di Kharga, Mesir. Bagaimanapun, ketika angkatan tentera berkenaan melalui lokasi tersebut, kesemua mereka dilaporkan ghaib tanpa meninggalkan sebarang jejak.  

Apa yang menjadi persoalan, ke mana angkatan tentera Cambyses itu hilang? Mengikut catatan Herodotus, terdapat saksi yang melihat kejadian tersebut iaitu penduduk Ammon sendiri. Dakwa mereka, kesemua angkatan tentera Cambyses telah dilanda ribut pasir yang kencang sebelum lenyap secara tiba-tiba.

Bagaimanapun, catatan yang direkodkan oleh Herodotus menimbulkan kesangsian di kalangan pengkaji. Ramai menganggap kisah mengenai kehilangan tentera Cambyses yang diceritakan oleh ahli sejarah Greek itu dianggap sebagai sebuah cerita rekaan bagi menampakkan Cambyses seorang yang bodoh.

Pun begitu, pelbagai persoalan mengenai kehilangan tentera ini pada tahun 525 SM terus menarik minat pada penyelidik untuk mengkajinya.

Pada Februari 1977, satu laporan bertajuk ‘Lost Army Found’ yang ditulis oleh seorang wartawan, Marcus K.Smith,  cuba membongkar misteri kehilangan angkatan tentera tersebut.

Mengikut laporan itu, sekumpulan ahli arkeologi Mesir berjaya menjumpai beribu-ribu bukti seperti tulang manusia, pedang, dan tombak buatan Parsi. Bukti-bukti tersebut dipercayai milik angkatan tentera Cambyses yang telah dijumpai di kaki gunung Abu Balas. Malangnya, laporan tersebut telah dianggap palsu.

Kemudian, pada bulan September 1983 hingga Februari 1984, satu ekspedisi menjejaki angkatan tentera Cambyses telah dilakukan.  Ekspedisi tersebut merupakan satu penyelidikan yang dibiayai oleh Harvard University ,The National Geographic Society, Egyptian Geological Survey and Mining Authority dan Insititut Kajian Ligabue.  

Seramai 23 orang termasuk 20  ahli geologi Mesir dan pekerjanya, seorang  jurugambar National Geographic dan dua orang pembikin filem dokumentari dari Harvard Film Studies terlibat dalam usaha menjejaki kehilangan angkatan tentera Cambyses itu.

Sepanjang tempoh enam bulan penyelidikan, kumpulan tersebut telah menemui 500 buah tapak perkuburan masyarakat yang beragama Zoroastrian di sepanjang sempadan negara Mesir dan Libya.

Bagi mengesahkan penemuan tersebut, kumpulan penyelidik berkenaan telah melakukan beberapa siri ujian radiokarbon ke atas tapak perkuburan itu. Malangnya, hasil ujian yang dilakukan tidak mempunyai kaitan dengan kehilangan angkatan tentera Cambyses.

Selepas itu, pada tahun 2000, terdapat pula satu laporan mengenai sekumpulan ahli geologi dari Helwan University, telah menemui beberapa bukti di kawasan padang pasir El Bahrein, Mesir. Antara bukti yang dijumpai adalah mata anak panah dan tulang-tulang manusia.

Susulan itu, pada tahun 2005, satu lagi ekspedisi penyelidikan menjejaki angkatan tentera Cambyses dilakukan. Kali ini oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Toledo, Amerika Syarikat bersama Persatuan British dan Mesir yang melakukan kajian di padang pasir El Bahrein. Seperti penyelidikan yang dilakukan sebelum ini, kumpulan penyelidik tersebut turut menemui beberapa serpihan tulang-tulang manusia.

Bagaimanapun, pada November 2009, dua ahli arkeologi Itali, Angelo dan Alfredo Castigliono mengumumkan satu penemuan bersejarah, sekaligus membongkar misteri kehilangan 50,000 angkatan tentera Cambyses. Dua orang ahli arkeologi itu mendakwa  telah menemui beberapa bukti seperti tulang dan peralatan senjata milik tentera Cambyses di  lokasi ‘The Isles of the Blest’.

Angelo dan Alfredo menganggap penemuan mereka adalah bukti arkeologi yang pertama mempunyai kaitan dengan catatan yang dilaporkan oleh Herodotus. Sungguhpun begitu, dua orang penyelidik Itali ini tidak membentangkan bukti penemuan mereka melalui jurnal sains. Sebaliknya, mereka berdua mendokumentasikan bukti misteri kehilangan angkatan tentera Cambyses melalui filem.

Namun, penemuan itu menimbulkan keraguan oleh Majlis Tertinggi Barangan Antik Mesir (SCA). Setiausaha agungnya, Zahi Hawass ketika itu menyatakan dalam satu sidang media bahawa penemuan kedua-dua ahli arkeologi Itali itu adalah mengelirukan. Malah, Zahi turut memberitahu, Angelo dan Alfredo tidak mendapat kebenaran daripada  SCA untuk melakukan ekskavasi di Mesir. Oleh itu, sebarang dakwaan mereka berdua mengenai bukti kehilangan tentera Cambyses, adalah tidak benar.

Tidak lama dahulu, Profesor Olaf Kaper dari Universiti Leiden di Belanda tampil dengan teori berbeza. Hasil kajiannya mendapati, tentera Cambyses seramai 50 ribu orang itu tidak hilang, sebaliknya telah kalah dan dibunuh akibat diserang hendap oleh ketua pemberontak Mesir, Petubastis III.

Sehingga kini, misteri kehilangan tentera Cambyses 2,500 tahun yang lalu masih terus dikaji dan pelbagai teori dikaitkan dengan kehilangannya.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram