DALAM sejarah peradaban manusia, terdapat pelbagai tradisi aneh yang pernah dicatatkan. Salah satu daripadanya ialah kembiri iaitu memotong kemaluan.
Catatan paling awal menunjukkan tradisi kebiri bermula sekitar tahun 3500 Sebelum Masihi dari kota Lagash, Sumeria. Tradisi ini kemudian berkembang merentasi benua yang berfungsi di dalam pelbagai kebudayaan dan tamadun manusia.
Ketika awal tradisi ini diperkenalkan, ia lebih kepada satu bentuk hukuman, bertujuan untuk menghukum pesalah yang melakukan perkara sumbang dan menjaga maruah pihak keluarga wanita yang dirogol. Bagaimanapun, tujuan asal ini berubah dari semasa ke semasa mengikut kepentingannya dalam sesuatu tamadun.
Paling sinonim, peranan orang kasim (gelaran yang diberikan kepada lelaki yang tiada kemaluan), berkait rapat dengan pekerjaan di istana. Kebiasaannya, mereka menjadi orang yang berpengaruh di istana dan mendapat kepercayaan tinggi pemerintah kerana kecacatan fizikal yang disengajakan itu. Dengan kata lain, kecacatan fizikal itu akan menyebabkan mereka tidak berlaku curang terhadap gundik atau permaisuri raja.
Mereka umumnya berasal dari keluarga berkasta rendah dan bermula sebagai hamba di istana, sebelum memegang jawatan-jawatan penting dalam kerajaan. Bagaimanapun, lelaki yang melalui proses kembiri dianggap tidak mempunyai nilai dalam peperangan, kaum bangsawan ataupun keluarga mereka sendiri.

Antara kerajaan yang menggunakan khidmat orang kasim di istana ialah pemerintah Akhemenid dari Parsi serta dinasti Firaun di Mesir. Ia kemudian diteruskan sehingga dinasti Lagid yang dikenali sebagai Ptolemeus, tetapi tradisi ini berakhir selepas zaman pemerintahan Cleopatra.
Pada zaman China kuno, tradisi kembiri diperkenalkan semasa pemerintahan Dinasti Sui. Ia bertujuan untuk menjaga kelangsungan serta mengekalkan pewaris sesuatu dinasti itu sendiri.
Ketika itu, ramai lelaki memotong kemaluan mereka sendiri semata-mata untuk mendapatkan pekerjaan di istana. Sehinggakan pada akhir Dinasti Ming, terdapat 70,000 orang kasim di istana.
Dengan jumlah seramai itu serta mendapat kepercayaan penuh daripada raja, kekuasaan mereka seolah-olah melebihi perdana menteri. Justeru, kerajaan telah menetapkan satu peraturan yang melarang untuk melakukan kembiri diri sendiri. Jumlah tersebut akhirnya menurun secara mendadak kepada 470 orang pada tahun 1912. Selain China, sistem yang serupa juga didapati wujud di negara Vietnam.

Sejarah juga menunjukkan amalan ini turut dipraktikkan di benua Eropah semasa kekuasaan empayar Yunani dan Rom. Tetapi fungsi utamanya tidak sama seperti di Asia. Mereka lebih dianggap sebagai perisai raja dan dipercayai sebagai orang yang setia kepada pemerintah. Selain itu, ia juga dilakukan untuk mendapatkan kenyaringan serta fleksibiliti nada suara penyanyi bangsawan supaya kekal sama seperti seorang kanak-kanak.
Amalan ini juga dikatakan turut berlaku semasa zaman kegemilangan kerajaan Byzantine. Tetapi selepas penguasaan empayar Uthmaniah, amalan tersebut serta-merta dihapuskan kerana dianggap sebagai suatu penyeksaan yang melampau.
Tradisi kuno ini memerlukan tahap pengorbanan yang tinggi bagi seorang lelaki. Ini kerana lelaki itu telah menafikan haknya terhadap hubungan kelamin sepanjang hayat apabila kemaluan mereka dipotong. Dengan kata lain, mereka tidak lagi dapat merasai nikmat hubungan seksual, apatah lagi mempunyai zuriat atau pewaris.
Sebelum wujud teknologi moden, proses kembiri dilakukan melalui cara yang sangat berhati-hati. Kemaluan seorang lelaki termasuk buah zakarnya diikat sehingga menyebabkan darah tidak dapat mengalir. Keadaan itu dibiarkan beberapa hari sehingga alat sulit itu rosak. Kemudian, barulah ia dipotong sepenuhnya.
Untuk mengelakkan pendarahan, mereka akan menyapu abu di kawasan tersebut serta menancap bulu angsa pada salur kencing. Bulu angsa tersebut akan dicabut beberapa hari kemudian, dan sekiranya seseorang itu mampu kencing secara normal, proses kebiri dianggap berjaya. Jika tidak, seseorang itu akan menjadi cacat dan akan mati akibat keracunan kencing yang tidak boleh keluar.
Mungkin ramai yang keliru apabila menganggap orang yang telah di‘kembiri’ tidak lagi mempunyai keinginan untuk melakukan hubungan seksual. Perkara tersebut tidak selalunya benar kerana seorang lelaki yang tiada kemaluan masih mampu mengalami ereksi dan melakukan hubungan seksual. Bezanya, mereka tidak mampu membuat wanita hamil.
Sehingga kini, masih ada beberapa wilayah terpencil terutama di kawasan Asia yang masih menjalankan tradisi kuno ini. Mereka melakukannya dengan alasan ia adalah tuntutan keagamaan.
____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

