DRESDEN, sebuah bandar yang terletak di bahagian timur Jerman, merupakan salah satu kota warisan yang terdapat di negara itu. Kebanyakan bangunan di kota ini terdiri daripada struktur seni bina lama. Pemerintah mengekalkan binaan-binaan ini sesuai dengan statusnya sebagai sebuah bandar warisan dan menjadi salah satu prospek pelancongan.
Selain dikenali sebagai kota warisan sejarah, Dresden juga terkenal sebagai bandar muzik. Ia menjadi lokasi para ahli muzik di sekitar Jerman berkumpul untuk melakukan persembahan. Malah, pembelajaran tentang muzik turut ditekankan kepada setiap pelajar di bandar ini.
Salah satu gambaran muzik itu boleh dilihat pada sebuah bangunan unik di bandar ini yang mempunyai keistimewaan mengeluarkan bunyi muzik. Bangunan yang dikenali sebagai Neustadt Kunsthofpassage ini akan memainkan alunannya apabila hujan mula mencurah.
Bangunan ini dibina khusus untuk mengeluarkan alunan muzik apabila hujan turun yang menjadi salah satu mercu tanda kepada kota Dresden.


Neustadt Kunsthofpassage merupakan pangsapuri lama yang telah diubahsuai menjadi sebuah bangunan yang dipenuhi dengan corong-corong berbentuk instrumen muzik.
Pada asalnya, corong ini adalah salur atau palung air yang menyalurkan air hujan ke longkang. Kemudian, ia diubahsuai menjadi corong yang berbentuk seperti instrumen muzik yang boleh mengeluarkan bunyi.
Jika alat muzik seperti saksofon menggunakan kuasa angin untuk dibunyikan, corong-corong pada bangunan ini pula menggunakan kuasa hidro – iaitu kuasa air apabila hujan turun. Setiap kali hujan, penghuni di pangsapuri ini akan menikmati alunan muzik secara semula jadi.

Konsep bangunan ini telah direka oleh tiga orang anak muda iaitu Christoph Rossner, Annette Paul Andre Tempel pada tahun 1999 yang juga merupakan penghuni pangsapuri berkenaan.
Mereka juga adalah penuntut Universiti Dresden yang mengambil jurusan muzik orkestra. Konsep asal bangunan ini diilhamkan daripada sebuah gereja muzik yang terdapat di England.
Menurut ketiga-tiga anak muda ini, apabila hujan turun, muzik yang dikeluarkan adalah sekata. Bagaimanapun, tempo muziknya akan berubah-rubah, bergantung kepada tahap kelebatan hujan yang turun.
Muzik yang dimainkan oleh bangunan ini tidak seperti muzik yang selalu kita dengar, tetapi ia lebih kepada muzik eksotik atau kolektif yang boleh menenangkan jiwa pendengarnya.
Disebabkan terdapat banyak corong-corong air yang dipasangkan di bangunan ini, justeru alunan yang dikeluarkan persis seperti sebuah orkestra. Bagi orang kebanyakan, mungkin mereka tidak dapat memahami alunan muzik yang dikuasakan oleh hujan ini.
Selain mempunyai corong muzik, bangunan ini juga telah diwarnakan dengan cat berwarna-warni untuk menambahkan nilai estetika seninya menjadikan ia kelihatan menarik.


_______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

