Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi GAMBAR: Abd Razak Aid

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam menangguhkan perbicaraan kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) hari ini, ke Jumaat kerana saksi pendakwaan terakhir kes itu dijangkiti COVID-19.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran memberitahu Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bahawa saksinya yang merupakan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia memaklumkan perkara itu pada lewat malam tadi.

Raja Rozela berkata pihaknya akan memanggil saksi pendakwaan ke-18 itu selepas dia disahkan pulih daripada jangkitan berkenaan.

“Pihak kami dimaklumkan pada lewat malam tadi, pegawai penyiasat kes ini positif COVID-19. Jadi, kami tidak dapat memanggil dia hari ini.

“Kami mohon agar tarikh bicara pada minggu ini dikekalkan. Kami ingin mengambil kira bahawa jika saksi sihat pulih semula, sudah negatif, kami ingin memanggil saksi tersebut hadir pada Jumaat (29 Julai),” katanya.

Raja Rozela, yang mengetuai pasukan pendakwaan, turut memohon tarikh perbicaraan pada Ogos dikekalkan supaya dapat meneruskan prosiding itu.

“Sudah banyak tarikh bicara ditetapkan. Kita ada beberapa lagi pada Ogos ini, jika tiada aral melintang, perbicaraan boleh diteruskan ke tarikh itu,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Siapa sebenarnya tak faham realiti politik…Zahid atau PN?

Sebelum ini, mahkamah menetapkan tarikh sambung bicara pada 10, 11, 12 dan 24 Ogos.

Dalam perbicaraan itu, pendakwaan diwakili Raja Rozela, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob dan Zander Lim Wai Keong manakala Ahmad Zahid diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd Noh.

Ahmad Zahid, 69, menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, dia didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1,150,000; RM3 juta; 15,000 Swiss Franc dan US$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram