SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan terkini berhubung kes melibatkan seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah badan berkanun kerajaan mendapati wujud modus operandi penyalahgunaan kedudukan dalam urusan penjualan saham menggunakan dana awam.
Menurut sumber, individu berkenaan dipercayai menetapkan terma dan harga pembelian saham serta bertindak sebagai pencadang dan pelulus dalam rundingan tertutup dengan pemegang saham minoriti, sekali gus mempunyai kawalan penuh (absolute power) dalam keseluruhan proses tersebut.
“Siasatan awal turut menunjukkan elemen penerimaan rasuah dan pengubahan wang haram melalui pemindahan hasil transaksi ke entiti luar pesisir bagi menyembunyikan identiti penerima termasuk penggunaan akaun penama dan pemilik benefisial.
“Siasatan turut mendapati sebahagian dana dipercayai dilaburkan semula dalam syarikat tersenarai awam di Bursa Malaysia dianggarkan kira-kira RM30 juta bagi menyamarkan aliran kewangan sebagai pelaburan sah,” katanya.
Tambah sumber, susulan itu, aliran dana dikesan melibatkan enam akaun bank di Singapura dengan enam transaksi berjumlah lebih AS$48 juta, selain satu transaksi sekitar AS$3.3 juta di Labuan yang melibatkan dua pemilik benefisial syarikat yang menerima bayaran daripada dana awam.
Kata sumber, turut disiasat dua akaun bank di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dipercayai milik bekas CEO berkenaan, melibatkan kira-kira AS$10,000 dan AED37,000 (kira-kira RM80,000).
Keseluruhan aliran dana luar negara dianggarkan melebihi AS$51.3 juta dan dipercayai melibatkan syarikat yang ditubuhkan di British Virgin Islands (BVI).
Sumber menjelaskan, dalam perkembangan berkaitan, tambahan enam akaun individu bernilai kira-kira RM11 juta, menjadikan keseluruhan pembekuan kira-kira RM16.8 juta.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK), Datuk Mohamad Zamri Zainul, ketika dihubungi mengesahkan siasatan masih berjalan dan memaklumkan SPRM sedang memperluas skop siasatan.
Ini termasuk mendapatkan kerjasama pihak berkuasa luar negara seperti Singapura, British Virgin Islands (BVI), Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta Labuan bagi meneliti transaksi rentas sempadan dan mengesan aset berkaitan.

