Allah Taala mengarahkan Rasulullah s.a.w untuk menjelaskan kepada umat manusia bahawa jalan yang membawa kepada syurga adalah jalan Allah Taala yang dilalui oleh Baginda s.a.w. Firman Allah Taala dalam surah al-An‘am: 153,
“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain daripada Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu daripada jalan Allah. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertakwa.”
Di dalam ayat ini, umat Islam dilarang mengikuti jalan-jalan selain jalan yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. Jalan-jalan perpecahan ini merangkumi segala agama dan segala sunnah yang menyelisihkan agama dan sunnah Baginda s.a.w.
Ini adalah wasiat daripada Allah Taala untuk umat manusia. Sesiapa yang melaksanakan wasiat ini, dia akan termasuk dalam golongan yang bertakwa.
Jika kita membaca hadis-hadis tentang topik ini, kita akan dapati apabila Rasulullah s.a.w. diminta untuk memberi wasiat, Baginda s.a.w. juga mewasiatkan perkara yang sama iaitu agar umatnya menekankan aspek takwa. Caranya dengan berusaha mengikuti agama dan sunnah Baginda s.a.w..
Baginda s.a.w. juga mengkhabarkan kepada umatnya bahawa di akhir zaman akan muncul pelbagai agama dan sunnah yang menyelisihkan dan menyalahi sunnah Baginda s.a.w. Cara untuk menghadapi situasi ini adalah dengan berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah s.a.w.
Sabda Baginda s.a.w.,
“Aku mewasiatkan kamu semua agar bertakwa kepada Allah serta mendengar dan mentaati pemerintah walaupun dia adalah seorang hamba daripada Habsyah. Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepasku di kalangan kamu, pasti dia akan melihat perselisihan yang banyak; maka hendaklah kamu semua berpegang dengan sunnahku dan sunnah para al-khulafa’ al-mahdiyyin al-rasyidin. Berpegang teguhlah dengannya dan gigitlah dengan gigi geraham.” (HR al-Imam Abu Daud, No. 4607)
Hadis ini mengajar kita bahawa pegangan kita dalam beragama adalah al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. serta sunnah para al-Khulafa’ al-Rasyidin iaitu Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali radiyallahu ‘anhum ajma‘in.
Muncul 73 golongan
Di dalam satu hadis lain pula, Rasulullah s.a.w. menjelaskan, pegangan yang benar adalah pegangan yang menepati apa yang dijunjung oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya radiyallahu ‘anhum ajma‘in. Sabda Rasulullah s.a.w.
“Umatku ini akan berpecah kepada 73 golongan. Kesemuanya dalam neraka kecuali satu. Seorang lelaki bertanya, “Siapakah mereka wahai Rasulullah?” Jawab Baginda, “Apa yang aku dan sahabatku berada di atasnya.” (HR al-Imam al-Tirmizi, No. 2641 dan dihukum Hasan oleh al-Albani)
Allah Taala juga telah menjelaskan kepada kita bahawa cara untuk meraih keredaan Allah Taala adalah dengan mengikuti para sahabat. Firman Allah dalam surah al-Taubah: 100,
“Dan orang-orang yang terdahulu yang mula-mula berhijrah dan memberi bantuan daripada orang-orang Muhajirin dan Ansar, dan orang-orang yang menurut jejak langkah mereka dalam kebaikan (iman dan taat); Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia. Serta Allah menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.”

Disebabkan inilah apabila munculnya golongan Khawarij, Ibnu Abbas r.a berhujah dengan mereka; antara lain dengan menyebut,
“Mereka (para sahabat) lebih mengetahui huraian al-Quran berbanding kamu semua dan tiada seorang pun di kalangan mereka bersama dengan kamu.” (Athar riwayat al-Imam al-Nasa’I dalam al-Sunan al-Kubra, No. 8522 dan al-Hakim dalam al-Mustadrak, dan dihukum Hasan Sahih oleh al-Hakim dan al-Zahabi)
Islam liberal
Memahami hakikat ini, dapatlah disimpulkan bahawa pemikiran Islam liberal yang semakin menular dalam masyarakat Islam dewasa ini adalah satu pemikiran yang tersasar dan menyeleweng daripada kebenaran.
Golongan Islam liberal ini telah memperkenalkan diri mereka sebagai nama ‘Islam Liberal’ yang menggambarkan prinsip-prinsip yang kami anuti, iaitu Islam yang menekankan kebebasan peribadi dan pembebasan daripada struktur sosial-politik yang menindas.
‘Liberal’ di sini membawa dua maksud, kebebasan dan pembebasan. Kami percaya bahawa Islam selalu ditempel dengan kata sifat, sebab pada hakikatnya, Islam ditafsirkan secara berbeza-beza sesuai dengan keinginan pentafsirnya. Kami memilih satu jenis tafsiran dan dengan demikian satu kata sifat diberikan terhadap Islam, iaitu ‘Liberal’.” itu yang dinyatakan dalam web mereka islamlib.com
Berdasarkan pengenalan mereka terhadap pegangan mereka, amat jelas bahawa ‘Islam Liberal’ merupakan suatu aliran fahaman terhadap agama Islam yang tidak tertakluk kepada kefahaman mana-mana para sahabat radiyallahu ‘anhum, apatah lagi para ulama muktabar dunia Islam bermula daripada zaman Rasulullah s.a.w. hinggalah ke zaman ini. Jadi berhati-hatilah mendepani gerakan ini. Wallahu a’lam
______________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en
#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare

