Datuk Pandelela Rinong gagal dalam usahanya untuk membawa pulang pingat dalam acara wanita 10 meter (m) platform Sukan Komanwel Birmingham 2022. GAMBAR: BERNAMA

RATU terjun negara, Datuk Pandelela Rinong gagal dalam usahanya untuk membawa pulang pingat dalam acara wanita 10 meter (m) platform Sukan Komanwel Birmingham 2022, selepas hanya menduduki tempat ke-11 daripada 12 penerjun, di Pusat Akuatik Sandwell, Birmingham.

Pandelela, yang hanya mengumpulkan 260.90 mata, menerima 63.00 mata pada terjunan pertama, sebelum memperbaiki terjunan keduanya dengan menerima 66.7 mata.

Bagaimanapun aksi terjunannya selepas itu semakin menurun dengan hanya mengutip 52.80 mata untuk terjunan ketiga, dan terjunan terburuknya pada terjunan keempat (33.60 mata), sebelum menamatkan terjunannya hari ini dengan 44.80 mata.

Penerjun tuan rumah menguasai dua tempat teratas dengan Andrea Sirieix, 17, dengan terjunan yang cemerlang, membawa pulang pingat emas dengan mengumpulkan 357.50 mata, manakala Lois Mae Toulson, menang perak (337.30 mata).

Penerjun Kanada yang mengumpulkan 317.50 mata, menang gangsa.

Baca artikel berkaitan: Kejayaan Bonnie Bunyau banggakan negara – PM

Pandelela, yang memenangi pingat emas pada edisi New Delhi 2010 dan perak di Glasgow 2014, mengakui bahawa hari pertama berlangsungnya acara terjun ini, bukan hari untuknya.

“Lompat tak baik sangat, sedikit sedih tak lakukan seperti biasa, datang sini agak terkejar-kejar jadi ada sikit ‘jetlag’ and penat…kadang-kadang hari ini hari anda, namun hari ini bukan hari saya,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas acara tersebut.

Namun atlet dari Sarawak itu berjanji untuk kembali dengan lebih baik dan berharap akan dapat melakukan terjunan yang lebih konsisten dalam dua lagi acara yang akan disertainya iaitu wanita 10m platform seirama bersama Nur Dhabitah Sabri dan 10m platform seirama campuran bersama Jellson Jabilin.

Pada masa sama, beliau akui bahawa agak sukar untuk memenangi pingat di sini selepas penerjun lain telah memberikan cabaran hebat terutamanya penerjun tuan rumah, Sirieix dan Toulson.

“Hari ini hari mereka, jadi saya ucapkan tahniah kepada mereka berdua,” katanya.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram