PENYANYI dan penulis lagu yang juga penerima tiga kali platinum, Maximillian yang tampil membuat persembahan di hadapan penonton Malaysia bertempat di The Bee Publika berjaya menarik lebih 500 penonton.

Bermula dari bawah di kota Copenhagen pada usia 19 tahun sebagai artis, Maximmillian berjaya mencipta gelombang tersendiri di seluruh dunia menerusi lagu pengenalannya berjudul Beautiful Scars yang jelas menjadi lagu paling digemari pada malam itu.

Diiringi lautan bunga daisi sempena memberi penghormatan kepada negaranya serta muzik video lagu Beautiful Scars, menjadikan kehadiran Maximillian ke Malaysia begitu intim dan mengujakan.

“Malam yang begitu indah dengan limpahan kasih saya serta rasa syukur kerana akhirnya dapat bertemu peminat saya dari Malaysia secara dekat. Dapat menghiburkan dan dengar mereka nyanyi bersama lagu-lagu saya sambil melambai pegang bunga membuatkan saya rasa di awang-awangan.

“Bintang tempatan yang sedang meningkat naik, Meer Nash dan Athalia menjadi artis pembukaan showcase itu dengan mendendangkan lagu mereka berjudul Saranghae dan We Go Up. Tidak ketinggalan beberapa lagu tambahan serta nyanyian semula lagu penyanyi dari Denmark terbabit untuk buktikan kesungguhan peminat Malaysia.

“Menonton dari belakang pentas betapa bersungguh sekali penonton terbuai dengan Meer Nash dan Athalia menunjukkan betapa kuat sokongan rakyat Malaysia terhadap artis mereka.

“Cara mereka menakluk pentas dan tenaga disalur penonton menjadikan showcase sulung saya di Kuala Lumpur sangat bermakna. Sekali gus saya harap jadi titik pemula untuk saya dapat lebih banyak peluang kembali dan buat persembahan di sini lagi,” katanya.

Melihat sambutan luar biasa showcase itu, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim berkongsi, membawa Maximillian sebagai artis antarabangsa pertama membuat showcase adalah permulaan memberangsangkan buat industri muzik pada fasa pasca-pandemik.

“Satu kegembiraan besar melihat industri kembali hidup dengan merancakkan lagi acara padang serta kemunculan peminat hadir dan menikmati muzik.

“Menonton persembahan Maximillian secara langsung semestinya pengalaman yang cukup unik berbandin mendengar suaranya di platform penstriman.

“Kegembiraan yang terpancar di wajah peminat serta dengar mereka menyanyi bersama lagu Beautiful Scars cukup menyentuh hati dan memotivasikan lagi kami untuk membawa dia kembali ke Malaysia untuk lebih banyak acara,” kongsinya.

Paling diingati menerusi lagu pengenalannya Beautiful Scars, penyanyi muda ini meraih lebih 250 juta penstriman dari semua platform muzik digital, hit meluas di YouTube, menduduki tangga #1 di Filipina dan menerima sijil triple-platinum.

Susulan kejayaan itu, Maximillian melancarkan lagu balada yang cukup menyentuh berjudul Letters yang didedikasikan kepada sebuah hubungan persahabatan peribadi serta meraikan ikatan itu.

Lagu terbabit membuktikan penulis lagu ini seorang artis yang tidak gentar bersuara untuk golongan remaja.

Pada 29 Oktober 2021, Maximillian melancarkan album yang lama dinantikan berjudul Too Young yang menghimpunkan lagu-lagu yang sarat dengan mesej mengenai permasalahan remaja, persahabatan, dan cinta.
Album itu diterima baik dan menjadi album artis baharu paling banyak distrim di Denmark pada tahun itu.
Kesemua 11 lagu Maximillian sarat dengan emosi dan penghayatan yang dipupuk dari pengalamannya membesar sebagai kanak-kanak baik yang kemudiannya membesar sebagai remaja bermasalah dan ke arah menjadi lebih berdikari di masa hadapan.

Single utama daripada album terbabit itu adalah Love Like This yang menjadi hit di lebih 29 New Music Friday senarai main seluruh dunia.