akhlak buruk kerana ibu susuan
Sekadar gambar hiasan

Apabila membicarakan tentang bank susu, timbul persoalan bolehkah akhlak dan tingkah laku bayi bercelaru atau menjadi sesuatu yang negatif kerana percampuran susu dari banyak ibu? Malah di kalangan ulama mazhab empat menolak kerana apabila bercampur, ia akan menjadi isu syubhah.

Menjawab persoalan ini menurut Dr. Salasiah Hanin Hamjah, Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dia tidak percaya dan menolak konsep bank susu yang mencampuradukkan sumber susu daripada pelbagai golongan ibu yang terdiri daripada pelbagai pegangan agama dan juga kaum.

Saya percaya kesan itu kerana Allah berfirman bahawa orang perempuan mengandung perlu menjaga akhlak. Sekiranya wanita mengandung mereka punya banyak ragam, anak juga lazimnya akan mengikut perangai wanita semasa hamil. Walaupun susu itu jumlahnya sedikit tetapi ia tetap akan menjadi darah daging anaknya.

Perkara yang sama turut berlaku ke atas anak yang tidak sah taraf atau anak luar nikah. Jangan menghukum anak luar nikah dan menyalahkannya ekoran tingkah laku kedua-dua ibu bapanya yang melampaui batas sehingga terlahirnya dia di dunia. Sama juga terjadi sekiranya bayi itu menerima dan meminum susu yang bercampur-campur sehingga merosakkan nasabnya.

Menghukum bukanlah cara penyelesaian sebaliknya cuba perbaikinya. Jika anak tersebut dididik dengan cara dan acuan yang salah maka hasilnya juga pasti mengecewakan. Sebaliknya begitu juga jika dia dididik dengan cara yang betul, pendidikan yang baik serta diajar tentang tertib dan susila, maka anak tersebut boleh menjadi seorang yang berguna biarpun jika sekiranya dia berasal dari hasil penyusuan ramai ibu. Ia adalah tanggungjawab penjaga atau ibu bapa yang memainkan peranan penting dalam membentuk corak si anak.

Upah dan Hak

Menurut Dr. Salasiah lagi, mungkin ramai yang terlepas pandang tentang isu ini. Jika penyumbang susu itu merupakan janda dan tidak terikat dengan suami, dia seharusnya mendapat upah. Walau bagaimanapun, kadarnya tidak dapat ditetapkan dan ia harus dilihat pada keadaan dan masa. Asalkan ada kesepakatan antara penderma dan penerima susu tersebut.

Namun upah tergolong dalam banyak kategori. Jika penyumbang susu tersebut masih lagi bergelar isteri, ia tidaklah perlu diberi upah. Cukuplah sekadar dengan nafkah yang telah diberikan suami, itu tanggungjawab suami. Namun perlu pastikan jika dia sudah tidak bergelar isteri, maka wajib diberi upah oleh bekas suami mengikut kemampuan.

Firman Allah surah al-Baqarah: 233.

“Dan sekiranya kamu ingin memberi anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kami apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut dan bertakwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.”

Berbicara pula tentang hak dalam isu penyusuan ini, sebenarnya ibu mempunyai hak untuk memutuskan mahu menyusu atau tidak. Itulah hak seorang ibu. Malah dia tidak berdosa jika tidak mahu menyusukan walau anaknya sendiri.

“Ibu mempunyai hak terhadap niatnya untuk meneruskan penyusuan atau tidak. Malah jika dilihat senario kini pun, ramai golongan ibu yang berkerjaya dan penyusuan badan dilihat sukar untuk ditunaikan akibat kekangan masa bersama bayi mereka.

“Namun begitu bukan mudah untuk mengiyakan hak tersebut tanpa sebab dan alasan yang kukuh. Seorang ibu wajib menyusukan sekiranya bayi itu tidak dapat menerima susu lain untuk pertumbuhan, mengalami alahan jika menerima susu lain atau pun jika bayi mereka bayi pramatang,” jelas Dr. Salasiah.

Artikel berkaitan: Bank susu apakah dibolehkan dalam islam

Malah seorang ibu juga wajib menyusukan anaknya sekiranya tiada orang yang dapat menggantikan tugasnya dalam memberikan sumber susu. Jadi tiada alasan untuk dia terus melupakan tugas hakiki ibu yang murni ini. Sedangkan ada di dalam surah al-Baqarah ayat 233 yang mengatakan

“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian ke[ada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.”

Hukum susuan melalui payudara atau botol

Di dalam banyak-banyak fatwa, ada yang mempertikaikan hukum sah penyusuan bergantung pada sama ada melalui payudara, botol ataupun hidung. Percanggahan pendapat berlaku namun bagi Ibnu Hazm, bayi tersebut tidak akan menjadi anak susuan sekiranya susu yang diberikan adalah melalui botol atau hidung dan ia sah menjadi susuan sekiranya diberikan menerusi payudara.

Di dalam hadis al-Tirmizi pula menyebut

“Tidak akan menjadi muhrim dari susuan kecuali susuan yang boleh membuka usus (membesarkan pertumbuhan anak) dan penyusuan itu hendaklah sebelum sampai dua tahun”. 

Walau bagaimana pun, ada pendapat yang mengatakan jatuh nasab ke atas bayi susuan biarpun bukan melalui cara hisapan menerusi payudara asalkan bayi tersebut mengalami lima kali kenyang. Itu sudah memadai untuk mengangkat gelaran dan tanggungjawab sebagai ibu dan anak susuan.

Jelas Dr. Salasiah, untuk diiktiraf sebagai ibu susuan mereka perlulah memenuhi beberapa kriteria tertentu. Seseorang wanita itu haruslah subur, sihat tubuh badan dan ada peribadi yang baik. Justeru itu, tidak hairanlah untuk memikul tanggungjawab gelaran ibu susuan bukanlah sesuatu yang mudah tetapi perlu juga dilihat dari beberapa sudut yang jelas. Wallahu a’lam

________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare