MATAHARI lazimnya terbit pada siang hari dan terbenam pada waktu senja. Namun, tahukah anda ada satu fenomena di mana matahari yang muncul di waktu siang tidak terbenam sehingga ke malam hari. Fenomena ini disebut sebagai ‘midnight sun’.

Ia merupakan fenomena di mana matahari tetap bersinar walaupun di waktu malam. Ketika berlakunya midnight sun ini, matahari tidak terbenam.

Matahari akan sentiasa kelihatan berada di atas ufuk sepanjang hari selama 24 jam, tanpa terbenam walaupun hari sudah malam. Keadaan ini menjadikan suasana malam tidak berapa gelap dan aktiviti di siang hari seperti membaca masih boleh dilakukan tanpa bantuan cahaya lampu.

Ia merupakan fenomena alam yang terjadi setiap setahun sekali pada musim panas. Fenomena ini dapat dilihat sekitar bulan Jun di kutub utara dan pada bulan Disember di kutub selatan.

Tempoh waktu matahari berada di atas cakerawala di kedua-dua garis lintang ini didapati bervariasi. Lagi tinggi anda berada di kedudukan garisan lintang tersebut, lagi lama pemandangan unik ini dapat diamati.

Fenomena midnight sun hanya berlaku di kutub utara dan kutub selatan.

Di Syalbard, Norway misalnya, panorama seumpama ini boleh disaksikan bermula 19 April hingga 23 Ogos. Manakala, seperempat daripada wilayah Finland yang terletak di bahagian utara Bulatan Artik pula menerima sinaran cahaya matahari dari siang hingga ke malam selama 73 hari sepanjang musim panas.

Pemandangan luar biasa ini turut dapat dilihat di Saint Peterburg, Rusia, dari 11 Jun hingga 2 Julai. Dan pada 10 hari terakhir bulan Jun, penduduk di sana merayakannya dengan pelbagai acara kebudayaan yang dinamakan sebagai Festival White Nights.

Penduduk di Rusia meraikan fenomena ini dengan Fetival White Nights.

Pengalaman ini bagaimanapun akan bertukar lebih ekstrem apabila berada di tengah-tengah kutub utara atau kutub selatan. Mengapa? Kerana di kedua-dua kutub tersebut akan berlaku pertukaran siang dan malam yang sangat panjang dalam setahun, iaitu enam bulan malam dan enam bulan siang.

Cuba bayangkan saat anda bangun dari tidur di tengah hari, keadaan langit masih gelap gelita bagaikan waktu malam. Kekalutan ini sering terjadi kepada pelancong luar yang pertama kali datang ke kawasan ini. Malah, ada pengunjung yang sukar tidur pada waktu malam kerana ketika itu langit tetap cerah dan matahari bersinar terik.

Kejadian siang dan malam adalah disebabkan bumi berpusing pada paksinya yang beredar mengelilingi matahari. Ketika matahari berada di utara bumi, kutub utara mengalami enam bulan siang. Cahaya matahari sentiasa terlihat di atas langit menyebabkan langit selalu cerah dan terang, walaupun hari sebenarnya sudah jauh malam.

Sinaran matahari yang tertumpu di utara juga menyebabkan kutub selatan langsung tidak menerima sinaran matahari hinggakan keadaan kelam bagaikan malam hari selama enam bulan berturut-turut.

Sebaliknya, jika matahari berada di sebelah selatan bumi, langit gelap di kutub selatan tadi akan berubah menjadi siang dan kekal begitu selama enam bulan berturut-turut. Selama tempoh ini, langit di kutub utara pula akan bertukar menjadi malam.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram