ANDA pernah dengar tentang hantu pukang-pukang? Saya sendiri tidak pernah mendengarnya sehinggalah melihatnya dengan mata sendiri.

Lebih sedekad yang lalu, ada kejadian aneh berlaku di sebuah kawasan felda di Kota Tinggi, Johor. Ketika itu, sudah beberapa kali penduduk terlihat sesuatu yang ganjil di sebuah kawasan.

Kata orang, jalan di kawasan itu ‘keras’, lebih-lebih lagi pada waktu malam. Ada yang mendakwa ternampak seorang lelaki dengan anggota badan yang tidak sempurna. Penuh dengan darah, dan kulitnya tersiat-siat. Ada pula yang ternampak lelaki tertunduk-tunduk seperti mencari sesuatu. Wajahnya juga hancur.

Saya sudah biasa lalu di kawasan itu, namun belum pernah terlihat perkara-perkara ganjil. Suatu malam, setelah menghantar kawan-kawan balik ke rumah mereka, saya pulang dengan memandu sendirian.

Kawan-kawan nasihatkan agar saya menggunakan jalan lain. Ini kerana mereka tak mahu saya diganggu jelmaan yang sering muncul di kawasan ‘keras’ itu.

Saya tak hiraukan nasihat mereka. Bukan apa, saya agak skeptikal dengan benda-benda mistik. Bagi saya, semua itu hanya halusinasi saja. Malam itu, saya pulang menyusuri jalan yang dikatakan ‘keras’ itu untuk pulang ke rumah.

Tiada apa yang berlaku, sehinggalah sampai di jalan yang menuruni bukit. Dari jauh, lampu kereta saya tersorot sesuatu. Kebetulan tiada kereta lain ketika itu, saya nyalakan lampu tinggi.

Saya lihat seperti dua tiang putih setinggi kira-kira setengah meter di tepi jalan. Batu nisan? Tak mungkin batu nisan boleh terpacak di tepi jalan. Di situ bukannya kawasan kubur. Seperkara lagi, mengapa di atas dua batu putih itu ada benda berwarna merah?

Semakin dekat dengan dua tiang putih itu, semakin jelas imejnya. Saya terkejut kerana benda yang saya sangkakan batu nisan itu sebenarnya adalah kaki manusia! Bahagian atasnya dipenuhi darah merah!

Saya beristighfar berkali-kali bila melihat keanehan itu. Tetapi kenapa kaki saja? Mana badannya? Saya terus melajukan kereta

Esoknya, saya bersarapan di sebuah warung kopi di situ. Daripada perbualan dengan beberapa penduduknya, saya mendapat jawapan yang dicari.

Mereka kata saya beruntung. Sebabnya hanya saya dan seorang penduduk kampung saja yang diganggu pukang-pukang. Yang lainnya diganggu susuk tubuh manusia yang tak sempurna sifat.

Pukang-pukang? Mereka kata pukang-pukang adalah hantu yang nampak kakinya sahaja. Badan tidak kelihatan. Itulah juga pertama kali saya tahu tentang pukang-pukang.

Bila sudah mendapat gambaran cerita sebenar, saya teringin mencabar diri sendiri. Saya ingin melihat apa yang diistilahkan sebagai pukang-pukang itu sekali lagi.

Beberapa malam kemudian, sekitar pukul 12.15, saya memandu seorang diri ke kawasan tempat saya terserempak pukang-pukang itu. Saya memperlahankan kereta, dengan harapan pukang-pukang akan muncul lagi.      

Rupa-rupanya tidak juga. Saya berhenti dan menunggu di dalam kereta. Pukang-pukang yang dicari tak juga muncul-muncul. Sepuluh minit berlalu, saya memandu terus ke hadapan. Dalam jarak kira-kira 100 meter, saya berpatah balik. Manalah tahu, masa itu nanti saya boleh terserempak dengan pukang-pukang.

Sebaik berpatah balik, saya lihat ada seorang lelaki di tepi jalan. Dia terbongkok-bongkok seolah-olah mencari sesuatu. Kemudian orang itu bangun. Saya teringatkan sesuatu….

Ya-Allah… inikah hantu yang diperkatakan itu? Saya mula rasa takut. Kalau sebelum ini agak berani, tapi bila melihat kelibat lelaki itu, badan sudah mula seram sejuk!

Tiba-tiba lelaki itu menuju ke tengah jalan, dan ketika itulah juga enjin kereta saya tiba-tiba saja mati. Saya cuba hidupkan enjin beberapa kali, tetap tidak mahu hidup. Arghhh, masa begini pula kereta nak meragam!

“Habislah aku… habislah aku….” hanya itu yang mampu saya sebut. Ketika itu saya betul-betul rasa menyesal kerana terlalu berani sangat dan sengaja cari fasal.

Saya dapat lihat fizikalnya dengan jelas. Sebelah tangannya patah dan terkulai, manakala sebelah tangan lagi putus. Wajahnya hancur seperti digelek sesuatu. Ya Rabbi… sangat ngeri dan menyeramkan!

Saya cuba lagi start enjin kereta. Alhamdulillah, akhirnya hidup. Ketika baru hendak memecut, lelaki itu ghaib!  

Pengalaman dihalang oleh lelaki tidak sempurna sifat itu, saya ceritakan kepada kawan-kawan. Mereka kata itu balasan kerana saja tunjuk berani nak tengok ‘benda’ itu. Saya beritahu mereka, sebenarnya saya ingin melihat pukang-pukang, itu saja.

Menurut penduduk di situ, sehari sebelum bulan puasa, berlaku satu kemalangan ngeri di jalan tersebut. Dua buah motosikal digilis lori pasir menyebabkan kedua-dua penunggangnya mati di tempat kejadian.

Menurut mereka, mayat-mayat mangsa kemalangan tersebut tidak dapat dicam. Hancur berkecai. Seorang daripadanya terputus kedua belah kaki.

Mungkinkah lelaki yang tertunduk-tunduk itu mencari kakinya yang hilang? Sumpah, sampai sekarang saya tidak berani lagi untuk sengaja mahu melihat pukang-pukang.

Diceritakan oleh : Ahmad Zali, Johor.    

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram