MENYELUSURI Tanjung Curonian, sebuah daerah di antara Laguna Curonian dan Lautan Baltic di wilayah Kaliningrad di Rusia, akan kelihatan sebuah kawasan hutan yang unik.

Jika diperhatikan, batang-batang pokok di hutan itu mengalami fenomena aneh apabila tumbuh meliuk-liuk dan berputar-putar di atas permukaan tanah. Kerana keanehannya itu, kawasan hutan tersebut digelar sebagai ‘Dancing Forest’.

Mengapa batang pokok di hutan berkenaan tumbuh dengan keadaan aneh begitu? Ia amat berbeza dengan karakter batang pokok biasa yang lazimnya berdiri lurus dan tegak terpacak di atas tanah.

Para pengkaji turut datang ke hutan ini untuk meneliti keanehan tersebut. Lalu timbul beberapa teori bagi menjelaskan punca mengapa pokok di hutan itu berkeadaan pelik.

Salah satu antaranya, terdapat sejumlah besar tenaga magnet positif dan negatif bertebaran di kawasan hutan itu. Tarikan itu kemudian membuatkan batang pokok berputar mengikut arah dua kuasa berlawanan. Akhirnya, pokok itu tumbuh membesar mengikut tarikan itu. Namun, teori ini belum kuat dibuktikan kesahihannya.

Ada juga yang mengaitkannya dengan faktor persekitaran seperti tiupan angin yang mungkin telah memanipulasi dan mempengaruhi pembentukan pokok-pokok di situ.

Angin yang kuat boleh memberi tekanan kepada batang pokok hingga menjadikannya meliuk mengikut perubahan arah angin. Lazimnya, pokok yang hidup dalam keadaan ‘stress’ secara biologi ia perlu menyesesuaikan diri untuk terus hidup dalam persekitaran seperti itu, lalu terhasillah bentuk pokok sedemikian. Namun, fenomena begini biasanya ditemui di atas kawasan pergunungan.

Boleh jadi juga batang pokok yang terdapat dalam hutan misteri itu tidak mempunyai banir akar pada tapak batang pokok, menyebabkan ia tidak boleh berdiri dengan stabil. Ada juga pendapat lain mengatakan kandungan mineral atau jenis tanah di hutan itu adalah penyebab kepada kejadian itu.

Ada juga pengkaji mengatakan keadaan pokok-pokok itu ada kaitan dengan sejenis ulat bulu daripada jenis ‘rhyacionia buoliana’. Juga ada kepercayaan mengatakan pokok-pokok ini meliuk lentuk kerana mengikut pergerakan tanah di situ.

Walau apa sekalipun teori dikaitkan dengan ‘hutan menari’ ini, namun tiada jawapan yang benar-benar sahih mampu menjawab kenapa pokok-pokok di situ tumbuh sedemikian rupa.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram