مرديک 65 تاهون

ايڤيسود 3

سيستم کڤوليسين يڠ مودن دان تراتور دنݢارا اين برمولا دڠن برقواتکواساڽ ‘Charter of Justice’ دڤولاو ڤينڠ ڤد 25 مچ 1807 يڠ دڤرکنلکن اوليه کيڠ جوج III دان تله ممباوا کڤد ڤنوبوهن سبواه ڤاسوقن ڤوليس دنݢري ايت. منجلڠ اول ابد ک-20, کسموا نݢري دتانه ملايو تله ممڤوڽاءي ڤاسوقن ڤوليس سنديري.

چمڤور تاڠن ايڠݢريس دالم ڤنتدبيرن نݢري٢ ملايو تله ممباوا ڤراوبهن ڤد ڤاسوقن ڤوليس. برمولا دڠن ڤنوبوهن ڤاسوقن ڤوليس نݢري٢ سلت ڤد تاهون 1871 دان کمودين ڤنوبوهن ڤاسوقن ڤوليس نݢري٢ ملايو برسکوتو ڤد 1896, سيستم کڤوليسين دنݢارا کيت تله ببراڤ کالي دأوبه سهيڠݢاله ممباوا کڤد ڤڽاتوان ڤنتدبيرنڽ دباوه ڤنجي٢ ڤوليس دراج مليسيا ڤد 16 سيڤتيمبر 1963.

سلڤس تانه ملايو بيبس دري ڤمرينتهن جڤون, ڤاسوقن ڤوليس نݢري٢ سلت, ڤاسوقن ڤوليس نݢري٢ ملايو برسکوتو دان ڤاسوقن ڤوليس نݢري٢ ملايو تيدق برسکوتو تله دݢابوڠکن دباوه ڤاسوقن ڤوليس ملايان يونيان ڤد 1 اڤريل 1946. ڤمرينتهن ڤاسوقن بارو اين برڤوست دکوالا لمڤور.

ڤد 1 فيبرواري 1948, اڤبيلا ڤرسکوتوان تانه ملايو دتوبوهکن, نام ڤوليس ملايان يونيان تله دتوکر کڤد ڤوليس ڤرسکوتوان تانه ملايو. ڤد تاهون يڠ سام جوݢ, ڤيهق کومونيس تله ملنچرکن ڤمبرونتقن برسنجات دڠن توجوان اونتوق منوبوهکن سبواه ريڤبليک کومونيس دملايا.

باݢي مڠهادڤي انچمن ايت, کراجاءن تله مڠيشتهارکن ضرورت ڤد 16 جون 1948. ڤاسوقن ڤوليس مميکول تڠݢوڠجواب اوتام ممرڠي کومونيس برسام ڤيهق تنترا.

دالم مڠهادڤي انچمن کومونيس, ببراڤ اونيت بارو تله دتوبوهکن. اونيت ڤرتام دکنلي سباݢاي ’فلاييڠ سکواد‘ کمودين ’جڠݢل سکواد‘. ڤد تاهون 1951, اونيت اين تله دسوسون سمولا منجادي ’جڠݢل کمڤني‘ يڠ لبيه ترسوسون, ترلاتيه دان دلڠکڤي سنجات سچوکوڤڽ اونتوق منجالنکن اوڤراسي مڠهاڤوسکن ڤارتي کومونيس ملايا (PKM) يڠ برݢرق دهوتن بلنتارا.

سلاءين ايت, ڤاسوقن ڤوليس هوتن توروت دوجودکن دان دلاتيه اونتوق منجالنکن توݢس٢ مڠاول کسلامتن.

دالم ڤرجواڠن مننتڠ کومونيس سلاما 12 تاهون, سراماي 1,246 اورڠ اڠݢوتا ڤوليس تله ترقربان دان 1,447 اورڠ لاݢي چدرا. دڤيهق کومونيس ڤولا, سراماي 6,711 اورڠ ڤڠݢانس تله دهاڤوسکن دان 1,289 لاݢي دتاون, کباڽقنڽ اداله حاصيل تيندقن اوڤراسي ڤوليس.

دالم اوڤراسي ممبنترس کومونيس, خدمت ايستري٢ ڤوليس مولا دݢوناکن يڠ کمودين ممباوا کڤد ڤنوبوهن کومڤولن اڠݢوتا ڤوليس وانيتا ڤرتام ڤد اوݢوس 1955.

کومونيس بوکن سهاج ملنچرکن سرڠن, تتاڤي جوݢ مڽيبرکن برباݢاي-باݢاي ڤروڤاݢندا اونتوق مراچوني مشارکت دڠن ايديولوݢي مريک مننتڠ کراجاءن. اورڠ٢ اصلي جوݢ تيدق ترکچوالي درڤد دڤڠاروهي دان دڤرݢوناکن اوليه PKM باݢي توجوان ايت.

اونتوق مڠيلقکن دڤڠاروهي کومونيس, ڤاسوقن سنوي ڤراک, يڠ ترديري درڤد ڤمودا٢ اورڠ اصلي تله دتوبوهکن ڤد مي 1956. ڤاسوقن دباوه جابتن اورڠ اصلي اين برتيندق اونتوق ممنڠي هاتي مشارکت اورڠ اصلي اݢر بکرجاسام دڠن کراجاءن دان مڠاول کامڤوڠ مريک دري دچروبوهي کومونيس.

ڤاسوقن اين تله دلاتيه دالم سݢالا بيدڠ علمو ڤڤرڠن دان توروت برسام-سام ريجيمن ک-22, بريتيش سڤيشل أير سرۏيسس (SAS) ممبوات تينجاون باݢي ممبورو کومونيس. ستله ڤاسوقن SAS ڤولڠ کنݢارا مريک ڤد مي 1959, ڤاسوقن سنوي ڤراک تله مڠمبيل اليه کاوسن دداءيره ڤندالمن.

ڤاسوقن سنوي ڤراک تله دلتقکن دباوه ڤنتدبيرن PDRM ڤد جانواري 1968. ڤاسوقن اين تله برجاي مڠاول ڤرکامڤوڠن اورڠ اصلي دان مماتهکن اوسها PKM دکاوسن ڤندالمن.

ڤرجواڠن دان ڤڠوربانن سرتا خدمت بقتي ڤاسوقن ڤوليس دالم ممڤرتاهنکن نݢارا دري انچمن کومونيس سماس ’ضرورت 1948-1960‘ تله ممباوا کڤد ڤڠانوݢرهن ݢلرن ’دراج‘ کڤد ڤاسوقن ڤوليس اوليه سري ڤادوک بݢيندا يڠ دڤرتوان اݢوڠ, توانکو عبدالرحمن ابن المرحوم توانکو محمد ڤد 24 جولاي 1958.

اڤبيلا نݢري٢ تانه ملايو, سابه, سراوق دان سيڠاڤورا برݢابوڠ دالم مليسيا ڤد 16 سيڤتيمبر 1963, کسموا ڤاسوقن ڤوليس دنݢري ݢابوڠن ايت تله دساتوکن دان دکنلي دڠن نام ڤوليس دراج مليسيا (PDRM) دڠن دڤرينته اوليه سأورڠ کتوا ڤوليس نݢارا.

ڤد تاهون 1968, PKM ملنچرکن سمولا ڤمبرونتقن برسنجات مريک. مريک مڽوسوڤ ماسوق دري سلاتن تايلند, موجودکن رڠکاين اورݢانيساسي کومونيس دسلوروه سمننجوڠ.

اورݢانيساسي باوه تانه کومونيس اين تله منوبوهکن ’سکواد ڤمبونوه‘ يڠ برتڠݢوڠجواب ملاکوکن ببراڤ ڤمبونوهن کأتس ڤݢاواي دان اڠݢوتا ڤوليس, کݢانسن دان ڤربواتن خيانت.

انتارا يڠ ترقربان عقيبة ڤربواتن مريک اياله کتوا ڤوليس نݢارا کتيݢ, الله يرحم تن سري عبدالرحمن دان کتوا ڤوليس ڤيراق, مندياڠ تن سري کوو چوڠ کوڠ.

کبڠکيتن سمولا کومونيس تله دتنتڠ هيبت اوليه ڤاسوقن کسلامتن. اين ترماسوقله دڠن ڤنوبوهن ’ڤاسوقن کومندو 69‘ يڠ ڤاکر دان ماهير دالم سيلوق بيلوق ڤڤرڠن دهوتن.

ڤاسوقن اين تله منچاڤاي باڽق کجاياءن دالم مڠهاڤوسکن کومونيس دتمڤت-تمڤت ڤرسمبوڽين مريک دهوتن. دکالڠن اڠݢوتا PDRM, اونيت اين امت دسݢني دان دحرمتي دسببکن کڤاکرن مريک دالم ڤڤرڠن دهوتن.

بريکوتن تنتڠن دان تکنن هيبت درڤد ڤاسوقن ڤوليس دان اڠکتن تنترا مليسيا تله مڽببکن PKMکهيلڠن ڤڠاروه دان سوکوڠن. منجلڠ تاهون 1976, سراماي 3900 عناصير دان ايجن کومونيس تله دتڠکڤ.

ڤد 2 ديسيمبر 1989, ڤرجنجين داماي انتارا مليسيا دان PKM تله دتنداتاڠني دهدڽاي, تايلند. دڠن ترمتريڽ ڤرجنحين ترسبوت ,PKM  تله ملتقکن سنجات دان براخيرله ڤرجواڠن ڤارتي ترسبوت.

ڤد 17 اوکتوبر 1990, ڤرجنجين داماي انتارا کراجاءن مليسيا دڠن بيرو ک-2 ڤارتي کومونيس کاليمنتن اوتارا جوݢ تله دتنداتڠني دکوچيڠ, سراوق باݢي منامتکن کݢياتن کومونيس دسراوق.

دڠن ڤرلتقن سنجات ايت, مليسيا بيبس دري انچمن کومونيس يڠ مڠݢوݢت کأمانن دان کسلامتن نݢارا سلاما 42 تاهون.

موزيوم ڤوليس دراج مليسيا

اونتوق مڠحياتي ڤرجواڠن اڠݢوتا ڤوليس دالم ممبنترس کݢانسن کومونيس, اندا بوليه برکونجوڠ کموزيوم ڤوليس دراج مليسيا يڠ ترلتق دجالن ڤردان, کوالا لمڤور.

موزيوم يڠ دراسميکن ڤد جولاي 1999 اين مڽيمڤن ڤلباݢاي ارتيفک اونتوق تاتڤن ڤڠونجوڠ باݢي منلوسوري سجاره دان ڤرجواڠن ڤاسوقن کسلامتن ترتوا نݢارا.

ممڤاميرکن لبيه تيݢ ريبو ارتيفک سڤرتي سنجات, کندراءن, سراݢم ڤوليس, دوکومن, ڤتا دان ڤلباݢاي بارڠن يڠ ممڤوڽاءي سجارهڽ ترسنديري.

سلاءين چاتتن سجاره دان ڤرالتن يڠ دݢوناکن اوليه ڤوليس سجق زمان دهولو, توروت دڤاميرکن سنجات٢ يڠ درمڤس درڤد کومونيس دالم ڤلباݢاي اوڤراسي ڤوليس. جوݢ اد سنجات اڤي يڠ درمڤس درڤد بوتق چين ڤد 1976, سرتا سنجات يڠ درمڤس کومڤولن کوڠسي ݢلڤ.

کريتا راسمي تن سري عبدالرحمن بن هاشيم (کتوا ڤوليس نݢارا کتيݢ) يڠ دتيمبق ماتي سوقتو دالم ڤرجالنن کڤجابت دجالن تون ڤيراق, کوالا لمڤور ڤد ڤاݢي 7 جون 1974 توروت دڤاميرکن.

بݢيتو جوݢ دڠن کريتا راسمي تن سري کوو چوڠ کوڠ, کتوا ڤوليس ڤيراق يڠ دتيمبق ماتي ددالم کريتا اوليه عناصير کومونيس برهمڤيرن لمڤو اشارت دڤرسيمڤڠن جالن اندرسن دان جالن فير دأيڤوه, ڤيراق ڤد تڠه هاري 13 نوۏيمبر 1975.

دبهاݢين لوار باڠونن اوتام ڤولا, ترداڤت داترن ڤهلاون يڠ مماهت 1,180 نام ڤرويرا نݢارا يڠ تله ݢوݢور سماس ممڤرتاهنکن تانه اير سوقتو زمان ضرورت سکيتر 1948-1960 دان سکيتر تاهون 1968 هيڠݢ 1990.

سسوڠݢوهڽ, ڤڠوربانن ڤهلاون٢ تردهولو يڠ ݢوݢور دميدن ڤرجواڠن باݢي ممڤرتاهنکن تانهاءير درڤد انچمن موسوه انتارا هرݢ سبواه ڤڠوربانن اونتوق کأمانن يڠ کيت نعمتي ڤد هاري اين.

MERDEKA 65 TAHUN

Perjuangan yang mengakhiri ancaman komunis

Sistem kepolisian yang moden dan teratur di negara ini bermula dengan berkuatkuasanya ‘Charter of Justice’ di Pulau Pinang pada 25 Mac 1807 yang diperkenalkan oleh King George III dan telah membawa kepada penubuhan sebuah pasukan polis di negeri itu. Menjelang awal abad ke-20, kesemua negeri di Tanah Melayu telah mempunyai pasukan polis sendiri. 

Campur tangan Inggeris dalam pentadbiran negeri-negeri Melayu telah membawa perubahan pada pasukan polis. Bermula dengan penubuhan pasukan Polis Negeri-Negeri Selat pada tahun 1871 dan kemudian penubuhan pasukan Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada 1896, sistem kepolisian di negara kita telah beberapa kali diubah sehinggalah membawa kepada penyatuan pentadbirannya di bawah Panji-Panji Polis Diraja Malaysia pada 16 September 1963.

Selepas Tanah Melayu bebas dari pemerintahan Jepun, pasukan Polis Negeri-Negeri Selat, pasukan Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan pasukan Polis Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu telah digabungkan di bawah Pasukan Polis Malayan Union pada 1 April 1946. Pemerintahan pasukan baru ini berpusat di Kuala Lumpur.

Pada 1 Februari 1948, apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan, nama Polis Malayan Union telah ditukar kepada Polis Persekutuan Tanah Melayu. Pada tahun yang sama juga, pihak komunis telah melancarkan pemberontakan bersenjata dengan tujuan untuk menubuhkan sebuah Republik Komunis di Malaya. 

Bagi menghadapi ancaman itu, kerajaan telah mengisytiharkan darurat pada 16 Jun 1948.  Pasukan polis memikul tanggungjawab utama memerangi komunis bersama pihak tentera.

Dalam menghadapi ancaman komunis, beberapa unit baru telah ditubuhkan. Unit pertama dikenali sebagai ‘Flying Squad’ kemudian ‘Jungle Squad’. Pada tahun 1951, unit ini telah disusun semula menjadi ‘Jungle Company’ yang lebih tersusun, terlatih dan dilengkapi senjata secukupnya untuk menjalankan operasi menghapuskan Parti Komunis Malaya (PKM)  yang bergerak di hutan belantara.

Selain itu, Pasukan Polis Hutan turut diwujudkan dan dilatih untuk menjalankan tugas-tugas mengawal keselamatan.

Dalam perjuangan menentang komunis selama 12 tahun, seramai 1,246 orang anggota polis telah terkorban, dan 1,447 orang lagi cedera. Di pihak komunis pula, seramai 6,711 orang pengganas telah dihapuskan dan 1,289 lagi ditawan, kebanyakannya adalah hasil tindakan operasi polis. 

Dalam operasi membanteras komunis, khidmat isteri-isteri polis mula digunakan yang kemudian membawa kepada penubuhan kumpulan anggota polis wanita pertama pada Ogos 1955.

Komunis bukan saja melancarkan serangan, tetapi juga menyebarkan berbagai-bagai propaganda untuk meracuni masyarakat dengan ideologi mereka menentang kerajaan. Orang-orang Asli juga tidak terkecuali daripada dipengaruhi dan dipergunakan oleh PKM bagi tujuan itu.

Untuk mengelakkan dipengaruhi komunis, Pasukan Senoi Praaq yang terdiri daripada pemuda-pemuda Orang Asli telah ditubuhkan pada Mei 1956. Pasukan di bawah Jabatan Orang Asli ini bertindak untuk memenangi hati masyarakat Orang Asli agar bekerjasama dengan kerajaan dan mengawal kampung mereka dari dicerobohi komunis. 

Pasukan ini telah dilatih dalam segala bidang ilmu peperangan dan turut bersama-sama Rejimen ke 22, British Special Air Services (SAS) membuat tinjauan bagi memburu komunis. Setelah pasukan SAS pulang ke negara mereka pada Mei 1959, pasukan Senoi Praaq telah mengambil alih kawasan di daerah pendalaman. 

Pasukan Senoi Praaq telah diletakkan di bawah di bawah pentadbiran PDRM pada Januari 1968. Pasukan ini telah berjaya mengawal perkampungan Orang Asli dan mematahkan usaha PKM di kawasan pendalaman. 

Perjuangan dan pengorbanan serta khidmat bakti pasukan polis dalam mempertahankan negara dari ancaman komunis semasa ‘darurat 1948-1960’ telah membawa kepada penganugerahan gelaran ‘Diraja’ kepada pasukan polis oleh Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong, Tuanku Abdul Rahman Ibni Al-marhum Tuanku Muhammad pada 24 Julai 1958.

Apabila Negeri-Negeri Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura bergabung dalam Malaysia pada 16 September 1963, kesemua pasukan polis di negeri gabungan itu telah disatukan dan dikenali dengan nama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan diperintah oleh seorang Ketua Polis Negara.

Pada tahun 1968, PKM melancarkan semula pemberontakan bersenjata mereka. Mereka menyusup masuk dari selatan Thailand, mewujudkan rangkaian organisasi komunis di seluruh Semenanjung . 

Organisasi bawah tanah komunis ini telah menubuhkan ‘skuad pembunuh’ yang bertanggungjawab melakukan beberapa pembunuhan ke atas pegawai dan anggota polis, keganasan dan perbuatan khianat. 

Antara yang terkorban akibat perbuatan mereka ialah Ketua Polis Negara ketiga, Allahyarham Tan Sri Abdul Rahman dan Ketua Polis Perak, mendiang Tan Sri Koo Chong Kong.

Kebangkitan semula komunis telah ditentang hebat oleh pasukan keselamatan. Ini termasuklah dengan penubuhan ‘Pasukan Komando 69’ yang pakar dan mahir dalam selok belok peperangan di hutan. 

Pasukan ini telah mencapai banyak kejayaan dalam menghapuskan komunis di tempat-tempat persembunyian mereka di hutan. Di kalangan anggota PDRM, unit ini amat disegani dan dihormati disebabkan kepakaran mereka dalam peperangan di hutan.

Berikutan tentangan dan tekanan hebat daripada pasukan polis dan Angkatan Tentera Malaysia telah menyebabkan PKM kehilangan pengaruh dan sokongan. Menjelang tahun 1976, seramai 3900 anasir dan ejen komunis telah ditangkap. 

Pada 2 Disember 1989, perjanjian damai antara Malaysia dan PKM telah ditandatangani di Haadyai, Thailand. Dengan termetrinya perjanjian tersebut, PKM telah meletakkan senjata dan berakhirlah perjuangan parti tersebut. 

Pada 17 Oktober 1990, perjanjian damai antara kerajaan Malaysia dengan Biro ke-2 Parti Komunis Kalimantan Utara juga telah ditandatangani di Kuching, Sarawak bagi menamatkan kegiatan komunis di Sarawak. 

Dengan perletakan senjata itu, Malaysia bebas dari ancaman komunis yang menggugat keamanan dan keselamatan negara selama 42 tahun.  

Muzium Polis Diraja Malaysia

Untuk menghayati perjuangan anggota polis dalam membanteras keganasan komunis, anda boleh berkunjung ke Muzium Polis Diraja Malaysia yang terletak di Jalan Perdana, Kuala Lumpur.

Muzium yang dirasmikan pada Julai 1999 ini menyimpan pelbagai artifak untuk tatapan pengunjung bagi menelusuri sejarah dan perjuangan pasukan keselamatan tertua negara.

Mempamerkan lebih tiga ribu artifak seperti senjata, kenderaan, seragam polis, dokumen, peta dan berbagai barangan yang mempunyai sejarahnya tersendiri.

Selain catatan sejarah dan peralatan yang digunakan oleh polis sejak zaman dahulu, turut dipamerkan senjata-senjata yang dirampas daripada komunis dalam pelbagai operasi polis. Juga ada senjata api yang dirampas daripada Botak Chin pada 1976, serta senjata rampasan kumpulan kongsi gelap.

Kereta rasmi Tan Sri Abdul Rahman bin Hashim (Ketua Polis Negara Ketiga) yang ditembak mati sewaktu dalam perjalanan ke pejabat di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur pada pagi 7 Jun 1974 turut dipamerkan. 

Begitu juga dengan kereta rasmi Tan Sri Koo Chong Kong, Ketua Polis Perak yang ditembak mati di dalam kereta oleh anasir komunis berhampiran lampu isyarat di persimpangan Jalan Anderson dan Jalan Fair di Ipoh, Perak pada tengahari 13 November 1975.

Di bahagian luar bangunan utama pula, terdapat Dataran Pahlawan yang memahat 1,180 nama perwira negara yang telah gugur semasa mempertahankan tanah air sewaktu zaman darurat sekitar 1948 – 1960 dan sekitar tahun 1968 hingga 1990. 

Sesungguhnya, pengorbanan pahlawan-pahlawan terdahulu yang gugur di medan perjuangan bagi mempertahankan tanah air daripada ancaman musuh antara harga sebuah pengorbanan untuk keamanan yang kita nikmati pada hari ini.