مرديک 65 تاهون
ايڤيسود 4
ستياڤ کالي تيبا بولن اوݢوس دان منجلڠ سمبوتن کمرديکاءن, لاݢو ديندڠن الله يرحم داتوء سوديرمن حاج ارشد ڤستي اکن برکومندڠ دمان-مان سهاج.
الونن سوارا ڤڽاڽي يڠ دکنلي دڠن جولوقن ’ڤڠهيبور نومبور 1 اسيا‘ ايت بݢيتو ايکونيک دان سينونيم دڠن سمبوتن کمرديکاءن نݢارا. دمان-مان اکن کدڠرن لاݢو ’31 اوݢوس‘ برݢما.
مليهت سجاره ڤڠهيبور سربا بوليه اين سماس حياتڽ دالم ڤلباݢاي ڤرسالينن جالور ݢميلڠ, اي منجاديکن نام سوديرمن تروس دکنڠ سباݢاي ڤڽاڽي ڤاتريوتيک مليسيا يڠ ترهيبت سڤنجڠ زمان.
سلاءين ’31 اوݢوس‘, لاݢو ’واريثن‘ دان ’تݢقکن بنديرا کيت‘ انتارا لاݢو ڤاتريوتيک سوديرمن يڠ ماسيه ڤوڤولر سهيڠݢ سکارڠ. لاݢو٢ اين دمواتکن دالم البوم ابادي يڠ دتربيتکن ڤد تاهون 1982.
سبنرڽ, اد قيصه دسباليق ڤمبواتن البوم اين. ڤد ڤيريڠ هيتم البوم ترسبوت, سوديرمن ڤرنه منچوريتکن بهاوا ڤد اولڽ, شريکت راکمن اي.عيم.أي دان ڤنربيت البوم ايت, ايس. اتن تيدق يقين اونتوق منربيتکن البوم ڤاتريوتيک يڠ دکهندقيڽ کران بيمبڠ مشارکت سوکر منريما البوم سبݢيتو ڤد زمان ترسبوت.
نامون, سماڠت کبڠساءن سوديرمن يڠ بݢيتو قوات اخيرڽ برجاي ميقينکن ڤيهق شريکت اونتوق مڠحاصيلکن البوم ڤاتريوتيک. حاصيلڽ کيني, سلڤس امڤت ديکد, تياد ڤڽاڽي لاءين ممڤو مڠحاصيلکن البوم ڤاتريوتيک ستنديڠ دڠن اڤ يڠ دحاصيلکن اوليه سوديرمن.
لاݢو ڤاليڠ ايکونيک دالم البوم ترسبوت سوده تنتو لاݢو 31 اوݢوس. نامون, راماي يڠ تيدق تاهو, ڤڽاڽي اصل لاݢو ترسبوت بوکنله سوديرمن. سبنرڽ, لاݢو ترسبوت دچيڤتا دان دڽاڽيکن اوليه احمد چس بررا ياءيت لبيه دکنلي سباݢاي احمد سي.بي. سأورڠ ڤڽاڽي يڠ براصل دري ميدان, ايندونيسيا.
احمد سي.بي. مروڤاکن ڤڽاڽي ملايو ايرا 60 دان 70-هن, دان تله منجادي ڤمسطوتين مليسيا سجق تاهون 1979. بلياو جوݢ ڤرنه بردويت دڠن سالوما.
دالم سبواه تموبوال يڠ ڤرنه دسيارکن اوليه تي.ۏي.تيݢ ڤد تاهون 1993, احمد سي.بي. منچريتاکن بلياو منچيڤتا لاݢو تڠݢل 31 دڠن توجوان ايڠين مڽمارقکن سمبوتن کمرديکاءن تانه ملايو ڤد تاهون 1957.
مڠيکوت چريتا, احمد سي.بي. يڠ کتيک ايت براد دميدان سماس منداڤت ڤرخبرن تانه ملايو اکن مرديک, جيواڽ مرونتا-رونتا ماهو مڠحاصيلکن سبواه لاݢو تندا مڠيڠتي کمرديکاءن ملايا.
بلياو کمودين مناءيقي سمڤن (اد يڠ کات بوت) منوجو کسيڠاڤورا اونتوق مراکمکن سوارا باݢي لاݢو تڠݢل 31. ستله سلساي ڤروسيس راکمن, احمد سي.بي. ڤولڠ سمولا کميدان. بݢيتوله قيصه باݢايمان لاݢو ايکونيک ايت ترحاصيل.
احمد سي.بي. ڤرنه برکات, دي دلاهيرکن دميدان, تتاڤي ممبسر دسيڠاڤورا دان ملايا. والاوڤون تيڠݢل دأيندونيسيا, نامون جيواڽ تتڤ دتانه ملايو, سبب ايتوله دي مڠحاصيلکن لاݢو تڠݢل 31.
نامون, ۏرسي اصل لاݢو ڽاڽين احمد سي.بي. ايت کورڠ دکنلي, رنتقڽ جوݢ لبيه ڤرلاهن دان کورڠ چريا.
اڤبيلا سوديرمن ماهو مراکمکن کمبالي لاݢو ايت, کومڤوسر ايس. اتن تله مڠݢوبه کمبالي لاݢو ايت منجادي رنتق يڠ لبيه رنچق, مودن دان برسماڠت, سسواي دڠن ڤرايدرن زمان.
ترڽات ڤرچاتورن ايت برجاي. سهيڠݢ کيني, لاݢو يڠ دبري نافس بارو دان دڽاڽيکن سوديرمن دڠن جودول 31 اوݢوس ايت تروس منجاديکنڽ لاݢو مالر سݢر يڠ واجب دماءينکن اڤبيلا تيبا بولن کمرديکاءن.
تنتڠ سوديرمن
الله يرحم داتوء سوديرمن حاج ارشد دلاهيرکن ڤد 25 مي 1954 دتمرلوه, ڤهڠ. بلياو مروڤاکن انق بوڠسو کڤد ڤاسڠن حاج ارشد بن حاج حسن دان ڤوان رومله بنت دحلان.
ايهڽ مناماکن بلياو سوديرمن سمڤنا نام سأورڠ ڤهلاون دري ايندونيسيا, سووديرمن. بلياو جوݢ مسرا دڤڠݢيل ’ديرمن‘ اوليه اهلي کلوارݢاڽ.
منداڤت ڤنديديقن دالم جوروسن اوندڠ٢ دأونيۏرسيتي ملايا, کرجاي سني بلياو برمولا ستله ممنڠي ڤرتنديڠن بينتڠ ار.تي.عيم. ڤد تاهون 1976.
ڤڠنجورن کونسرت ݢرݢاسي دجالن چو کيت ڤد اڤريل 1986 انتارا يڠ ڤاليڠ دأيڠتي دان برجاي مڠهيمڤونکن همڤير 100,000 ڤنونتون يڠ مڽقسيکن ڤرسمبهنڽ. کونسرت ݢرݢاسي ايت جوݢ ممبوات نام سوديرمن ترترا دالم مليسيان بوک اوف ريکود.
سوديرمن جوݢ مڠهارومکن نام نݢارا اڤبيلا برجاي مرڠکول انوݢره ڤڠهيبور نومبور 1 اسيا دأسيان ڤوقولر موزيک اوردس يڠ برلڠسوڠ درويال البرت هول, لندن ڤد تاهون 1989. بلياو مروڤاکن ڤڽاڽي مليسيا ڤرتام ممنڠي انوݢره ترسبوت.
سماس حياتڽ, سوديرمن دکنلي دڠن ڤلباݢاي ݢلرن انتاراڽ ‘The Singing Lawyer’, سنيمن رعية دان ايلۏيس مليسيا.
سوديرمن ڤرنه مونچول دالم اچارا ڤنوتوڤ سوکن سي 1989 يڠ دأنجورکن کوالا لمڤور ڤد 31 اوݢوس 1989 دڠن مماکاي باجو بنديرا مليسيا ترڤنجڠ.
سوديرمن جوݢ ممڤو مڽاڽي دالم ڤلباݢاي بهاس ياءيت ملايو, ايڠݢريس, تاميل, چينا دان هيندي. بلياو جوݢ بوکن هاڽ دکنلي سباݢاي ڤڽاڽي, تتاڤي جوݢ سباݢاي ڤڠهيبور, ڤݢوام, ڤنوليس, ڤلوکيس, ڤڠݢوبه لاݢو, ڤڠارڠ بوکو, اوسهاون دان ڤلاکون.
سوديرمن مڠهمبوسکن نافس تراخير ڤد 22 فيبرواري 1992 کتيک براوسيا 37 تاهون عقيبة رادڠ ڤارو٢. جنازهڽ دسماديکن دتمرلوه, بردکتن دڠن ڤوسارا ايبو باڤاڽ.
جک اندا ايڠين منلوسوري قيصه ڤڠهيبور ليݢيندا اين, اندا بوليه برکونجوڠ ک فهرينهيت88 دبوکيت بينتڠ, کوالا لمڤور. دتيڠکت دوا ڤوست بلي بله ايت سدڠ برلڠسوڠ ڤاميرن ’واريثن سودير : تريبيوت کڤد ڤڠهيبور نومبور 1 اسيا‘ سمڤنا بولن کمرديکاءن.
MERDEKA 65 TAHUN
Sudirman & 31 Ogos
Setiap kali tiba bulan Ogos dan menjelangnya sambutan kemerdekaan, lagu dendangan Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad pasti akan berkumandang di mana-mana sahaja.
Alunan suara penyanyi yang dikenali dengan jolokan ‘Penghibur Nombor 1 Asia’ itu begitu ikonik dan sinonim dengan sambutan kemerdekaan negara. Di mana-mana akan kedengaran lagu ‘31 Ogos’ bergema.
Melihat sejarah penghibur serba boleh ini semasa hayatnya dalam pelbagai persalinan Jalur Gemilang, ia menjadikan nama Sudirman terus dikenang sebagai penyanyi patriotik Malaysia yang terhebat sepanjang zaman.
Selain ‘31 Ogos’, lagu ‘Warisan’ dan ‘Tegakkan Bendera Kita’ antara lagu patriotik Sudirman yang masih popular sehingga sekarang. Lagu-lagu ini dimuatkan dalam album Abadi yang diterbitkan pada tahun 1982.
Sebenarnya, ada kisah di sebalik pembuatan album ini. Pada piring hitam album tersebut, Sudirman pernah mencoretkan bahawa pada awalnya, syarikat rakaman EMI dan penerbit album itu, S.Atan tidak yakin untuk menerbitkan album patriotik yang dikehendakinya kerana bimbang masyarakat sukar menerima album sebegitu pada zaman tersebut.
Namun, semangat kebangsaan Sudirman yang begitu kuat akhirnya berjaya meyakinkan pihak syarikat untuk menghasilkan album patriotik. Hasilnya kini, selepas empat dekad, tiada penyanyi lain mampu menghasilkan album patriotik setanding dengan apa yang dihasilkan oleh Sudirman.
Lagu paling ikonik dalam album tersebut sudah tentu lagu 31 Ogos. Namun, ramai yang tidak tahu, penyanyi asal lagu tersebut bukanlah Sudirman. Sebenarnya, lagu tersebut dicipta dan dinyanyikan oleh Ahmad Chass Barra atau lebih dikenali sebagai Ahmad C.B, seorang penyanyi yang berasal dari Medan, Indonesia.
Ahmad C.B merupakan penyanyi Melayu era 60 dan 70-an, dan telah menjadi pemastautin Malaysia sejak tahun 1979. Beliau juga pernah berduet dengan Saloma.
Dalam sebuah temubual yang pernah disiarkan oleh TV3 pada tahun 1993, Ahmad CB menceritakan beliau mencipta lagu Tanggal 31 dengan tujuan ingin menyemarakkan sambutan kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957.
Mengikut cerita, Ahmad CB yang ketika itu berada di Medan semasa mendapat perkhabaran Tanah Melayu akan merdeka, jiwanya meronta-ronta mahu menghasilkan sebuah lagu tanda mengingati kemerdekaan Malaya.
Beliau kemudian menaiki sampan (ada yang kata bot) menuju ke Singapura untuk merakamkan suara bagi lagu Tanggal 31. Setelah selesai proses rakaman, Ahmad C.B pulang semula ke Medan. Begitulah kisah bagaimana lagu ikonik itu terhasil.
Ahmad C.B pernah berkata, dia dilahirkan di Medan, tetapi membesar di Singapura dan Malaya. Walaupun tinggal di Indonesia, namun jiwanya tetap di tanah Melayu, sebab itulah dia menghasilkan lagu Tanggal 31.
Namun, versi asal lagu nyanyian Ahmad C.B itu kurang dikenali, rentaknya juga lebih perlahan dan kurang ceria.
Apabila Sudirman mahu merakamkan kembali lagu itu, komposer S.Atan telah menggubah kembali lagu itu menjadi rentak yang lebih rancak, moden dan bersemangat, sesuai dengan peredaran zaman.
Ternyata percaturan itu berjaya. Sehingga kini, lagu yang diberi nafas baru dan dinyanyikan Sudirman dengan judul 31 Ogos itu terus menjadikannya lagu malar segar yang wajib dimainkan apabila tiba bulan kemerdekaan.
Tentang Sudirman
Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad dilahirkan pada 25 Mei 1954 di Temerloh, Pahang. Beliau merupakan anak bongsu kepada pasangan Haji Arshad bin Haji Hassan dan Puan Romlah binti Dahlan.
Ayahnya menamakan beliau Sudirman sempena nama seorang pahlawan dari Indonesia, Soedirman. Beliau juga mesra dipanggil ‘Diman’ oleh ahli keluarganya.
Mendapat pendidikan dalam jurusan undang-undang di Universiti Malaya, kerjaya seni beliau bermula setelah memenangi Pertandingan Bintang RTM pada tahun 1976.
Penganjuran konsert gergasi di Jalan Chow Kit pada April 1986 antara yang paling diingati dan berjaya menghimpunkan hampir 100,00 penonton yang menyaksikan persembahannya. Konsert gergasi itu juga membuat nama Sudirman tertera dalam Malaysian Book of Record.
Sudirman juga mengharumkan nama negara apabila berjaya merangkul Anugerah Penghibur No.1 Asia di Asian Popular Music Awards yang berlangsung di Royal Albert Hall, London pada tahun 1989. Beliau merupakan penyanyi Malaysia pertama memenangi anugerah tersebut.
Semasa hayatnya, Sudirman dikenali dengan pelbagai gelaran antaranya ‘The Singing Lawyer’, Seniman Rakyat dan Elvis Malaysia.
Sudirman pernah muncul dalam acara penutup Sukan Sea 1989 yang dianjurkan Kuala Lumpur pada 31 Ogos 1989 dengan memakai baju bendera Malaysia terpanjang.
Sudirman juga mampu menyanyi dalam pelbagai bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Tamil, Cina dan Hindi. Beliau juga bukan hanya dikenali sebagai penyanyi, tetapi juga sebagai penghibur, peguam, penulis, pelukis, penggubah lagu, pengarang buku, usahawan dan pelakon.
Sudirman menghembuskan nafas terakhir pada 22 Februari 1992 ketika berusia 37 tahun akibat radang paru-paru. Jenazahnya disemadikan di Temerloh, berdekatan dengan pusara ibu bapanya.
Jika anda ingin menelusuri kisah penghibur legenda ini, anda boleh berkunjung ke Fahrenheit88 di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Di tingkat dua pusat beli belah itu sedang berlangsung pameran ‘Warisan Sudir : Tribute Kepada Penghibur No.1 Asia’ sempena bulan kemerdekaan.
Pameran yang berlangsung sehingga 30 September ini mempamerkan lebih 60 koleksi Sudirman termasuklah replika baju bendera Malaysia terpanjang yang pernah dipakai Allahyarham sewaktu membuat persembahan di majlis penutup Sukan Sea ke-15 pada tahun 1989 di Stadium Merdeka.

