PADA tahun 2009, seorang pakar geologi dari Amerika Syarikat, Dr. Morris Charles telah menyatakan satu fakta yang mengejutkan dunia sains apabila mengandaikan bulan pada suatu ketika dahulu pernah dihuni oleh kehidupan yang cerdas.
Teori itu dikemukakan berdasarkan kepada bukti penemuan sebuah arca berukuran sepuluh inci yang telah ditemui di permukaan bulan lebih 50 tahun yang lalu.
Dr. Morris Charles yang merupakan bekas ilmuwan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika (NASA) telah menyatakan perkara tersebut selepas beliau bersara daripada agensi berkenaan.
Katanya, arca patung batu itu telah ditemui pada tahun 1969 dan dibawa pulang ke bumi oleh angkasawan yang mengikuti misi Apollo 11. Namun, ia telah dirahsiakan daripada pengetahuan umum.
Beliau yang pernah berkhidmat selama 23 tahun bersama NASA memberitahu, teori itu turut menjadi perdebatan di kalangan ahli sains NASA. Namun, rahsia itu tetap tersimpan rapi di kalangan ahlinya sahaja.

Jelasnya Dr. Morris, figura arca berkenaan menggamit rasa ingin tahu di kalangan saintis kerana pembuatan arca itu agak rapi dan mustahil ia boleh terbentuk secara semula jadi.
Beliau dan beberapa rakannya dalam NASA telah mengandaikan bahawa suatu ketika dahulu, bulan pernah mempunyai atmosfera yang mampu menampung kehidupan. Bukan itu sahaja, arca itu juga menunjukkan estetika seni yang mengagumkan berdasarkan pembuatannya.
Arca atau patung yang dikenali sebagai ‘Angel’ itu didapati diperbuat daripada kombinasi besi khusus dan ditemui di sebuah kawasan tinggi di bulan. Patung tersebut bersosok seorang wanita dan dikatakan memiliki sayap di bahagian belakang badan serta memiliki rambut keras yang ikal.
Berdasarkan kepada analisis kimia pula, pakar geologi menduga arca berkenaan berusia lebih 200,000 tahun. Ia merupakan satu jangka waktu yang sangat lama dan adalah mustahil kehidupan di bumi pada ketika itu mempunyai teknologi yang sangat canggih untuk sampai ke bulan.
Perkara ini telah menimbulkan beberapa teori. Pendapat pertama adalah berkaitan dengan teori Terraform yang diperkenalkan oleh Jack Williamson. Teori ini secara hipotesisnya mendakwa berkemungkinan bulan suatu ketika dahulu pernah dihuni oleh hidupan. Bagaimanapun, atmosfera bulan telah mengalami satu perubahan sehingga ia tidak boleh lagi untuk dihuni. Namun, perubahan itu berlaku dalam jangka waktu yang sangat lama dan patung tersebut merupakan tinggalan daripada hidupan yang pernah menetap di situ.

Teori lain pula menyatakan bahawa patung tersebut sebenarnya berasal dari bumi. Perkara ini diperkuatkan lagi oleh pandangan sains moden yang mendapati bahawa bulan sebenarnya terbentuk daripada serpihan bumi yang bertembung dengan sebuah planet kecil bernama Theira kira-kira tiga juta tahun dahulu.
Pertembungan ini telah menghasilkan debu yang banyak di sekeliling bumi dan akhirnya membentuk bulan. Bagaimanapun, ilmuwan yang menyokong teori ini gagal membuktikan bahawa manusia telah pun wujud di bumi sejak tiga juta tahun dahulu. Justeru, ia dianggap tidak masuk akal. Selain bumi, arca batu itu turut dikaitkan dengan kemungkinan ia berasal dari planet lain.
Selain itu, Dr. Miles Fredericks dari Universiti New York dalam merungkai misteri ini turut menyebut teori legenda orang Sumeria. Patung batu itu dikatakan sebagai dewa-dewa bersayap yang dikenali sebagai Annunaki. Ada kemungkinan masyarakat Sumeria suatu ketika dahulu pernah dikunjungi oleh penghuni bulan, namun dakwaan itu gagal dibuktikan secara sahih.
Bagaimanapun, pihak NASA secara rasminya telah menafikan kesemua dakwaan itu. Ia hanya dianggap sebagai satu propaganda, apatah lagi kesemua dakwaan tersebut gagal dibuktikan secara saintifik.

_____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

