SETELAH berjaya melahirkan juara dunia menerusi beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik, barisan kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kini menyasarkan untuk membawa lebih banyak beregu negara menduduki ranking 16 teratas dunia.
Pembantu jurulatih Tan Bin Shen berkata masih banyak yang perlu dilakukan dan beliau tidak mahu terlalu cepat berpuas hati dengan pencapaian tersebut.

Bin Shen bersama Pengarah Kejurulatihan Beregu Rexy Mainaky memainkan peranan penting dalam membantu Aaron dan Wooi Yik merangkul kejuaraan dunia pertama mereka pada Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, semalam (Ahad).
Pasangan itu memenangi gelaran tersebut selepas menewaskan juara dunia tiga kali Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia 21-19, 21-14 di Tokyo Metropolitan Gymnasium.
“Banyak (kerja) perlu dibuat, saya akan bincang dengan Rexy (bagaimana) nak bawa pasangan lain naik ke 16 teratas, ini sasaran kami,” katanya pada sidang media secara dalam talian, hari ini.
BERITA BERKAITAN Aaron Chia-Wooi Yik kini juara dunia!! Tahniah
Pada ketika ini, hanya Aaron-Wooi Yik (ranking keenam) dan juara Terbuka Jerman 2022 Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani (ranking ke-12) berada pada kedudukan 16 teratas dunia.
Beregu kebangsaan lain seperti Man Wei Chong-Tee Kai Wun di ranking ke-28 manakala ‘Patatimo boys’ Wan Muhammad Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal Nazri pada tangga ke-60.
Dalam pada itu, Bin Shen, yang juga bekas pemain kebangsaan, bertekad untuk membantu Aaron-Wooi Yik mencapai tahap yang lebih tinggi dalam permainan, selain mengekalkan momentum mereka untuk meraih lebih banyak kejayaan dalam masa terdekat.
Meskipun Aaron-Wooi Yik dan Rexy meraih lebih banyak perhatian susulan kejayaan tersebut, Bin Shen layak digelar wira di belakang tabir memandangkan beliau adalah warga tempatan pertama membimbing pemain kebangsaan sehingga memenangi kejuaraan dunia.
Sejak kejohanan dunia diperkenalkan pada 1977, Malaysia mara ke final sebanyak sembilan kali iaitu lima dalam acara perseorangan lelaki dan empat dalam beregu lelaki.
Bekas pemain nombor satu negara Datuk Lee Chong Wei beraksi di final sebanyak empat kali iaitu pada 2011, 2013, 2014 dan 2015, Datuk Jalani Sidek-Datuk Razif Sidek (1987), Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang (1993), Soon Kit-Yap Kim Hock (1997), Wong Choong Hann (2003) dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (2010).
— BERNAMA
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

