DI bahagian selatan Afrika, adalah pemandangan biasa jika melihat sekumpulan lelaki berjalan membawa ular terpanjang di dunia iaitu Anaconda. Bahkan, penduduk di sana sanggup menggadaikan nyawa hanya untuk menangkap haiwan pemangsa itu.

Mereka tidak mengendahkan risiko buruk memburu haiwan ini. Apa yang lebih utama adalah bayaran yang diterima kerana itu lebih penting untuk menyara keluarga.

Ppemburu ular ini bukan orang biasa. Kebiasaannya mereka adalah orang yang mahir dan berpengalaman luas dalam berurusan dengan haiwan yang menjadi ikon Amazon itu.

Tiada pakaian khas atau peralatan keselamatan ketika keluar berburu. Cukup hanya mengenakan pakaian biasa, adakalanya hanya berseluar tanpa baju.

Selalunya, mereka bergerak dalam kumpulan kecil yang terdiri hanya dua atau tiga orang. Melalui pengalaman, mereka mudah mengesan di mana lokasi persembunyian Anaconda.

Pemburu anaconda.

Ular ini biasanya tinggal di hutan tropika Amerika Selatan. Kebanyakannya hidup membiak di kawasan hutan di Peru, Brazil, Venezuela, Colombia dan Bolivia. Pendek kata, reptilia yang boleh hidup sehingga berusia 30 tahun ini mendiami sekitar rantau Amazon. Ia gemar kawasan paya kerana sejuk dan menghabiskan banyak masa dalam air untuk menunggu mangsa.

Namun, penangkap Anaconda tidak memilih kawasan seperti itu untuk berburu. Mereka lebih suka menangkap ular gergasi itu di dalam lubang bawah tanah.

Setelah dapat mengesan lubang persembunyian Anaconda, salah seorang pemburu akan dijadikan umpan untuk memasukkan tangan dan sebahagian badannya ke dalam lubang ular.

Sebelum itu, tangan pemburu terbabit terlebih dahulu dibalut kemas menggunakan kulit haiwan yang berbulu. Cara ini bertujuan untuk mengelirukan Anaconda bahawa tangan berbalut itu adalah mangsanya.

Tangan dibalut dahulu dengan kulit haiwan.
Salah seorang dijadikan umpan masuk ke dalam lubang yang menjadi sarang anaconda.

Apabila sudah bersedia, pemburu itu akan memasukkan kepala dan sebahagian badannya ke dalam lubang, sambil menghulurkan tangan berbalut ke mulut Anaconda. Ular yang memiliki gigi kecil tapi boleh menelan mangsa dua kali ganda daripada saiznya sepantas kilat akan menggigit tangan pemburu.

Pemburu kemudian mencekik leher ular itu menggunakan tangannya yang lagi satu. Apabila genggaman tangan memegang leher ular tersebut dirasakan kemas dan selamat, dua rakannya yang menunggu di luar dengan pantas menarik pemburu keluar bersama hasil tangkapan. Begitulah cara mereka menangkap Anaconda.

Kebanyakan hasil buruan ini dijual untuk tujuan komersial. Dalam industri penghasilan produk, kulit Anaconda mendapat permintaan tinggi dalam pembuatan beg, dompet dan kasut. Selebihnya diletakkan ke zoo dan diambil untuk penggambaran filem.

Anaconda ialah raja di dalam hutan Amazon dan pemangsa yang menggerunkan. Sangat bijak dalam penyamaran dan memiliki sikap perahsia. Ia mampu menyesuaikan diri dengan pantas dalam persekitaran untuk terus hidup. Dengan kata lain, ular yang hidup separa akuatik ini tahu bagaimana untuk melindungi diri daripada musuh.

Pun begitu, Anaconda tidak mampu melindungi diri daripada buruan manusia. Aktiviti pemburuan itu telah menyebabkan habitatnya terancam. Selain untuk tujuan keuntungan, Anaconda juga menghadapi ancaman daripada sesetengah manusia yang membunuhnya kerana takut dan menganggap ia adalah pemakan manusia.

Rasa takut ini timbul akibat terlalu percaya dengan paparan filem-filem Barat yang menggambarkan ular ini adalah pemakan manusia. Namun, idea itu sebetulnya salah. Tiada laporan yang mengaitkan kematian manusia disebabkan ular tersebut, walaupun ia bersikap agresif dan ganas.

Bagi sebahagian budaya rakyat Amazon yang menyembah Anaconda, mereka mahukan satu undang-undang khas diwujudkan bagi melindungi haiwan itu. Ini kerana ular raksasa itu juga mempunyai hak untuk hidup seperti haiwan lain.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram