EMAS diketahui adalah logam berharga yang dijadikan aset kekayaan. Tapi, pernahkah anda mendengar manusia minum emas?
Sekitar kurun ke-16, wujud satu amalan aneh iaitu meminum emas yang dikatakan mampu membuatkan wajah kelihatan awet muda. Amalan itu banyak dipraktikkan oleh kalangan wanita bangsawan di Perancis.
Salah seorang yang mempraktikkan amalan pelik ini ialah bekas isteri Raja Perancis, Henry II yang bernama Diane de Poitiers. Dikatakan beliau mengamalkan minum cairan emas untuk mengekalkan kejelitaannya.
Ia turut dibuktikan oleh sekumpulan penyelidik arkeologi dari negara tersebut sewaktu melakukan ekskavasi di kubur wanita berkenaan di istana lama dikenali Anet. Ia berikutan penemuan sejumlah besar kandungan emas yang terdapat pada cebisan rambut milik wanita itu.
Kajian lanjut mengenai penemuan itu, kumpulan penyelidik terbabit tidak menolak kemungkinan Poiters mempraktikkan amalan meminum emas sejak sekian lama.

Pengkaji juga menyatakan bahawa amalan meminum emas berkait rapat dengan satu kepercayaan kuno di Perancis. Ia merujuk pada sejenis logam berwarna kuning iaitu emas di mana golongan bangsawan menganggapnya sebagai objek suci dalam seluruh aspek kehidupan mereka.
Selain dikaitkan dengan kepercayaan kuno, emas juga menjadi bahan penting dalam pembuatan bahan kimia satu ketika dahulu. Dipercayai, penggunaan logam ini cukup popular di kalangan ahli-ahli kimia pada zaman Eropah kuno sebagai salah satu campuran bagi menghasilkan cairan kimia tertentu.
Berita mengenai penemuan tersebut turut diterbitkan dalam sebuah jurnal perubatan, British Medical Journal. Dalam jurnal tersebut menyatakan, amalan meminum cecair emas turut dikaitkan sebagai penyebab utama kematian wanita bangsawan itu.
Berdasarkan bedah siasat yang dilakukan pakar forensik, wujud tindak balas kimia di dalam badan wanita berkenaan. Ia dipercayai akibat Poiters meminum cecair emas dalam tempoh yang lama, sekaligus menyebabkan kesan sampingan jangka panjang pada seluruh sistem tubuh badannya.

Selain menjalankan bedah siasat rangka yang ditemui, pakar forensik turut melakukan penyelidikan ke atas cebisan rambut milik wanita bangsawan itu. Didapati, keputusan yang diperoleh sama dengan teori yang dikemukakan kumpulan arkeologi sebelum ini.
Akibat meminum cecair emas itu turut meninggalkan kesan ke atas rambut milik Poiters. Kesan ketara dapat dilihat adalah daya ketahanan rambut yang mudah cepat rosak dan gugur. Selain itu, di bahagian tulang dan gigi turut kelihatan rapuh dan cepat patah.
Sebenarnya, sejauh manakah amalan meminum cecair emas mampu mengekalkan awet muda?
Dari segi logik akal, emas merupakan sejenis logam dan sudah tentu amalan ini sangat berisiko tinggi dan boleh menyebabkan kehilangan nyawa. Dari segi kesannya, pakar perubatan tidak menolak kemungkinan amalan itu boleh mendatangkan kesan buruk terutamanya pada sistem pencernaan di dalam badan.
Apabila keadaan ini berlaku, seseorang itu mungkin akan mengalami situasi seperti khayal, pengsan, pening, muntah atau cirit-birit yang berlarutan. Selain itu, ia juga boleh menyebabkan kerosakan pada bahagian organ-organ tertentu di dalam badan iaitu usus, paru-paru, mulut dan esofagus.
Malah, tiada bukti kukuh yang membuktikan amalan meminum emas ini boleh membuatkan seseorang itu kelihatan awet muda.
Dalam kes Diane de Poitiers , ia sesuatu yang agak mengejutkan dalam dunia perubatan. Ini kerana wanita bangsawan itu langsung tidak mengalami sebarang komplikasi buruk sepanjang dia meminum cecair tersebut semasa hidup.
Berkemungkinan berlaku proses adaptasi (proses penyesuaian) secara biologi di dalam badan wanita itu. Proses ini biasanya berlaku dalam pelbagai faktor. Antaranya ialah disebabkan pengaruh genetik, tekanan daripada kawasan persekitaran dan pengaruh di dalam sesuatu budaya.
Selepas kematian Raja Henry II, wanita bangsawan ini telah dibuang negeri dan dihalau dari istana oleh madunya, Catherine de’Medici ke sebuah istana Anet yang terletak di wilayah Dreux, Perancis. Pada tahun 1566, beliau disahkan meninggal dunia di istana tersebut sewaktu berusia 66 tahun.

_____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

