Ini tasik asfalt terbesar di dunia, apa yang ditelan akan dimuntahkan kembali

Dari Penulis

LAZIMNYA bila disebut tasik, sudah tentu gambaran yang terbayang ialah sebuah kawasan berair yang cantik dengan keindahan alam semula jadinya. Namun, ia berbeza dengan tasik yang satu ini.

Tasik Pitch yang teretak di Trinidad ini sangat berbeza dengan tasik lain. Ia tidak digenangi air jernih dan tiada tumbuhan menghijau di sekitarnya. Apa yang disajikan ialah pemandangan hitam pekat kerana tasik tersebut dipenuhi asfalt atau tar semula jadi terbesar di dunia.

Tasik ini pertama kali ditemui oleh Sir Walter Raleigh pada tahun 1595 semasa melakukan ekspidisi ke kawasan ini. Selain Tasik Pitch, danau ini juga dikenali dengan nama La Brea.

Keluasannya kira-kira 40 hektar persegi. Tasik ini tidak berisi air, malah permukaan tasik juga tidak berlumpur. Ia satu-satunya tasik yang dipenuhi dengan bitumen. Kebanyakan longgokan tar ini sudah mengeras dan pengunjung boleh berjalan-jalan di atasnya tanpa perlu rasa bimbang akan tenggelam.

Lokasi tasik Pitch.
Tasik asfalt terbesar di dunia.

Berkunjung ke sini seolah-olah anda sedang berada di sebuah tempat parkir kereta yang sangat luas. Satu perkara menakjubkan tentang tasik ini ialah meskipun ia kelihatan keras dan kaku, namun bahagian permukaan tasik tetap ‘hidup’.

Dikatakan, jika tar ini digali pada kedalaman 40 kaki, lubang itu akan tertimbus sendiri selepas tiga hari kemudiannya.

Bukan itu saja, bahagian bawah permukaan tasik selalu ada pergerakan yang disifatkan agak pelik. Atau dengan kata lain seperti ada kuasa vakum yang menyedut dari bawah danau. Fenomena aneh ini menyebabkan apa saja benda di sekitarnya seperti daun, batang kayu atau haiwan mati akan ditarik secara perlahan-lahan ke dalam tasik.

Selepas beberapa tahun berlalu, sekali lagi kawasan ini akan menunjukkan pemandangan yang mengejutkan. Ini kerana segala sesuatu yang disedut sebelum ini diluahkan semula seperti bahan cerna.

Pernah terjadi pada tahun 1828, sebatang pokok besar berusia sekitar 4,000 tahun yang telah lama ditelan tiba-tiba timbul dari tengah-tengah tasik dengan ketinggian kira-kira 10 kaki. Kemudiannya dengan perlahan-lahan ia tenggelam semula ke dalam tasik hitam itu.

Apa yang ditelan tasik ini akan timbul kembali ke permukaan.

Keadaan unik di tasik ini berlaku disebabkan proses alamiah sejak ribuan tahun dahulu. Malah tar di situ juga terbentuk secara semula jadi dan bersifat tulen.

Pembentukan tar semula jadi itu berlaku kerana di bahagian bawah tasik tersebut terdapat lapisan sedimen (mendapan) yang berasal dari lautan. Sedimen laut, sama ada dari tepi pantai atau laut dalam biasanya mengandungi paling banyak organisma mati.

Apabila organisma yang pernah hidup di lautan ini tiba-tiba terperangkap dalam mendapan ini, ia akan menjadi fosil. Proses penimbunan sisa-sisa organisma mati sama ada dari sel haiwan atau sel tumbuhan akan melalui proses enapan dan terkumpul lalu membentuk satu lapisan cangkerang.

Enapan cangkerang ini kemudiannya mengeluarkan bahan larutan organik. Perebutan bahan organik itu akhirnya telah menyumbang kepada pembentukan tar. Proses alamiah ini lebih kurang sama seperti mana pembentukan minyak. Cuma bezanya, tar belum sampai ke tahap menjadi minyak.

Mengapa bahan berwarna hitam pekat itu keluar dengan sendirinya menjadi danau, kejadian itu berlaku disebabkan kedudukan Tasik Pitch berada berdekatan dengan kawasan gempa bumi dan gunung berapi.

Apabila gempa bumi berlaku, pergerakan plat Bumi berlaku. Kesan pergerakan itu menyebabkan berlaku lipatan pada sedimen ini. Lipatan ini seterusnya mengalami regangan dan terpecah menjadi rekahan. Rekahan ini seterusnya tenggelam seperti jerlus.

Akibatnya, bahan-bahan organik terkumpul di bahagian teras. Malah, kesan daripada perubahan kerak bumi ini telah menekan bahan-bahan organik. Daya tekanan yang terlalu kuat menyebabkan bahan organik yang membentuk tar naik ke atas melalui rekahan-rekahan, seterusnya mengisi kawasan jerlus.

Daripada peristiwa inilah kenapa tar atau apa saja yang tenggelam akan keluar semula ke permukaan Tasik Pitch. Dan kejadian ini akan terus berulang selagi mana gempa bumi berlaku.

Tasik Pitch juga merupakan kawasan yang banyak mengandungi fosil. Tasik unik itu boleh menelan apa saja di sekitarnya, setelah itu ‘meludahkannya’ selepas beberapa bulan atau tahun tanpa merosakkan keadaan asal haiwan, kayu atau daun yang ditelannya.

Ini kerana, tar tidak mengandungi oksigen yang cukup untuk mereputkan pokok atau haiwan mati. Sebab itu, bahan yang tenggelam dalam lapisan tar akan kelihatan seperti diawet setelah timbul semula ke permukaan danau.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Pontianak rambut panjang… Misteri Highland Towers tidak pernah  berakhir

Malam itu masih segar dalam ingatan segelintir penduduk sekitar Highland Towers. Walaupun lebih tiga dekad telah berlalu, kenangan terhadap...

More Articles Like This