PADA 12 September lalu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid memaklumkan kementerian sudah bersedia menghadapi kemungkinan banjir besar yang dijangka November.

Sudah pastilah apabila Mahdzir berkata demikian, ia bukanlah omong kosong apatah lagi sekadar kenyataan di depan media, hakikatnya seperti mana kata beliau, kementerian itu sudah cukup berpengalaman berhadapan dengan bencana berkenaan.

Pengalaman itu bukan sekadar ketika bencana berlaku malah juga tindakan bagi memulihkan kawasan dan membantu penduduk selepas bencana terjadi. Dalam soal ini, KPLB berkemampuan melakukannya kerana kementerian tersebut mempunyai banyak agensi di luar bandar terutamanya agensi wilayah. Ia sudah dibuktikan dalam kejadian banjir di beberapa kawasan sebelum ini.

‘’Kita ada banyak agensi yang melibatkan masyarakat di luar terutamanya agensi wilayah. Kita ada KEJORA di Johor, kita ada KETENGAH di Terengganu, kita ada KESEDAR di Kelantan, kita ada KEDA di Kedah, kita ada PERDA (Pulau Pinang). Kita juga ada JAKOA (Jabatan Kemajuan Orang Asli).  Di peringkat pusat pula kita ada Felcra, RISDA juga MARA, kemudian di kementerian sendiri kita ada bahagian,’’ kata Mahdzir kepada media baru-baru ini.

Kesemua agensi tersebut sememangnya sudah berpengalaman terutamanya dalam memastikan bantuan  dapat disalurkan kepada penduduk dan proses pemulihan kawasan terjejas dilakukan  segera.

Sebelum ini apabila banjir melanda, Bentong, Hulu Langat dan Banting serta Baling, agensi-agensi berkenaan memainkan peranan proaktif melaksanakan bantuan secepat mungkin mengikut peruntukan sedia ada. Ia bertujuan bagi memastikan kebajikan dan keperiuan mangsa banjir terutama di luar bandar terjamin.

Pada masa sama, ketika itu juga kita pernah menyaksikan bagaimana  lebih 3,000 sukarelawan KPLB dan agensinya digerakkan bagi membantu kerja-kerja pembersihan rumah mangsa banjir termasuk membaiki pendawaian dan barangan elektrik di Kawasan Angkat di Bukit Changgang, Banting, Huala Langat dan Kampung Karak Setia, Bentong, Pahang.

Selain peruntukan  berjumlah RM4 juta dalam bentuk sumbangan barangan keperluan seperti bakul makanan dan kit pembersihan diri kepada mangsa banjir, KPLB juga menyediakan bantuan baik pulih.

Melalui bantuan ini KPLB menyediakan peruntukan RM15,000  bagi setiap rumah penduduk luar bandar yang layak menerima bantuan itu. Manakala RM55,000 diperuntukkan bagi bantuan bina baharu rumah mangsa banjir yang kehilangan kediaman sepenuhnya.

BERITA BERKAITAN KPLB agihkan 1,050 kit bantuan kepada mangsa banjir di Lipis

Oleh itu apabila khabar mengenai bencana banjir mungkin akan berada ‘di ambang pintu’ tidak lama lagi, Mahdzir dengan penuh yakin kementerian sudah bersiap sedia bagi menghadapi situasi itu.

Sememangnya KPLB mempunyai agensi-agensi yang lengkap bagi melaksanakan tanggungjawab bak kata orang daripada memindahkan mangsa ke pusat banjir hinggalah menghantar kembali mangsa ke rumah mereka yang sudah dibaikpulih.

Semua itu mampu dilakukan kerana KPLB membuat persiapan cukup rapi berdasarkan data-data yang dikumpul daripada agensi dan jabatannya. Atas sebab itulah Mahdzir dilihat sering menekankan soal pengumpulan data penduduk.

Ia memandangkan data-data tersebut amat penting dalam usaha memastikan penduduk dan kawasan terlibat dikenalpasti bagi membolehkan bantuan diberikan, usaha pemulihan dilaksanakan.

Justeru  kelmarin Mahdzir berkata, KPLB akan menggerakkan JAKOA dan  Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi memastikan penduduk di pedalaman menerima bantuan jika berlaku banjir pada musim tengkujuh nanti.

“Persediaan banjir ini (KPLB) dia ada prosedur operasi standard (SOP), contohnya di kawasan pedalaman kita ada JAKOA yang sudah ada SOP mereka dan nak buat apa, kalau dari 850 kampung Orang Asli di seluruh Semenanjung ini, dia (pegawai JAKOA) sudah tahu kawasan mana yang selalu banjir.

“Begitu juga dengan Ketua Kampung atau JPKK yang dilantik seluruh negara contohnya aliran hulu ke hilir sungai di daerah Padang Terap, mana kampung yang sebenarnya selalu banjir,  yang tepi sungai ini dia sudah hafal sepatutnya dan dia akan ambil tindakan,” katanya.

Apabila banjir sudah berakhir, KPLB melaksanakan pula fasa pemulihan. Agensi-agensi kementerian akan mengumpul data bagi mengetahui jumlah mangsa terlibat, rumah yang rosak, infastruktur yang musnah serta bentuk bantuan yang boleh diberikan bagi meringankan beban mangsa. Semua itu mampu dilaksanakan berikutan persiapan awal yang dilakukan oleh KPLB.

Pada masa sama, Mahdzir sendiri bukan sekadar memberi arahan atau tahu membuat kenyataan media sahaja malah beliau sendiri turun padang meninjau kemusnahan dan mendengar rintihan mangsa terlibat.

Melalui pendekatan itu, ia sudah pastilah akan membolehkan beliau sendiri mengetahui apa yang diperlukan bagi membolehkan bantuan disalurkan.

Kesimpulannya, peranan KPLB dalam menghadapi bencana sangat signifikan iaitu  bertanggungjawab memulihkan kawasan luar bandar yang musnah dan mengembalikan semula kehidupan penduduk yang terjejas.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram