OLEH: PROF. EMERITUS M.KAMAL HASSAN

SEBAGAI seorang ahli akademik non-partisan sejak dari bangku sekolah sampai sekarang, saya, yang sudah mendekati usia 80 tahun, TIDAK PERNAH berfikir bahwa satu hari nanti saya akan menulis buku tentang politik di Malaysia. Apa yang mendorong saya untuk menulis ialah tiga faktor utama:

Keadaan pandemik korupsi dan kemunafikan politik bangsa Melayu-Muslim yang amat memalukan dan menjijikkan. Ia sudah menjadi ibarat penyakit kanser yang sudah di peringkat terminal;

Sebagai seorang Muslim kita bertanggungjawab kepada Allah SWT untuk menunaikan tanggungjawab amar makruf nahi mungkar. Kemungkaran sudah demikian bobrok, terutama setelah meletupnya gunung berapi yang bernama 1MDB.

Skandal kleptokratik sebesar itu sepatutnya telah mencetus tsunami politik yang akan merubah landskap politik Melayu dan parti politik Melayu, tetapi malangnya ia tidak menimbulkan transformasi dalaman yang saya harap-harapkan.

Akibatnya, kemunafikan berterusan, fitnah memfitnah, tipu helah dan konspirasi menjadi suatu kebiasaan baharu (new normal), dan banyak nilai-nilai dan norma agama sudah dianggap tidak penting, lalu negara Malaysia ditanggapi oleh masyarakat antarabangsa sebagai antara negara yang paling korup di dunia.

Saya bertambah malu dan dalam hati saya terasa bahawa saya akan ditanya di Hari Pembalasan nanti “apa yang kamu buat untuk mencegah kemungkaran seburuk itu sekian lama?”

Saya percaya jalan keluar daripada krisis amat parah ini memerlukan bukan sahaja reformasi politik dan perubahan-perubahan struktural dan undang-undang, tetapi suatu TRANSFORMASI akhlak dan budi pekerti yang besar-besaran.

Kita semua maklum bahawa akhir-akhir ini ramai cendekiawan Melayu dan bukan Melayu, ulama dan umara yang merasa amat kecewa dengan fenomena kehilangan etika dan akhlak mahmudah dalam budaya politik Melayu.

Ramai yang mengeluh, mencemuh, marah dan meluat melihat keadaan politik tak beretika berterusan menggongcangkan kestabilan negara.

Saya telah memetik dalam buku saya, pertama dalam naskhah berbahasa Inggeris dan dalam naskhah terjemahan dalam bahasa Melayu yang ada sekarang, banyak pandangan kritis yang disuarakan melalui media, khususnya dari kalangan intelligentsia yang non-partisan.

Saya beri perhatian kepada kritikan-kritikan tajam oleh Tun Musa Hitam, Tan Sri Hamid Bador dan lain-lain.

Tetapi teguran dan nasihat yang disampaikan beberapa kali oleh DYMM Sultan Nazrin Muizuddin Shah amat bermakna sekali kerana ia mencerminkan keprihatinan, keberanian, kejujuran, kepekaan dan kepedulian DYMM Sultan Nazrin mewakili keluhan semua rakyat.

Tiap kali DYMM Sultan Nazrin sebagai Ketua Agama Islam yang amat peduli tentang nasib rakyat, maruah bangsa, nasib negara akibat tindak-tanduk ahli politik yang tak bermoral, kita merasa lega dan bersyukur.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Pelancaran Buku ‘Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu’ di Shah Alam, hari ini.

Saya ingin menjelaskan bahawa buku kecil saya ini bukan berbicara tentang kasus-kasus korupsi politik semasa dan simtom-simtomnya; ia sebenarnya bertujuan memberi fokus kepada isu penyelesaian yang sebaik-baiknya kepada fenomena
korupsi politik yang sudah membudaya sekian lama dalam masyarakat dan negara Malaysia.

Tentu sekali penyelesaian boleh mengambil pelbagai bentuk saperti reformasi undang-undang, reformasi sistem politik, reformasi sistem ekonomi dan reformasi sistem pentadbiran.

Tetapi saya memilih penyelesaian yang bertunjangkan transformasi moral dan etika secara besar-besaran, kerana pada hemat saya, kekuatan moral dan etika, atau akhlak dalam bahasa agama, dalam dunia politik khususnya telah dan sedang mengalami keruntuhan yang parah.

Keruntuhan yang parah ini, antara lain, adalah akibat daripada beberapa kemasukan ideologi-ideologi berikut dalam negara moden pasca kemerdekaan, iaitu nasionalisme, modenisme, sekularisme, kemajuan (progress) dan pembangunan (development) yang diimport langsung dari tamadun Barat moden, termasuk institusi demokrasi berparlimen bermodel Westminster.

Ideologi-ideologi dari tamadun Barat ini terbina di atas faham rasionalisme sekular yang menafikan peranan agama dan wahyu Tuhan. Apabila diterapkan dalam budaya dan masyarakat Timur, maka berlakulah proses sekularisasi politik, ekonomi, budaya, pembangunan dan modenisasi.

Baca artikel berkaitan: Jangan berhelah nafi kewujudan ‘gajah’ rasuah di hadapan mata – Sultan Nazrin

Akhlak yang berteraskan agama dan wahyu mulai dipinggirkan dalam institusi politik dan ekonomi. Banyak ajaran Islam dihanyutkan oleh arus modenisasi sekular, sistem nilai kebendaan dan dikotomi antara dunia dan akhirat, atau antara nilai profane dengan nilai sakral.

Politik yang dikenali sebagai siasah dalam tamadun Islam ialah sistem urustadbir kehidupan dunia yang berpandukan agama dan wahyu Ilahi dan oleh itu ia menjadi institusi yang amat penting dari sisi agama Islam.

Dalam dunia moden di bawah naungan pandangan alam (worldview) sekularisme, politik bertukar menjadi alat perebutan kuasa, dan alat untuk mengawal atau menghapuskan kuasa dan wewenang agama.

Di Malaysia pasca-merdeka, natijahnya ialah hilanglah nilai al-haya’ (rasa malu) yang dianggap sebagai nilai terpenting dalam sistem akhlak Islam dan akhlak persaudaraan Islam.

Hilang juga nilai al-sidq (bercakap benar) ditimbus oleh amalan berbohong (lying), tipu helah (deceit) dan putar belit dalam budaya politik moden. Tenggelamlah nilai al-qana’ah (redha dengan apa yang ada) di bawah arus budaya tamak haloba, individualisme dan kebendaan.

Hubungan politik atau siasah dengan kebertanggungjawaban kepada Allah SWT, dengan akibatnya di alam akhirat dan dengan keredhaan atau kemurkaan Ilahi tenggelam dalam pertarungan mengejar kuasa, harta dan kemenangan dalam pilihan raya yang diperkenalkan oleh sistem demokrasi liberal.

Konsep ummah wahidah (umat yang bersatu) dan ummah wasat (umat yang adil, cemerlang dan seimbang) yang ditonjolkan oleh al-Quran lenyap ditelan oleh arus chauvinisme dan ketakssuban kepartian.

Saya menjelaskan dalam buku saya beberapa ajaran dan perspektif Islam yang penting tetapi telah dilupakan atau disalahfahamkan oleh masyarakat Islam dan pemimpin-pemimpin politik. Antara ajaran-ajaran penting itu ialah:

Insan ialah makhluk Allah SWT yang dijadikan pertama untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT dan untuk mengurus bumi atas nama Penciptanya SWT selaku Khalifah (Q. al-Dhariyat 51: 56; al-Baqarah 2: 30).

Khalifah ini dikehendaki mengurus bumi dengan mentaati perintah Allah SWT, menggunakan Kitab Allah SWT sebagai panduan utama, dan menggunakan akal sebagai pelengkap kepada wahyu Ilahi.

Dalam realiti, manusia Muslim menggunakan label “Khalifah” tetapi dalam pembangunan politik, ekonomi, budaya dan alam sekitar manusia Muslim mengabaikan fungsi Khalifah yang sebenar yang telah ditetapkan oleh Penciptanya. Dalam dunia politik moden, pengabdian orang politik bukanlah kepada Allah SWT tetapi kepada dirinya, partinya, kroninya atau kawasan pilihan rayanya.

Iman kepada Allah SWT dan ajaranNya mempunyai fungsi yang amat besar dalam kehidupan manusia dan pembinaan tamadun rabbani. Orang yang beriman (al-Mu’min, al-Mu’minun) ialah insan istimewa yang bukan sahaja percaya kepada Allah SWT tetapi sebenarnya mencintai Allah SWT lebih daripada yang lain (lihat Q. al-Baqarah 2: 165).

Orang yang beriman ialah alat manusiawi yang paling dipercyai oleh Allah SWT dan Ia gunakan untuk merealisasi tujuan-tujuan suciNya kerana ia memiliki ciri-ciri moral yang terpuji. Cara-cara orang Mu’min ialah unik sehingga Allah SWT memberikan nama “Sabil al-Mu’minin” (Jalan Orang-Orang Beriman atau “The Way of the Believers”. Lihat Q. al-Nisa’ 4: 115) yang harus diikuti oleh manusia lain.

Dalam realiti sosial, iman terpisah daripada dunia politik, ekonomi dan budaya, dan Sabil al-Mu’minin yang dipuji oleh al-Qur’an tidak wujud. Iman hanya dimanifestasikan dalam aspek ibadah khusus sahaja, dalam solat, puasa, haji dan sebagainya.

Perintah Allah SWT supaya umat Islam mencari bimbingan, petunjuk, jawapan dan penyelesaian kepada masalah-masalah besar, pertama sekali dalam al-Quran, kemudian dalam Sunnah Nabi (s.a.w.) dan baru sesudah itu diserahkan penyelesaian masalah kepada akal manusia. (lihat ayat Q. al-Nisa’ 4: 5).

Ajaran ini mempunyai implikasi yang besar sekali dalam politik, pemerintahan dan urustadbir negara. Dalam realiti politik, malangnya kehendak akal bebas dan hawa nafsulah yang dijadikan ikutan.

Rasulullah SAW diutuskan oleh Allah SWT untuk merealisasi kesempurnaan akhlak (husnu’l-khuluq) dan penghayatan iman dalam agama Islam mesti membuahkan akhlak yang mulia.

Iman yang tidak melahirkan akhlak mulia bukanlah iman yang sejati. Dan apabila hubungan keimanan dengan kemuliaan akhlak terputus, sebagaimana yang berlaku dalam budaya politik, maka moral dan etika manusia tiada lagi mempunyai kompasnya yang sebenar, perintah amar makruf nahi mungkar tidak lagi berperanan sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT, dan ibadah menjadi ritual yang tidak berjiwa kerana putus hubungannya dengan perlakuan yang berakhlak mulia.

Allah SWT memperkenalkan konsep ummah yang diikat oleh akidah yang sama untuk mengatasi konsep kaum, kabilah, bangsa atau negara. Umat Islam ialah suatu komuniti pelbagai kaum, budaya dan bahasa yang disatukan oleh kepercayaan kepada agama Tauhid.

Umat yang dipimpin oleh agama ini dianggap sebaik “Sebaik-Baik Umat Yang Diterbitkan Untuk Manusia” (Q. Al `Imran 3: 110). Ikatan persaudaraan umat ini adalah luar biasa dan Allah SWT melarang anggota persaudaraan ini berpecah.

Mereka diperintah “berpegang teguh dengan tali Allah” (lihat Q. Al `Imran 3:103, 104, 105). Dalam realiti politik, ikatan ummah tidak penting, yang penting ialah persaudaraan yang diikat oleh kesetiaan kepada parti.

Atas nama kepentingan parti orang Islam bersedia mencipta perpecahan demi perpecahan di Malaysia dan di negara orang Islam yang lain saperti Indonesia, Turki, Sudan, Pakistan atau Nigeria asalkan parti mereka, betapa kecil pun, boleh wujud dan bertanding dalam pilihan raya.

Dalam realiti, nasionalisme atau fanatisme kepartian berada di atas kepala ummah. Ternyata Ummatisme yang diwujudkan oleh Allah SWT sering dikalahkan oleh faham-faham kebangsaan dan fanatisme kepartian.

Realiti perpecahan umat yang memalukan itu telah berjaya menenggelamkan idealisme kesatuan, solidariti dan ukhuwwah Islamiah.

Allah SWT memperkenalkan suatu konsep umat yang terbaru, iaitu Ummah Wasat, iaitu sebuah komuniti agama yang terkenal brsifat Adil, Cemerlang, Terpilih dan Seimbang.

Allah SWT membuat satu deklarasi dalam al- Quran bahawa “Kami telah jadikan kamu (umat Muhammad) sebagai Ummatan Wasatan supaya kamu menjadi saksi terhadap seluruh manusia dan Rasulullah (s.a.w.) akan menjadi saksi terhadap kamu (di Akhirat nanti)” (Q. al-Baqarah 2: 143).

Sifat Wasatiah umat Islam ini adalah tanggungjawab terpenting bagi umat Islam. Tetapi sayangnya dan malangnya, sifat Wasatiyyah ini bukan saja disalah artikan sebagai “kesederhanaan” oleh banyak pemimpin politik, tetapi tidak ada satu negeri orang Islam pun di dunia ini yang meletakkan Wasatiyyah ini sebagai dasar negara (ketimbang 17 Matlamat Pembangunan Mampan (17 SDG) yang diterima pakai oleh majoriti negeri orang Islam).

Atau merancang secara serius dan sistematik untuk merealisasi tanggungjawab sakral ini di masa hadapan, walau pun Allah SWT telah mengingati umat Islam bahawa di Hari Akhirat, Nabi Muhammad (s.a.w.) sendiri akan menilai prestasi umat dari segi sifat Wasatiahnya.

Sekarang saya ingin bertanya umat Islam di Malaysia, “Apakah keadaan umat Islam dan negara Malaysia pada 28 November 2076, iaitu bermulanya tahun 1500 Hijri?” (menurut kiraan Islamicfinder.org).

Kepada pemimpin parti-parti politik yang beragama Islam di Malaysia, saya nak kemukakan soalan, “Tidakkah sudah sampai masanya parti anda menerima pakai dasar Ummatan Wasatan dengan menegaskan bahawa parti anda ingin ikut serta umat Islam yang mahu menjadikan Keadilan, Kecemerlangan, Keterpilihan dan Keseimbangan sebagai antara matlamat utama parti menuju masa depan yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia bila 28 November 2076 nanti muncul?”

Dengan berbuat demikian, saya harap anda dan pengikut-pengikut politik anda boleh memberi respons yang positif bila Rasulullah SAW datang kepada anda di Hari Kiamat dan menyoal tentang prestasi parti anda memperjuangkan ciri-ciri Wasatiah yang sebenar, bukan Wasatiah yang disalahartikan oleh pemimpin politik demi kepentingan politik.

Kepemimpinan adalah amanah penting dari Allah SWT, bukan penghormatan (tashrif). Orang Islam yang menjadi pemimpin atau yang ingin menjadi pemimpin masyarakat atau negara perlu sedar makna dan implikasi kepemimpinan dari perspektif Islam, kerana ia berbeza dengan kepemimpinan dari perspektif sekularisme atau humanisme.

Dari perspektif Islam, pemimpin bertanggungjawab langsung kepada Allah SWT. Ia mempunyai risiko penyesalan (al-nadamah) di Akhirat nanti kerana ia akan disoal di Akhirat tentang pelaksanaan tanggungjawab dan amanah itu.

Model kepemimpinan terbaik yang harus ditauladani ialah kepemimpinan Rasulullah (s.a.w.) dan al-Khulafa’ al-Rashidun.

Oleh kerana kepemimpinan adalah amanah daripada Allah SWT dan contoh terbaik ialah kepemimpinan para Anbiya’, si pemimpin menganggap dirinya sebagai khadam kepada rakyat dan matlamat terakhirnya ialah untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT, bukan populariti atau sanjungan daripada manusia.

Egonya ditundukkan oleh nilai tawaduknya, keikhlasan, keihsanan dan taqwa kepada Allah SWT.

Dalam realiti politik kini, pemimpin bertanggungjawab hanya kepada partinya dan rakyat yang memilihnya. Oleh kerana itu ia tidak perlu memikirkan tentang akibatnya di akhirat.

Untuk mengekalkan statusnya dan popularitinya sebagai pemimpin utama politik atau negara yang membawa banyak faedah kebendaan kepada dirinya (dan kepuasan egonya), dan keluarganya, ia sanggup melakukan perkara-perkara tak beretika saperti pembohongan, janji palsu, kemunafikan dan rasuah.

Pemimpin yang bertaqwa dan mencintai Allah SWT tidak akan membiarkan dirinya, keluarganya atau organisasinya ditipu atau diperdayakan (maghrur) oleh kemewahan dunia, desakan hawa nafsu (nafs ammarah) atau kesenangan-kesenangan palsu yang ditayang dan dibisikkan oleh syaitan dalam hatinya.

Dalam realiti politik, penyakit yang dikenali di dalam al-Quran sebagai ghurur ini amat lumrah sekali, dan banyak pemimpin menjadi mangsa ghurur dalam kerjayanya.

Untuk mengatasi dan menyelesaikan krisis keruntuhan akhlak dalam politik Melayu yang saya singgung di atas, saya mengesyorkan dalam buku saya supaya orang-orang politik, termasuk pemimpin dan pengikut, dan bakal-bakal pemimpin politik Islam dalam kalangan belia dan beliawanis didedahkan secara sistematik kepada beberapa gagasan ilmiah yang amat penting dan proses transformasi yang berikut:

a) Pemahaman tentang Pandangan Alam Tauhid yang menjadi asas metafizik dan transenden kepada budaya politik yang diperlukan.

Pendedahan ini akan membolehkan orang-orang politik memahami konsepsi-konsepsi Islam tentang Tuhan, Agama, Manusia, Alam, Kehidupan di Dunia dan Kehidupan di Akhirat secara mendalam dan relevansinya dengan politik dan pemerintahan.

b) Paradigma Kepemimpinan Theosentrik (PKT) yang berdasarkan model kepemimpinan Rasulullah (s.a.w.), supaya kepemimpinan yang hendak diwujudkan akan mempunyai integriti dan kekuatan moral yang kukuh dan tahan uji sebagaimana yang dibuktikan oleh sejarah awal Islam dan kecemerlangan moral negara yang dipimpin oleh pemimpin-pemimpin theosentrik di zaman silam.

Di antara tujuan PKT ialah meningkatkan penghayatan agama orang Islam, khususnya orang politik, dari tingkatan nominal kepada tingkatan optimal di mana berlakunya integrasi īmān, iḥsān, taqwā dan maḥabbah (cinta kepada Allah SWT) sehingga orang-orang yang akan jadi pemimpin nanti akan menjadi gabungan empat komponen kepribadian mukmin yang unggul:

Mukminin-Muḥsinūn-Muttaqun- Muḥibbūna’Llāh. Sebenarnya inilah gabungan yang perlu dicapai oleh semua orang yang beriman, tetapi oleh kerana terdapat kelemahan dan kepincangan dalam pendidikan agama, kebanyakan orang Islam wujud pada tahap yang nominal.

Akibatnya tahap cinta kepada Allah sebagai syarat terpenting menjadi orang beriman diabaikan. Allah SWT menerangkan dalam al-Quran bahawa “orang-orang yang beriman sangat kuat cinta mereka kepada Allah (Q. al-Baqarah 2: 165)”.

c) Tarbiyah rūḥiah (tarbiah kerohanian) atau tarbiah īmāniah yang merupakan teras dalam PKT. Inilah mekanisme bagi menjayakan agenda transformasi politik orang Melayu, iaitu satu program Pendidikan Kerohanian yang dibentuk khusus untuk pemimpin-pemimpin dan mereka yang ingin menjadi pemimpin.

Inilah tarbiah yang akan membersihkan hati- hati pemimpin dan bukan pemimpin daripada cinta kepada dunia dan cinta kepada diri sendiri; yang membawa mereka ke arah Allah SWT; sebuah tarbiah yang membebaskan mereka daripada menyembah benda, hawa nafsu dan fikiran-fikiran yang tidak baik supaya dengan itu mereka akan hanya menyembah Allah.

Di antara tujuan PKT ialah meningkatkan penghayatan agama orang Islam, khususnya orang politik, dari tingkatan nominal kepada tingkatan optimal di mana berlakunya integrasi īmān, iḥsān, taqwā dan maḥabbah (cinta kepada Allah SWT) sehingga orang-orang yang akan jadi pemimpin nanti akan menjadi gabungan empat komponen kepribadian Mukmin yang unggul: Mu’minūn-Muḥsinūn-Muttaqūn- Muḥibbūna’Llāh.

Sebenarnya inilah gabungan yang perlu dicapai oleh semua orang yang beriman, tetapi oleh kerana terdapat kelemahan dan kepincangan dalam pendidikan agama, kebanyakan orang Islam wujud pada tahap yang nominal.

Akibatnya tahap cinta kepada Allah sebagai syarat terpenting menjadi orang beriman diabaikan.

Di akhir proses penyucian diri itu, mereka akan menjadikan taqwa dan mahabbah kepada Allah SWT sebagai teras utama kepribadian mereka: dengan sifat-sifat terpuji itu mereka akan dapat mengikis pemikiran mereka daripada daripada sifat egoisme atau kemunafikan.

Dengan taqwa mereka dapat mengawal lidah mereka daripada ucapan-ucapan penuh kepalsuan, bersihkan mata daripada pengkhianatan, menjauhkan kata-kata daripada perkara sia-sia, bersihkan kerja ibadat daripada rasa riyak, dan bersihkan perhubungan sesama manusia daripada tipu daya, dan menjauhkan kehidupan daripada sebarang kontradiksi.

Mereka akan menjadikan taqwa dan mahabbah kepada Allah SWT sebagai ciri utama kepribadian mereka. (Yusuf al-Qaradawi, Mensufikan Salafi dan Mensalafikan Sufi. Yogyakarta: USWAH, 2008: 34)

Terdapat tujuh asas yang harus ada dalam tarbiyah ruhiah yang diperlukan itu.

  1. Iman kepada Tauhid semurni-murninya, tanpa sebarang unsur syirik di dalamnya, baik yang berupa zahir atau yang bersifat abstrak.
  2. Berpegang teguh kepada al-Quran dan Sunnah sebagai sumber-sumber kerohanian Islam yang sakral, asli dan paling benar.
  3. Menanggapi kerohanian secara komprehensif dan holistik.
  4. Mengabdikan diri kepada Allah SWT dalam semua aspek kehidupan.
  5. Kerohanian yang tidak merosakkan penghayatan agama yang mudah, rasional dan realistik.
  6. Kerohanian yang berimbang dan tidak bersifat melampau.
  7. Kerohanian yang terjelma dan direalisasi dalam pelbagai aspek kehidupan seorang Mukmin. (Yūsuf al-Qaraḍāwī, Mensufikan Salafi dan Mensalafikan Sufi. Yogyakarta: USWAH, 2008: 44-73)

Adalah diharapkan proses tarbiah ruhiyah dalam PKT ini akan dapat melahirkan generasi baharu pemimpin politik umat Islam dengan ciri-ciri berikut:

Tidak mementingkan diri, jujur, merendah diri, cekap, berlapang dada terhadap pluraliti keagamaan, berlatarbelakang pendidikan berkualiti, mengetahui dan mengikuti realiti dunia semasa, berkeupayaan berdailog secara harmonis dengan masyarakat atau institusi bukan islam, dan – yang terpenting – MEREKA MEMPUNYAI KEUPAYAAN DAN KETRAMPILAN YANG DIKEHENDAKI, IMAN YANG KUAT, INTEGRITI YANG TINGGI SERTA TAQWA DAN MAHABBAH YANG MENDALAM TERHADAP ALLAH SWT.

Dengan menjalinkan kerjasama atau kesepakatan dengan berbagai badan-badan NGO serta kekuatan-kekuatan sosio-politik lain, termasuk yang bukan beragama Islam, suatu budaya politik yang baru dapat diwujudkan, mungkin, di dalam jangka waktu tidak lebih daripada satu dekad, yang memberi keutamaan kepada nilai-nilai ketakwaan, tawaduk, wasatiah, karamah insaniah (kemuliaan insan), gagasan “pemimpin sebagai pemberi khidmat”, pembentukan Sabīl al-Mukminīn dan perpaduan ummah.

Angkatan baru pemimpin yang terdiri daripada pemimpin bertaqwa ini tentunya mesti bersifat multi-ethnik, inklusivistik, demokratik dan didorong oleh prinsip Raḥmatan li’l-`Ālamīn yang ditetapkan oleh Allah SWT.

Angkatan baharu pemimpin politik umat ini, setelah ditarbiahkan oleh PKT akan benar- benar sedar bahawa diri mereka sebagai para Mukminin sudah “dibeli” oleh Allah SWT (Q. al- Taubah 9: 111) dan mereka secara hakiki tidak mempunyai apa-apa, apa lagi kuasa atau pangkat kebesaran.

Mereka tidak boleh dibeli oleh kuasa, harta, pangkat, kesenangan dunia atau apa saja. Sebarang kuasa atau kedudukan yang mereka perolehi adalah barang pinjaman, amanah sakral dan uijan (ibtila’) daripada Allah SWT.

Maka bertukarlah sifat politik daripada sebuah medan pertarungan untuk merebut kuasa keduniaan menjadi medan ibadah yang penting demi untuk mendapat kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat (al-Falah).

Insya-Allah, umat Islam di Malaysia akan menghasilkan transformasi moral dan etika yang amat diperlukan itu. Wallahualam.

TULISAN INI ADALAH PETIKAN UCAPAN PROF. EMERITUS M.KAMAL HASSAN DI MAJLIS PELANCARAN BUKU KORUPSI DAN KEMUNAFIKAN DALAM POLITIK MELAYU, PADA 22 SEPT 2022, DI KARANGKRAF, SHAH ALAM.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram