Serpihan tulang mangsa kedua yang tertimbus dalam insiden runtuhan kuari pada Mac lepas di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di Ipoh, ditemukan petang tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata serpihan tulang itu ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada 2.45 petang.

“Serpihan tulang tersebut seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan : Bangkai jengkaut kedua ditemukan petang tadi

Jurucakap itu berkata operasi SAR ditangguhkan hari ini memandangkan faktor cuaca tidak mengizinkan dan operasi akan disambung semula pagi esok.

Sementara itu, Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata cebisan tulang, stoking serta kasut yang ditemukan dipercayai milik mangsa kedua dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini untuk proses bedah siasat.

Mohd Yusri berkata proses bedah siasat itu bagi melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti identiti mangsa.

Dalam kejadian pada 8 Mac lepas, dua pekerja kuari dikenali sebagai Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49, dipercayai tertimbus runtuhan batu.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram