MAHKAMAH Tinggi hari ini menangguhkan sehingga 23 Nov ini pendengaran permohonan kerajaan bagi menghalang Petrosaudi International Ltd (PSI), anak syarikatnya Petrosaudi Oil Services (Venezuela) Limited (PSOS-VZ) dan warga Arab Saudi Tarek Obaid daripada menggunakan US$340 juta dikaitkan dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disimpan dalam akaun pelanggan di sebuah firma guaman di United Kingdom.

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Norinna Bahadun memaklumkan mahkamah bahawa mereka kini menunggu arahan lanjut sama ada perlu meminda saman pemula untuk mengelakkan kekeliruan berhubung dana yang didakwa disimpan di dalam akaun eskrow yang diuruskan oleh Clyde & Co LLP (firma guaman di UK).

Norinna mencadangkan penangguhan itu selepas Ahmad Shahrir berkata peruntukan yang melibatkan permohonan bagi menghalang pergerakan wang terbabit adalah terlalu kabur.

Terdahulu, hakim itu berkata permohonan pendakwaan berhubung perintah menghalang tidak menyatakan sama ada ia terjumlah di bawah Seksyen 53(1)(a) atau Seksyen 53(1)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 berkaitan larangan berurusan dengan harta di luar Malaysia.

Baca artikel berkaitan: Tiada dana 1MDB digunakan dalam projek cari gali minyak PetroSaudi International – Peguam

Seksyen 53(1)(a) adalah berkaitan dengan isu di mana harta itu adalah perkara atau hal yang berkaitan perlakuan kesalahan di bawah Seksyen 4(1) atau kesalahan pembiayaan keganasan Seksyen 53(1)(c) menyebut mengenai keadaan di mana harta itu adalah hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, yang mewakili Obaid, tidak membantah permohonan itu dan menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskannya.

Pada 16 Julai 2020, mahkamah membenarkan permohonan kerajaan untuk mendapatkan perintah sementara bagi menghalang pihak terbabit daripada mengalihkan wang yang dikaitkan dengan 1MDB dan menyimpannya di dalam akaun pelanggan, Temple Fiduciary Services Limited, di Clyde & Co.

Perintah itu adalah bagi mengekalkan status quo pihak terbabit sehingga pelupusan permohonan kerajaan bagi mendapatkan perintah menghalang sebarang urusan membabitkan wang milik PSI dan anak syarikatnya PSOS-VZ yang kini berada dalam akaun eskrow yang dipegang oleh Clyde & Co.

Permohonan itu, yang difailkan di bawah Seksyen Section 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, menamakan Obaid, PSI, PSOS-VZ, Clyde & Co dan Temple Fiduciary sebagai responden.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram