GABUNGAN Kesihatan Malaysia (MHC) dan Persatuan Perubatan Geriatrik Malaysia (MSGM) menggesa kerajaan menyelesaikan dan membentangkan Pelan Tindakan Demensia Kebangsaan (NDAP) yang tertangguh sejak 2019 akibat pandemik COVID-19.
Menerusi satu kenyataan bersama, MHC dan MSGM menegaskan, pelaksanaan Pelan Tindakan Demensia Kebangsaan 2020-2030 itu merupakan satu daripada tiga perkara yang digariskan mereka agar diberi perhatian sebagai keperihatinan terhadap isu demensia.
Menurutnya, Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia (ADFM) menganggarkan lebih 200,000 rakyat Malaysia berisiko mengalami demensia menjelang 2030, dengan peningkatan 312 peratus menjelang 2050.
Malah katanya, berita mengenai bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi mengalami demensia menjadi peringatan bahawa penyakit itu tidak mengenal sesiapa dan akan mempengaruhi pesakit serta mempunyai kesan jangka panjang pada kehidupan mereka.
“Kami berharap pelan ini mempunyai inisiatif yang inklusif berdasarkan keperluan masyarakat yang berbilang kaum dan agama dengan memelihara harga diri, memberi autonomi dan kebebasan mereka yang mengalami demensia serta mendapat sokongan sosial yang optima.
“Pelan tindakan demensia kebangsaan ini seharusnya mempunyai penglibatan pemegang taruh yang berkepakaran dan mahir untuk meningkatkan kesedaran, pendidikan, rawatan dan penjagaan geriatrik. Ianya termasuk tindakan untuk membasmi stigma berkenaan demensia,” kata kenyataan bersama itu.
MHC dan MSGM selain itu menggesa kerajaan meningkatkan usaha pembangunan kapasiti dan pengembangan tenaga kerja untuk memenuhi keperluan pesakit demensia.
Katanya, ia perlu dimulakan dengan mendapatkan maklumat bilangan tenaga kerja dan dimana perkhidmatan geriatrik/demensia yang disediakan oleh sektor awam dan swasta di seluruh negara.
“Dalam laporan Persatuan Perubatan Geriatriks Malaysia (MSGM) 2019, terdapat hanya 40 pakar geriatrik di Malaysia iaitu 0.19 bagi setiap 10,000 penduduk, jauh di bawah sasaran global 0.85 bagi setiap 10,000 penduduk. Selain daripada itu, Malaysia mempunyai kurang daripada 10 pakar psikiatri geriatrik.
“Penjagaan demensia adalah kompleks dan merangkumi penjagaan di rumah, komuniti dan hospital. Antara yang terlibat dalam aspek kesihatan pesakit demensia adalah pakar perubatan seperti pakar geriatrik, psikiatri geriatrik, ahli kesihatan bersekutu dan jururawat terlatih,” katanya.
Mengulas lanjut, kenyataan bersama itu turut menggariskan agar rangka kerja perundangan di Malaysia harus diperkukuhkan untuk menyokong dan melengkapkan Pelan Tindakan Demensia Kebangsaan (NDAP).
Pada masa ini, Akta Kesihatan Mental 2001 dan Peraturan-Peraturan Kesihatan Mental 2010 digunapakai untuk mengawal kemasukan dan rawatan pesakit yang disyaki mengalami gangguan mental, termasuk pesakit demensia.
Namun katanya, artikel ditulis oleh Rajamanickam pada 2019 menjelaskan undang-undang sedia ada tidak mampu menangani isu yang lebih luas berkaitan demensia, contohnya dalam membuat keputusan berkaitan kewangan dan perubatan.
“Bagi menyelaraskan penjagaan demensia dengan prinsip autonomi, maruah dan kebebasan, kami menyeru pemegang taruh utama untuk mengukuhkan rangka kerja undang-undang sedia ada untuk memudahkan proses “advanced decision-making”,” katanya.
Sementara itu, MHC dan MSGM menyeru supaya tindakan segera diambil untuk mempersiapkan kerajaan dan rakyat Malaysia mengenai kesan kepada mereka apabila negara menuju peringkat “negara tua”.
“Penyakit demensia tidak boleh dilihat sebagai sebahagian daripada proses penuaan, tetapi ianya adalah penyakit dan seperti lain-lain penyakit memerlukan rawatan yang khusus, berkualiti serta optima,” katanya.

