Orang murtad, tak boleh wariskan dan mewarisi harta pusaka

Dari Penulis

Timbul persoalan bagaimana harta peninggalan orang murtad akan dibahagikan di kalangan keluarga. Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, orang murtad tidak boleh mewarisi harta orang Islam dan begitu juga sebaliknya.

Ikuti penjelasan ini.

Soalan :

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanyakan soalan, adakah orang murtad boleh mewarisi harta pusaka? Terima kasih.

Ringkasan Jawapan :

Orang murtad tidak boleh mewarisi harta orang Islam, begitu juga harta mereka tidak akan diwarisi oleh orang Islam, malah ia dianggap sebagai harta fai’ lalu diserahkan ke Baitulmal untuk kepentingan umat Islam.

Huraian Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

Saban hari, kita mendengar banyak kes permohonan untuk menukar status atau keluar daripada agama Islam yang dikemukakan ke Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN). Oleh yang demikian, timbul persoalan dalam kalangan masyarakat akan harta mereka yang murtad ini, adakah ia boleh diwarisi atau juga adakah mereka (yakni si murtad) boleh mewarisi harta kaum kerabatnya yang muslim?

Menjawab kepada persoalan ini, perlu diketahui bahawa antara sebab-sebab yang menghalang daripada berlakunya perwarisan harta peninggalan ialah perbezaan agama. Perkara ini jelas melalui hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Usamah bin Zaid R.Anhuma, Baginda bersabda:

لاَ يَرِثُ الْمُسْلِمُ الكَافِرَ وَلاَ الكَافِرُ الْمُسْلِمَ

Maksudnya: “Orang Islam tidak boleh mewarisi harta seorang kafir begitu juga orang kafir tidak boleh mewarisi harta seorang Muslim.”

Riwayat Bukhari (6764)

Penegasan ini juga adalah bersandarkan kepada ijma‘ ulama’ yang menyatakan ketiadaan perwarisan antara orang Islam dan orang kafir.[1] Berhubung dengan isu mewarisi harta orang bukan Islam atau sebaliknya, telah kami jawab melalui artikel kami yang bertajuk Al-KAFI LIL FATAWI #1731: MEWARISI HARTA BUKAN MUSLIM.[2]

Seterusnya, berbalik kepada persoalan yang diajukan berkenaan harta pusaka bagi orang murtad atau mereka yang keluar daripada agama Islam, Imam al-Nawawi menyebut di dalam kitab beliau, Minhaj al-Tolibin, beliau menukilkan[3]:

وَلَا يَرِثُ مُرْتَدٌّ وَلَا يُورَثُ

Maksudnya:  Dan orang murtad tidak boleh mewarisi (harta orang Islam) begitu juga (mereka yakni orang murtad) tidak boleh diwarisi.

Perkara ini ada disebut jua oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami, beliau turut menyebut hal yang sama yakni orang murtad tidak boleh mewarisi harta orang Islam sekalipun dia kembali kepada Islam selepas perginya si mati. Hal ini kerana, tiada pertolongan antaranya dengan orang lain atas sebab dirinya yang meninggalkan agama. Imam al-Subki ada menyebut bahawa pandangan Ibn al-Rif‘ah berkenaan berlakunya perwarisan orang murtad terhadap harta orang Islam sekiranya dia (orang yang murtad itu) kembali kepada Islam adalah sesuatu yang mencarik keputusan ijma‘ ulama[4].

Syeikh Muhammad al-Zuhaili pula menyatakan bahawa tiada perwarisan harta antara orang murtad dan orang Islam atas sebab kedua-duanya berlainan agama, dan ini menjadi halangan kepada berlakunya perwarisan sesama mereka[5].

Oleh yang demikian, harta orang murtad tidak akan diwarisi bahkan harta mereka dianggap sebagai harta fai’[6] dan diserahkan ke Baitulmal sama ada harta tersebut diperolehi ketika masih Islam atau setelah murtad, sewaktu dia sihat ataupun sakit[7]. Namun sekiranya individu tersebut kembali ke agama Islam sebelum kewafatannya, maka hartanya itu dikembalikan semula kepadanya[8].

Kesimpulannya, orang murtad tidak boleh mewarisi harta orang Islam, begitu juga harta mereka tidak akan diwarisi oleh orang Islam, malah ia dianggap sebagai harta fai’ lalu diserahkan ke Baitulmal untuk kepentingan umat Islam. Akhir kalam, semoga Allah SWT mengurniakan kita kefahaman dan keikhlasan dalam menuntut ilmu. Wallahu A‘lam.”

Sumber : Mufti Wilayah Persekutuan


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Angkat Martabat Fiqh Madani, PU Riz Mahu Silibus Haji & Umrah Lahirkan Cendekiawan Islam Berwibawa

LANSKAP pendidikan Islam di Malaysia melakar satu lagi sejarah baharu menerusi pengenalan program akademik yang lebih holistik dan dinamik. Menyedari...

More Articles Like This