PADA awal tahun 2003, mayat seorang wanita yang sudah reput dijumpai terdampar di teluk San Francisco, Amerika Syarikat. Tidak jauh dari situ, mayat seorang bayi yang baru dilahirkan dan masih bertali pusat turut ditemui.
Mayat wanita itu dikenal pasti sebagai Laci Peterson, seorang warga tempatan berusia 28 tahun. Dia dilaporkan hilang sejak penghujung tahun 2002 ketika sedang hamil lapan bulan. Manakala bayi tersebut pula merupakan anaknya yang baru dilahirkan.
Hasil bedah siasat mendapati, ada unsur jenayah dalam kes kematian ini. Kesan kecederaan fizikal menunjukkan wanita tersebut telah dibunuh menggunakan senjata tajam. Dia dipercayai mati di tempat lain sebelum mayatnya ditinggalkan di pesisir pantai teluk San Francisco.
Seorang suspek lelaki bernama Scott Peterson yang juga merupakan suami kepada wanita berkenaan teah ditahan dan dibicarakan atas kesalahan membunuh dengan niat. Motif kejadian adalah disebabkan kecurangan dan kes tersebut telah mendapat liputan meluas daripada pihak media Eropah.
Di sebalik kejadian menyayat hati ini, terdapat persoalan yang membingungkan ramai pihak iaitu bagaimana bayi tersebut dilahirkan dan mengapa kedua-dua mayat ditemui dalam keadaan terpisah.
Kes ini menjadi bertambah rumit apabila keputusan pembedahan forensik menunjukkan wanita tersebut meninggal dunia terlebih dahulu sebelum melahirkan bayinya.
Pelbagai spekulasi timbul dan cuba dikaitkan dengan misteri kelahiran bayi tersebut. Namun, pasukan patologi menyatakan bahawa fenomena ‘coffin birth’ adalah alasan paling munasabah untuk dikaitkan dengan kes ini. Dengan kata lain, bayi berkenaan lahir selepas beberapa hari ibunya meninggal dunia.
Adakah mungkin seorang perempuan yang meninggal dunia dalam keadaan hamil mampu melahirkan bayi selepas kematian mereka?
Dalam dunia perubatan, perkara ini bukan sesuatu yang mustahil untuk berlaku. Ia adalah satu fenomena yang benar-benar wujud dan diistilahkan sebagai coffin birth.

Fenomena ini adalah proses kelahiran spontan yang terjadi kepada seorang perempuan hamil yang telah meninggal dunia. Kebiasaannya, kelahiran tersebut berlaku beberapa hari atau minggu selepas mayat dikebumikan. Kebanyakan kes melibatkan usia kandungan melebihi 30 minggu ke atas.
Dalam proses perubatan, biasanya bagi seorang perempuan hamil yang meninggal dunia, bayi di dalam kandungannya tidak akan dikeluarkan sekiranya disahkan sudah tidak bernyawa.
Dengan kata lain, si mayat akan dikebumikan sebagai seorang perempuan hamil dan perkara inilah yang memungkinkan fenomena coffin birth berlaku. Disebabkan itulah terdapat beberapa kes, mayat bayi yang masih bertali pusat ditemui terpisah dari ibunya dalam makam yang sama.
Perkara tersebut terjadi apabila gas terbentuk secara semula jadi di dalam perut ketika proses pereputan berlaku. Gas ini akan memberikan tekanan yang cukup kuat bagi mendorong bayi di dalam kandungan keluar dari rahim ibunya yang telah meninggal dunia.
Proses ini boleh memakan masa selama beberapa minggu atau bulan. Ia bergantung kepada faktor-faktor eksternal seperti suhu di luar tubuh atau dari dalam tubuh perempuan itu sendiri.
Bagaimanapun, fenomena ini hanya akan berlaku kepada mayat yang tidak diawet sahaja. Sekiranya sesuatu mayat itu diawet, perkara ini tidak akan terjadi kerana proses pereputan mayat tidak berlaku dan gas tidak akan terbentuk.
Berdasarkan catatan sejarah, istilah coffin birth pertama kali didefinisikan dalam bahasa Jerman iaitu ‘Sarggeburt’. Fenomena ini telah terjadi sepanjang sejarah kehidupan manusia sebelum wujudnya teknik pengawetan. Namun, sejak teknologi pengawetan ditemui, fenomena ini sudah sangat jarang berlaku.
Bagaimanapun, dari satu sisi yang lain, terdapat juga beberapa kes bayi yang dilahirkan melalui proses coffin birth ini masih lagi bernyawa. Ini kerana, bagi seorang perempuan hamil yang mengalami kematian mengejut seperti kemalangan jalan raya atau bunuh diri, bayi di dalam kandungan masih mampu bertahan hidup selama beberapa hari.
Antaranya ialah kes yang berlaku di India pada tahun 2007 yang melibatkan seorang wanita berusia 23 tahun. Wanita berkenaan yang sedang hamil lapan bulan telah menggantung dirinya, dan secara spontan bayi di dalam kandungan itu telah lahir beberapa jam selepas ibunya meninggal dunia.
Bayi tersebut ditemui dalam keadaan sihat dan masih terikat dengan tali pusat ibunya. Bagaimanapun, kelahiran coffin birth ini berlaku bukan disebabkan oleh proses pereputan.

____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

