Hujan aneh buah epal

Dari Penulis

BILA sebut tentang hujan, lazimnya ialah titisan air yang turun dari langit. Proses ini terbentuk melalui tiga peringkat. Pertama, bahan asas dalam hujan seperti wap-wap air naik ke udara. Kemudian, awan terbentuk dan akhirnya jatuh menjadi titisan air hujan.

Namun, berlainan pula yang pernah berlaku di Coventry West Midlands, England apabila kota itu dihujani ratusan buah epal hijau.

Kejadian aneh itu berlaku pada 16 Disember 2011, sekitar pukul 6:45 petang. Bukan air hujan yang turun, sebaliknya pada hari itu penduduk dikejutkan dengan fenomena hujan berupa buah epal yang turun ‘membasahi’ bandar kecil tersebut.

Beberapa orang saksi memberitahu bahawa epal-epal tersebut dilihat jatuh dari langit tidak ubah seperti turunnya hujan. Kebanyakannya jatuh menghentam bumbung dan cermin kereta serta atap rumah. Akibatnya, beberapa buah kenderaan kemik dan berlekuk kesan pukulan hujan pelik itu.

Menurut seorang saksi, Dave Meakins, semua pemandu terpaksa menghentikan kenderaan mereka dan keluar untuk melihat apa sebenarnya yang sedang berlaku.

Gara-gara memberhentikan kereta kerana berasa terkejut, jalan raya menjadi sesak dan keadaan berubah semakin tidak terkawal. Namun, semuanya kembali pulih selepas beberapa minit hujan epal itu berakhir.

Kesan peristiwa itu, bandar kecil itu dibanjiri buah epal yang bertaburan di serata tempat.

Fenomena aneh ini membuatkan orang ramai tertanya-tanya, apa sebenarnya yang berlaku. Benarkah hujan epal boleh berlaku?

Memandangkan ia merupakan satu-satunya hujan buah yang pernah dilaporkan, penduduk mulanya menolak kejadian itu sebagai salah satu daripada fenomena alam. Dalam fikiran mereka, taburan epal itu mungkin angkara perbuatan budak-budak nakal. Jika tidak pun, ia mungkin telah terjatuh dari belakang sebuah lori pengangkut buah.

Kejadian aneh ini cuba dikaji oleh seorang ahli fizik, Dr. Lisa Jardine-Wright. Beliau mengambil beberapa biji buah epal yang jatuh dari langit itu untuk dijadikan sampel. Dia membawanya ke makmal Cavendish di Universiti Cambridge, tempat beliau bertugas untuk diuji kaji.

Dr. Lisa membandingkan sampel buah itu dengan epal lain yang bukan datang daripada fenomena aneh itu dan membuat perbandingan dengan menjatuhkan epal itu daripada ketinggian 20 meter.

Menurutnya, mana-mana epal yang jatuh pada ketinggian ini akan mengalami jumlah kerosakan yang lebih kurang sama seperti epal sampel. Daripada kerosakan yang dialami ini juga akan dapat mengenal pasti berapa banyak tenaga momentum epal saat jatuh. Seterusnya dapat menentukan dari mana sebenarnya sumber buah itu datang.

Keputusan ujian yang diperoleh menunjukkan keadaan buah daripada hujan epal dan buah bukan daripada tragedi itu mengalami ciri-ciri kerosakan yang sama. Persoalannya, bagaimana ratusan buah epal boleh jatuh dari ketinggian 20 meter atau bersamaan ketinggian bangunan lebih empat tingkat masih belum dapat dipastikan.

Tambah pula, tidak ada tanaman buah epal di bandar tersebut ketika itu. Pun begitu, Dr. Lisa cuba menjelaskan hal yang dianggap pelik itu dari sudut saintifik. Katanya, fenomena cuaca yang tidak menentu mungkin jawapan logik untuk menjelaskan bagaimana hujan epal itu berlaku.

Menurutnya, puting beliung atau tornado boleh menyapu apa saja di daratan, termasuklah kereta dan rumah. Justeru, kekuatan puting beliung yang melanda ladang epal mungkin telah menyedut buah tersebut seperti mesin vakum. Sampai masa apabila puting beliung kehilangan tenaga, objek itu akan dijatuhkan kembali ke bumi sebagai hujan.

Pusat Cuaca BBC bagaimanapun melaporkan, pada waktu epal jatuh dari langit keadaan cuaca di Conventry adalah tenang. Malah, tidak ada laporan mengatakan kejadian tornado melanda kawasan lokasi.

Ahli meteorologi dari University of Reading, Dr. Curtis Wood pula menambah, walaupun pada hari kejadian tidak berlaku tornado, namun sejarah telah menunjukkan bahawa England sering mengalami puting beliung, iaitu dengan jumlah 10 hingga 50 tornado setahun. Daripada jumlah itu, tornado yang berlaku selalunya tidak terjadi dengan sangat kuat. Tornado mini sebegini sering tidak mengangkut barang yang disedut ke lokasi yang sangat jauh.

Ahli meteorologi kanan dari British Weather Services, Jim Cale turut bersependapat dengan memberitahu Telegraph London bahawa cuaca pada hari kejadian adalah tidak menentu.

Cuaca sebegini boleh jadi akan menyebabkan pusaran udara seperti puting beliung mini terjadi. Apabila angin dan hujan membentuk satu kuasa vakum yang kuat, ia boleh mengangkat objek dari tanah ke atmosfera. Pengaruh udara di sekeliling akan membawa objek sejauh lebih 161 kilometer, lalu dijatuhkan ke bumi menjadi hujan.

Mengikut laporan majalah Fortean Times, hujan epal bukan pertama kali berlaku di England. Dikatakan pada bulan November 1984, fenomena sama juga terjadi apabila lebih 300 buah epal telah menghujani sekitar Accrington di Lancashire.

Selain epal, juga pernah dilaporkan hujan aneh di mana ikan, burung dan katak jatuh dari langit seperti hujan.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.comFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

‘Bunian tak semua cantik’… Miman gambarkan makhluk misteri dalam karyanya

Lukisan bunian yang dihasilkan oleh pelukis muda berbakat, Miman, baru-baru ini mencuri perhatian ramai di media sosial.  Berbeza dengan gambaran...

More Articles Like This