Sebelum ditemui pengkaji, al-Quran terlebih dahulu menjelaskan tentang air dalam tanah

Dari Penulis

AIR hujan yang turun ke permukaan Bumi akan mengalir ke laut, sungai dan tasik. Manakala selebihnya terserap dan tersimpan di bawah tanah atau istilah lain disebut air tanah.

Air tanah ialah cecair yang terdapat di dalam lapisan tanah atau batuan permeabel seperti pasir dan kerikil di bawah permukaan Bumi. Air yang berasal daripada hujan dan daratan ini kemudian meresap ke zon tak jenuh (zone of aeration). Air yang berhasil meresap ke bawah tanah ini akan terus bergerak ke bahagian makin dalam, yakni zon jenuh (zone of saturation).

Daripada penelitian sebelum ini mengungkapkan, pergerakan air tidak berhenti di situ. Ahli hidrologi mendapati air akan bergerak sehingga sampai ke lapisan tanah bersifat ‘impermeabel’. Bahagian ini disebut sebagai ‘aquitard’ iaitu lapisan tanah atau batuan yang jarak antara butirannya sangat-sangat sempit sehingga tidak memungkinkan air untuk melewatinya.

Oleh kerana air tidak boleh turun ke bawah, maka ia hanya dapat mengisi ruang antara butiran batuan di atas lapisan ‘aquitard’. Air baru yang meresap masuk akan menambahkan jumlah air yang sedia ada seterusnya mengisi rongga-rongga antara butiran batu. Akhirnya, ia akan berkumpul dan tersimpan di situ menjadi air tanah atau mata air. Dan proses ini akan berlaku semula, berulang kali tanpa henti.

Kitaran air yang turun ke bumi.

Selain air sungai dan air hujan, air tanah juga mempunyai peranan yang sangat penting dalam menjaga keseimbangan untuk memenuhi keperluan domestik dan industri. Pada zaman sekarang, masih ramai penduduk dunia menggunakan air tanah atau air perigi untuk mandi, memasak dan minum.

Malah, sebelum adanya bekalan air melalui sistem paip ke rumah-rumah, air perigi atau air sumur pernah menjadi sumber bekalan air utama bagi orang-orang terdahulu.

Bagaimanapun, manusia pada zaman itu masih belum tahu bahawasanya air bersih juga tersimpan di bawah tanah. Sehinggalah pada tahun 1933, Robert E. Horton, seorang ahli hidrologi Amerika menghuraikannya secara terperinci.

Saat itu, barulah jelas bagaimana air tanah wujud dan tersimpan menjadi mata air. Penemuan beliau ini kemudian menjadi bahan rujukan penting kepada ramai pengkaji.

Lama sebelum penemuan tersebut, perkara ini sebenarnya sudah dijelaskan oleh Allah SWT dalam al-Quran.

Firman-Nya yang bermaksud: “Dan Kami turunkan air dari langit menurut suatu ukuran; lalu Kami jadikan air itu menetap di bumi, dan sesungguhnya Kami benar-benar berkuasa menghilangkannya.” (Surah al-Mu’minuun, ayat 18)

Dalam Kitab Shahih Tafsir Ibnu Katsir (Jilid Enam), menerangkan bahawa maksud daripada firman Allah “Lalu Kami jadikan air itu menetap di bumi,” ialah apabila hujan turun, maka Allah akan menjadikan air itu menetap di bumi. Kemudian Dia menjadikannya berada di dalam perut bumi sebagai air tanah yang dapat diserap oleh benih dan tumbuh-tumbuhan yang berada di dalam tanah.

Dijelaskan juga bahawa Allah telah memberikan pelbagai nikmat yang tidak terbatas, bahkan tidak terhitung banyaknya kepada manusia. Lihat sahaja bagaimana Allah menurunkan air hujan dari langit – tidak terlalu deras sehingga merosakkan segala isi bumi. Dan tidak juga terlalu sedikit sampaikan tidak cukup untuk menyiram tanam-tanaman.

Dengan kata lain, Allah menurunkan air hujan sesuai dengan kadar keperluan makhluk bumi, baik untuk keperluan harian, pengairan ataupun untuk manfaat lainnya. Kadar air hujan yang turun itu juga tepat – tidak terkecuali pada tanah yang memerlukan sejumlah air yang cukup banyak.

Kitab Shahih Tafsir Ibnu Katsir turut menjelaskan bahawa sesungguhnya Allah benar-benar berkuasa ke atas segala sesuatu. Seandainya, Dia berkehendak untuk menurunkan hujan ke Bumi, mengalihkan limpahan air itu ke tanah tandus atau langsung tidak menurunkannya, semua itu adalah atas kehendak-Nya.

Demikian juga halnya jika Allah ingin menjadikan air hujan masin sehingga tidak boleh diminum atau menyiram tanaman, menjadikan air hujan tidak tersimpan di dalam bumi ataupun merubah suhu permukaan Bumi menjadi lebih panas dari biasa.

Malah, jika Dia berkehendak untuk menjadikan air hujan yang turun itu meresap ke dalam dasar Bumi hingga tidak dapat dijangkau, nescaya Allah juga mampu melakukannya.

Pendek kata, kalau Allah kata jadi, maka jadilah ia sebagaimana yang diinginkan. Namun, berkat kasih sayang-Nya, maka turunlah air hujan dari langit dengan rasa yang tawar dan menyegarkan.

Sesungguhnya, Dialah yang menyimpan air hujan itu di dalam bumi dan mengaturnya menjadi sumber air di Bumi. Malah, Dia jugalah yang membentuk mata air dan aliran sungai sehingga dapat dimanfaatkan untuk kegunaan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Semoga kita menjadi hamba yang sentiasa bersyukur dengan segala nikmat pemberian Allah ini.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

‘Bunian tak semua cantik’… Miman gambarkan makhluk misteri dalam karyanya

Lukisan bunian yang dihasilkan oleh pelukis muda berbakat, Miman, baru-baru ini mencuri perhatian ramai di media sosial.  Berbeza dengan gambaran...

More Articles Like This