PADA tahun 2016, kumpulan arkeologi yang disertai oleh Sarah Parcak dan Christopher Tuttle telah menemui satu monumen misteri berhampiran Kota Petra, Jordan. Kedudukannya terletak sejauh 320 kilometer dari bandar Amman.
Perjalanan mereka yang melakukan kajian di tapak tersebut membawa kepada penemuan satu monumen mirip seperti kolam renang. Lebih menarik, panjangnya dikatakan bersaiz kolam renang Olimpik.
Penyelidikan ke atas penemuan tersebut telah dimuatkan dalam sebuah jurnal bertajuk ‘Hiding in Plain Sight: The Discovery of a New Monumental Structure at Petra, Jordan, Using WorldView-1 and WorldView-2 Satellite Imagery’.
Berdasarkan kajian yang dijalankan, keluasan ‘kolam renang’ berkenaan adalah dua kali ganda lebih besar daripada saiz biasa. Bukti tersebut diperoleh berdasarkan penggunaan kaedah imej satelit resolusi tinggi, dron dan tinjauan di lokasi penemuan.
Kedudukan monumen misteri itu terletak di bawah permukaan pasir. Uniknya, bentuk binaan itu didapati tidak menyamai dengan mana-mana struktur di dalam kompleks kota Petra.


Monumen yang ditemukan itu masih menimbulkn pelbagai persoalan sehingga sekarang. Para pengkaji masih tidak dapat mengesan tinggalan sejarah berkenaan. Sama ada ia merupakan kolam renang sebenar atau binaan lain, kedua-dua jawapan itu masih lagi samar. Cuma, ia mungkin dibina seawal 2,150 tahun lalu berdasarkan kepada penemuan tembikar di tapak berhampiran.
Para penyelidik percaya monumen berkenaan berkemungkinan wujud sebagai kegunaan dalam istiadat atau acara rasmi. Ia juga dikaitkan dengan upacara keagamaan memandangkan bentuknya yang besar dan luas. Selain itu, hasil tinjauan awal mereka mendapati sebuah bangunan kecil dipercayai berada pada bahagian atas binaan tersebut.
Jelas Tuttle, pengalaman bekerja di Petra selama lebih 20 tahun membuatkan dia percaya bahawa wujudnya ‘sesuatu’ di kawasan berkenaan. Namun, lokasi itu kekal menyimpan misterinya daripada pengetahuan umum. Tidak hanya kepada orang ramai, bahkan juga terhadap kumpulan pengkaji yang masih tidak jemu mencari jawapan. Mereka percaya kota Petra akan menunjukkan rahsia yang disimpannya satu hari nanti.


Untuk pengetahuan, kawasan arkeologi Petra meliputi kira-kira 102 batu persegi (264 km persegi). Manakala di pusat bandar, keluasannya mencapai 2.3 batu persegi (6 kilometer persegi).
Disebabkan keunikannya itu, kota Petra telah dipilih sebagai salah satu daripada tujuh keajaiban dunia dan Taman Warisan Dunia yang diberikan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sejak tahun 1985.
Sementara itu, perkataan Petra diambil daripada bahasa Greek yang membawa maksud batu. Kota Petra ditemukan buat kali pertama pada tahun 1812 oleh seorang individu, Johann Burkhardt. Sejak itu, lokasi ini menjadi tumpuan kepada golongan arkeologi.
_____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

