PENYANYI dangdut Mas Idayu menafikan penyebaran berita di sebuah portal yang mendakwa rumah tangga yang dibinanya sebulan lalu sedang bergolak.
Kesal dan berang, Mas yang mesra dengan gelaran Mummy itu menganggap ia satu tuduhan tidak berasas dan hanya mahu menaikkan trafik portal terbabit.
“Saya okay saja sejak-sejak berkahwin sampai sekarang. Baru sebulan ini, saya okay saja.
“Inai pun tak hilang lagi di jari. Jangan kalian buat andaian macam-macam. Saya rasa tak perlu korang menumpang populariti hanya nak naikkan page, tak kena tak sesuai.
“Apa yang membuatkan saya marah apabila keluarnya tajuk mengatakan ‘Baru Bahagia Dah Berduka’. Saya baru saja berumah tangga, baru sangat-sangat. Hari ini baru genap sebulan, 16 Oktober. Saya pun dah tak kira dah.
“Tapi, saya tengah fikir apa kalian nak sebenarnya. Saya dah bagi tunjuk kebahagiaan, saya dah tunjuk semua, hari nikah, majlis perkahwinan, percintaan, semua saya dah bagi dan kongsikannya.
“Tup tup, benda yang saya tak kongsi, kalian boleh tahu. Kalian duduk dalam kain saya ke? Ada saka ke datang rumah saya, tengok bergaduh ke apa? Saya okay saja pun,” katanya dalam sebuah video yang di muat di Instgram miliknya.
Spekulasi mula timbul selepas penyanyi berusia 50 tahun itu memuat naik kapsyen sedih yang ditulisnya menerusi perkongsian video yang berlatar hitam dan putih di Instagram, baru-baru ini.
“Daripada dulu lagi, saya dah kongsi kapsyen sedih, sebelum ‘daddy’ (suami) wujud lagi. Saya memang suka kongsi kapsyen ‘happy’ (gembira), sedih, kelakar. Itu hanya video dari program luar negara.
“Kenapa tak tanya Mummy dulu apabila nampak hantaran berkenaan? Berat sangat ke benda tu sampai korang bodoh sangat nak tulis benda-benda macam tu? Dahlah tak sahih, tak kenal pula.
“Mummy dan suami ada keluarga. Apa korang ni dah kemaruk nak viral?,” getusnya.
Untuk rekod, Mas Idayu bernikah dengan Penerbit Eksekutif TV3, Muhammad Sufian Che Isa, 51, pada 16 September lalu selepas 15 tahun menjanda.

