SEORANG murid perempuan tahun dua di sebuah sekolah rendah di Selama, Perak patah jari tangan kiri apabila kipas siling dalam kelasnya yang dipercayai telah uzur terjatuh dan mengenainya, semalam.
Difahamkan, kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu turut mengakibatkan tiga lagi murid perempuan berumur lapan tahun cedera ringan.
Dakwa bapa mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd, 32, selain patah jari, anaknya juga mengalami beberapa kecederaan lain di bahagian dada akibat kejadian itu.
Menurutnya, ini disebabkan meja anaknya itu terletak betul-betul di bawah kipas berkenaan sekali gus kecederaan dialami agak teruk.
“Sebaik saja dibawa ke hospital, doktor memaklumkan tulang jari tangan kirinya patah serta perlu disimen,” katanya, lapor Sinar Harian.

Mohd yang juga penjawat awam berkata, beliau dan isteri agak terkilan kerana mendakwa pihak sekolah tidak menyegerakan rawatan kepada anaknya dan mangsa lain, sebaliknya menunggu ibu bapa hadir untuk membawa sendiri anak ke hospital.
Katanya, keadaan tangan anaknya sudah bertukar warna dan sepatutnya memerlukan rawatan segera ketika isteri tiba di sekolah.
Namun, mereka masih meminta isteri mengisi buku log kebenaran keluar sekolah dan sebagainya.
“Kes ini kecemasan tetapi pengurusan sekolah memberi alasan mengikut peraturan ditetapkan Jabatan Pendidikan.
“Bagaimanapun, saya dan isteri menerima seadanya kemalangan itu kerana ia bukanlah disengajakan. Cuma, kami terkilan dengan tindakan pihak sekolah yang melambatkan proses rawatan ke atas anak saya dan mangsa lain,” dakwanya.
Selain itu Mohd mendakwa, kipas yang terjatuh itu kelihatan uzur, berkarat dan tidak selamat untuk digunakan.
Katanya, anak perempuannya diberikan cuti sakit selama 14 hari, dan masih trauma dengan kejadian yang berlaku.
Mohd menambah, susulan kejadian itu, dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama pada petang semalam.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Selama, Superintendan Mohd Sabri Saad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.

