PENYANDANG kerusi Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar menzahirkan kekecewaan apabila janji untuk meletakkan namanya sebagai calon untuk bertanding di Parlimen itu tidak ditepati.
Noh dalam video yang dimuat naik di Facebook mendakwa, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah memaklumkan kepada beliau untuk memaklumkan kepadanya nama calon di Tanjung Karang.
Jelas Noh, pemakluman itu dilakukan Ahmad Zahid dalam pertemuan empat mata bersama beliau sebelum malam pengumuman calon Barisan Nasional (BN) diadakan.
Noh mendakwa, beliau turut membawa usul daripada 84 cawangan UMNO Selangor dan memorandum yang ditandatangani Ketua-Ketua UMNO bahagian di Selangor untuk mengekalkan namanya sebagai calon di Tanjung Karang.
“Bila saya bawa usul tersebut dan memorandum itu berjumpa dengan Presiden (Ahmad Zahid) sebelum pengumuman penamaan calon, saya telah berbincang dengan beliau.
“Beliau telah memaklumkan kepada saya, dia kata okay, yang Tanjung Karang ini dia tidak umum pada malam pengumuman calon. Sebab itu kalau semua tengok, pada malam itu, dia tidak umum calon Tanjung Karang.
“Presiden beritahu saya, dia kata dia bagi tempoh dua hari (selepas pengumuman calon) untuk panggil saya balik bagi berbincang semula mengenai calon Tanjung Karang.
“Jadi hari ini, pada malam ini, watikah penamaan calon tidak sampai kepada saya lagi. Saya hanya bergantung kepad laporan media sosial dan mengetahui Datuk Habibah sebagai calon di situ,” katanya.
Baca lagi: ‘Tunggu malam ini untuk jelaskan spekulasi’ – Ahmad Zahid
Mengulas lanjut, Noh secara terbuka mengatakan yang dirinya mempunyai rekod yang baik selama enam penggal berkhidmat di Tanjung Karang.
Katanya, beliau amat sedih dan kecewa apabila kesetiaannya menunggu watikah pencalonan itu tidak dihargai, malah hantaran mesej kepada Ahmad Zahid juga tidak dilayan.
“Saya ada menghantar mesej di WhatsApp dan dia (Presiden) baca, tapi tidak memberi jawaban,” katanya.
Mengulas mengenai kesetiaan kepada UMNO dan BN, Noh berkata, beliau memberi bayangan untuk tetap bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Tanjung Karang.
“Tunggu esok kat Tanjung Karang, yang nak mengundi saya lebih 80,000 pengundi,” katanya ringkas.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

