PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengingatkan seluruh jentera Pas supaya mengutamakan disiplin, mematuhi arahan parti dan memperkukuhkan gerak kerja secara tersusun bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Beliau berkata, kemenangan tidak boleh dicapai hanya dengan semangat, sebaliknya memerlukan strategi yang jelas, disiplin tinggi, pengorbanan berterusan serta usaha yang konsisten di setiap peringkat organisasi.
“Setiap arahan yang dikeluarkan Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat akan disusun secara berperingkat daripada pusat, negeri, kawasan hingga ke cawangan dan perlu dilaksanakan dengan penuh amanah.
“Walau sesukar mana sekalipun untuk dilaksanakan, laksanakanlah dengan penuh amanah. Yakinlah bahawa setiap arahan telah disusun dengan teliti supaya seluruh jentera bergerak dalam satu saf, satu haluan dan satu matlamat,” katanya dalam kenyataan.
Ahmad Samsuri berkata, Pas yang ditubuhkan pada 1951 tidak pernah berundur daripada medan perjuangan sejak menyertai pilihan raya pertama sebelum kemerdekaan pada 1955 sehingga berjaya memenangi satu kerusi Parlimen di Krian.
Beliau berkata, sepanjang tempoh itu pelbagai parti politik muncul dan silih berganti, namun Pas kekal meneruskan perjuangan berasaskan matlamat yang diyakini.
Katanya, perjuangan parti bukan semata-mata untuk mencapai kemenangan politik, sebaliknya merupakan amanah yang perlu dipertanggungjawabkan di sisi Allah SWT.
“Setiap usaha, setiap pengorbanan dan setiap kebaikan yang kita lakukan adalah sebahagian daripada bekalan kita untuk bertemu dengan-Nya,” katanya.
Beliau turut mengingatkan seluruh anggota supaya terus mempertahankan kekuatan yang dibina, memperkukuhkan kelemahan sedia ada serta saling membantu bagi memastikan parti kekal bersatu.
Pada masa sama, beliau berkata, selepas segala perancangan, usaha dan pengorbanan dilakukan, seluruh jentera perlu bertawakal kepada Allah SWT, tanpa menghiraukan pendekatan yang diambil parti lawan.
Beliau yakin Pas mampu mencapai kejayaan sekiranya seluruh anggotanya terus bersatu, berdisiplin dan istiqamah dalam perjuangan, sekali gus memperoleh kemenangan yang disertai keredaan Allah SWT.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

