PRN, PRU: Tak tercalon ‘duduk diam-diam’, rezeki itu rahsia Tuhan

Dari Penulis

DALAM mana-mana pilihan raya, baik Pilihan Raya Umum (PRU) mahupun Pilihan Raya Negeri (PRN) juga Pilihan Raya Kecil (PRK), akan ada nama-nama yang digugurkan atau tidak tercalon bagi mewakili parti.

Itu normal atau kebiasaan hidup berpolitik.

Dari sekolah lagi kita diajar reda dengan apa yang telah terhidang di depan mata kita, dalam kehidupan kita.

Dari sekolah, akan ada yang terpilih menjadi ketua, pengawas atau apa jua jawatan. Dan dari situ kita sepatutnya sudah faham, apa sahaja yang direzekikan kepada kita, semuanya rahsia Tuhan.

Tak perlu ‘mengamuk’, tak perlu semuanya hendak diluahkan dengan kata-kata, dan tak perlu menyalahkan takdir atau sesiapapun.

Sama juga dengan kehidupan ini, dalam kerjaya yang kita ceburi.

Adakalanya apa yang kita impikan, akan hadir dalam bentuk kenyataan.

Adakalanya semuanya itu serba-serbi tak menjadi, semuanya terlepas.

Jalani apa sahaja hendaknya kehidupan ini, yang akhirnya tak dibawa pun ke dalam liang lahad, kecuali ‘sekeping’ surat amalan di dunia ini.

Sebab itu saya cukup menyampah dengan mereka yang seolah-olah ‘bertengkar’ dengan takdir, lalu bersikap sebaliknya.

Inilah realiti kehidupan, seperti kata nenek moyang kita, adakalanya kita di atas, adakalanya turun ke bawah.

Semuanya telah ditakdirkan oleh Tuhan Yang Maha Esa.

Terutama dalam dunia politik, di mana pun kita berada, letakkan kepentingan menjaga kebajikan rakyat sebagai keutamaan.

Bukannya jawatan yang dihadapkan, bukannya duit yang diidam-idamkan, bukannya kedudukan menjadi keutamaan.

Rakyat memerlukan sokongan semua, bukan sahaja yang berpangkat di dalam apa jua organisasi, tetapi di pelbagai peringkat.

Rakyat kita sudah memerlukan satu bentuk kesedaran yang serius, bukannya menjadi juara dalam ‘baju oren’, di litar-litar haram di lebuh raya, atau di pusat-pusat sehenti.

Ini semua memerlukan sokongan dan kesedaran ramai pihak.

Orang kita sebenarnya sudah jauh ketinggalan jika hendak dibanding-bandingkan mengikut kaum dan warna kulit.

Kepada yang terpilih menjadi pemimpin, tolonglah bangunkan orang kita yang sekadar ‘berani’ berniaga di tepi-tepi kaki lima.

Jadikan mereka ini jutawan-jutawan yang akhirnya mampu menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan.

Kepada yang terpilih menjadi pemimpin, tolong lihat anak-anak kita yang tercicir dalam pendidikan.

Bukan sekadar hanya bersandarkan ‘tongkat’ dan ‘subsidi’.

Bukan hanya mengejar dunia politik semata-mata tetapi hebat menjadi saintis, peguam, doktor, jurutera dan usahawan berjaya.

Metra Syahril Mohamed ialah Ketua Pengarang UtusanTV


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Hadir pada kempen PH, Puad Zarkashi akui ‘penyokong Kerajaan Perpaduan’

BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang keluar UMNO minggu lalu, menegaskan beliau...

More Articles Like This