BIARPUN baharu saja habis penggambaran filem Kerambit kira-kira pukul 6 pagi tadi, pelakon Datuk Seri Eizlan Yusof terus bergegas ke Sabak Bernam, Selangor sempena Hari Penamaan Calon yang berlangsung di Dewan Tun Razak, di sini.
Eizlan yang juga Calon Parlimen Sabak Bernam mewakili GTA Parti Pejuang, akui walaupun perlu melunaskan tanggungjawab sebagai pelakon, peristiwa hari ini (Penamaan Calon) tidak boleh dianggap ringan.
“Kebetulan semalam ialah babak terakhir untuk filem terbaharu, jadi bolehlah saya fokus pada peristiwa hari ini yang juga penting kerana membabitkan amanah rakyat demi bangsa dan negara.
“Perasaan saya hari ini bercampur baur, ada rasa berdebar namun pada masa sama turut teruja.
“Tetapi saya tidak mahulah terlalu teruja. Saya melihat langkah pertama ini (Penamaan Calon) satu tanggungjawab buat saya untuk membawa amanah rakyat ke peringkat lebih tinggi,” katanya kepada URTV.
Eizlan berharap masyarakat di Parlimen Sabak Bernam dapat memberi peluang untuk dirinya menjalankan tugas.
Eizlan tiba ke Pusat Penamaan Calon Sabak Bernam pukul 8.30 pagi, dilihat ceria diiringi isteri, Datin Seri Natasha Rosa Boudville, rakan-rakan dan penyokong.
Kertas pencalonan penamaan calon bagi Pejuang di bawah Eizlan diterima pada pukul 9.05 pagi.
Eizlan bakal merebut kerusi P.092 yang turut ditandingi calon daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

