“SAYA memilih untuk memimpin PN (Perikatan Nasional) dalam PRU ini kerana saya tidak rela negara ini jatuh ke tangan puak kleptokrat.”
Itu kata Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berjanji gabungan itu menawarkan sebuah kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil untuk semua rakyat.
Menurut Muhyiddin, beliau juga tidak mahu negara diperintah sekali lagi oleh sebuah pakatan politik yang gagal menunaikan janji kepada rakyat serta tidak menghormati sensitiviti masyarakat pelbagai kaum dan agama.
Calon PN bagi kerusi Parlimen Pagoh itu berkata, apa yang lebih penting ketika ini adalah untuk menyelamatkan negara.
Kata beliau, menawarkan PN adalah pilihan yang terbaik bagi semua rakyat.
“Ikhlas saya katakan, tiada apa yang saya nak kejarkan dengan jawatan Perdana Menteri itu. Jawatan tidak penting bagi saya.
“Kata orang kun fa yakun. Kalau jadi, maka jadilah. Kalau tak jadi pun, tak mengapa.
“Yang lebih penting ialah saya buat pilihan ini demi untuk menyelamatkan negara. Kami menawarkan PN sebagai pilihan terbaik bagi seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Baca artikel berkaitan: PRU-15: Parlimen Putrajaya saksi perebutan enam calon
Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, perjuangan dan amanah membuatkan beliau terus mengerah kudrat demi rakyat yang disayangi.
Katanya, kerana itulah walaupun telah ‘bersara’ daripada jawatan Perdana Menteri, beliau tidak boleh bersara daripada perjuangan.
“Saya akan dilihat tidak bertanggungjawab jika saya lari daripada medan perjuangan semata-mata kerana saya tidak lagi berjawatan.
“Sukar. Memang sukar bagi diri saya meneruskan perjuangan dalam keadaan ini. Banyak halangan dan cabaran yang terpaksa saya hadapi dalam memimpin sebuah gabungan parti politik besar iaitu PN yang membawa citra dan harapan murni rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi apabila saya tidak lagi menjadi Perdana Menteri.
“Tetapi biasalah, itu adat orang berjuang. Insya-Allah, ini gelanggang PRU yang terakhir dalam perjalanan politik saya yang saya sertai kerana suatu tekad perjuangan,” jelas beliau.
Berhubung pencalonannya sekali lagi bagi mempertahankan Parlimen Pagoh, Muhyiddin berkata, Pagoh dan masyarakatnya mempunyai tempat yang istimewa di hatinya.
Beliau berkata, ini terbukti apabila selama lebih 40 tahun dalam arena politik, beliau tidak pernah berpindah ke kawasan Parlimen lain.
“Saya setia memberi khidmat kepada masyarakat di Pagoh dan pengundi di Pagoh juga sentiasa setia memberi sokongan kepada saya di setiap kali pilihan raya. Terima kasih.
“Dalam PRU-14 yang lalu, ada penyokong saya menasihatkan supaya saya berpindah ke kawasan lain. Kononnya Pagoh tak selamat untuk saya tetapi saya katakan tidak. Biarlah apa pun yang terjadi, saya dan Pagoh berpisah tiada,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

