Calon Barisan Nasional Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin beramah mesra dengan orang ramai ketika mengadakan walkabout di Pasar Tani Kampung Melayu Subang. GAMBAR: Abd Razak Aid

CALON Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Sungai Buloh, Datuk R. Ramanan didakwa cuma menjejaskan kredibiliti dirinya sendiri setelah mengaitkan Khairy Jamaluddin dengan kluster mahkamah.

Khairy menegaskan, dakwaan Ramanan tidak berasas apatah lagi ia sudah dijelaskan di Dewan Rakyat dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Malah katanya, tiada bukti yang beliau terlibat dengan skandal seperti yang dicanangkan oleh Ramanan.

“(Ramanan) kena cakap, saya curi duit dan beliau sedia disaman. Tapi saya tahu dia tidak akan buat begitu. Cubalah buat. Cubalah tuduh.

“Sampai hari ini tidak ada satu pun bukti mengaitkan saya,” katanya seperti dilapor Malaysia Gazette, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu hadir program Perjumpaan Anak Muda Generasi Asal Kg. Melayu Subang.

Calon Barisan Nasional Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin mendengar permasalahan yang dihadapi penduduk ketika mengadakan perjumpaan bersama Generasi Awal Kampung Subang di Taman Subang Perdana, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Khairy yakin Ramanan hanya mampu menggunakan dakwaan berkenaan sebagai sentimen untuk mengelirukan pengundi Sungai Buloh.

“Jadi kalau awak hendak buat tuduhan, buat tuduhan betul-betul ya Ramanan, bukan minta Khairy jelaskan.

“Buat tuduhan khusus yang mengatakan saya sakau duit atau (jadi) scammer…kalau cakap begitu saya jumpa awak di mahkamah,” katanya lagi.

Semalam, Khairy mencabar pembangkang agar membuat tuduhan dengan jelas apabila cuba mengaitkan beliau dengan kluster mahkamah.

Katanya pembangkang tidak perlu berselindung apabila membuat tuduhan, apatah melibatkan cerita-cerita lama yang telah terbukti tiada pendakwaan dan bukti untuk mengheretnya ke mahkmah.

Untuk rekod, Khairy telah berkali-kali memberi penjelasan bahawa kes itu tidak melibatkan beliau dan sehingga ke hari ini, tiada satu pun kertas siasatan dibuka ke atasnya.

Kemudian Ramanan pula berkata sedia disaman kerana menyifatkan tuduhannya bukan baharu tetapi pernah berbangkit sebelum ini.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram