“Fenomena gerhana tanda hampirnya kiamat?” – Ustazah Asma’ Harun beri penjelasan. Turut kongsi panduan solat gerhana

Dari Penulis

Fenomena gerhana bulan penuh akan berlaku pada 8 November 2022 mulai 4.02 petang dan berakhir pada jam 9.56 malam. Fenomena ini dapat dilihat secara keseluruhan di Asia, Australia, Amerika Utara dan Selatan serta sebahagian utara dan timur Eropah.

Pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun menerusi laman sosial miliknya turut berkongsi persoalan adakah benar fenomena gerhana menandakan hampirnya kiamat dan sunnah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW yang boleh dicontohi ketika berlakunya gerhana bulan.

“ADAKAH BENAR FENOMENA GERHANA TANDA HAMPIRNYA KIAMAT? ?

Salah satu tanda besar kiamat adalah apabila berlakunya 3 gerhana. Ini disebutkan di dalam hadis Rasulullah SAW:

Daripada Huzaifah bin Asid al-Ghifari berkata:

“Telah muncul Rasulullah SAW di samping kami apabila kami sedang berbincang. “Maka Baginda SAW bertanya: “Apa yang kamu bincangkan?” Mereka menjawab: “Kami sedang membicarakan perihal al-Sa’ah (hari Kiamat).” Lalu Nabi SAW bersabda:

إِنَّهَا لَنْ تَقُومَ حَتَّى تَرَوْنَ قَبْلَهَا عَشْرَ آيَاتٍ – فَذَكَرَ – الدُّخَانَ، وَالدَّجَّالَ، وَالدَّابَّةَ، وَطُلُوعَ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا، وَنُزُولَ عِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَيَأَجُوجَ وَمَأْجُوجَ، وَثَلَاثَةَ خُسُوفٍ: خَسْفٌ بِالْمَشْرِقِ، وَخَسْفٌ بِالْمَغْرِبِ، وَخَسْفٌ بِجَزِيرَةِ الْعَرَبِ، وَآخِرُ ذَلِكَ نَارٌ تَخْرُجُ مِنَ الْيَمَنِ، تَطْرُدُ النَّاسَ إِلَى مَحْشَرِهِمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya ia (hari Kiamat) tidak akan berlaku melainkan setelah kamu melihat sebelum daripadanya sepuluh tanda.” “Baginda SAW menyebut (tanda-tanda tersebut): Asap, Dajjal, al-Dabah, terbitnya matahari dari barat, turunnya Nabi Isa anak kepada Maryam, Ya’juj dan Ma’juj dan tiga gerhana iaitu satu gerhana di Timur, satu gerhana di Barat dan satu lagi gerhana di rantau atau jazirah Arab. Seterusnya, yang terakhir adalah keluarnya api dari Yaman yang menghalau manusia ke Mahsyar mereka.”

(HR Muslim, hadis sahih)

NAMUN GERHANA BULAN PENUH PADA HARI INI BUKANLAH GERHANA SEPERTI YANG DIMAKSUDKAN DALAM HADIS DI ATAS.

InsyaAllah, kita akan berpeluang menyaksikan fenomena ini pada 8 NOVEMBER 2022/ 13 RABIULAKHIR 1444, mulai jam 5:09 petang dan berakhir pada jam 8:49 malam.

Tetapi, apa yang lebih penting adalah, apakah sunnah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW yang boleh kita contohi ketika berlakunya gerhana bulan?

PERINGATAN NABI MUHAMMAD SAW KETIKA BERLAKUNYA GERHANA

1. MEMPERBANYAKKAN MENGINGATI ALLAH   

Dalam hadis Aisyah r.a. disebutkan:

فَإِذَا رَأَيْتُمْ كُسُوْفًا فَاذْكُرُوْا اللهُ حَتَّى يَنْجَلِيَا

Maksudnya: “Apabila kamu melihat gerhana, ingatlah kepada Allah sehingga kedua-duanya kembali tenang.”

(HR Muslim, hadis sahih)

2. MENDIRIKAN SOLAT SUNAT GERHANA

Daripada Aisyah r.a., Rasulullah SAW telah bersabda:

إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللهِ لَا يَخْسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلَا لِحَيَاتِهِ فَإِذَا رَأَيْتُمُوهَا فَافْزَعُوا لِلصَّلَاةِ وَقَالَ أَيْضًا فَصَلُّوا حَتَّى يُفَرِّجَ اللهُ عَنْكُمْ

Maksudnya: “Bahawasanya matahari dan bulan itu dua tanda daripada segala tanda-tanda yang menunjukkan keesaan dan kekuasaan Allah Taala, tiada gerhana keduanya kerana mati seseorang atau hidupnya, maka apabila kamu lihat akan demikian itu, maka hendaklah kamu sembahyang”, dan Baginda bersabda: “Maka sembahyanglah kamu hingga disingkap kembali oleh Allah kepada kamu semua (bulan dan matahari).

(HR al-Bukhari dan Muslim, hadis sahih)

3. BERTAKBIR, TAHMID DAN TAHLIL

Dari Abdurrahman bin Samurah berkata:

بَيْنَمَا أَنَا أَرْمِي بِأَسْهُمِي فِي حَيَاةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ انْكَسَفَتْ الشَّمْسُ فَنَبَذْتُهُنَّ وَقُلْتُ لَأَنْظُرَنَّ إِلَى مَا يَحْدُثُ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي انْكِسَافِ الشَّمْسِ الْيَوْمَ فَانْتَهَيْتُ إِلَيْهِ وَهُوَ رَافِعٌ يَدَيْهِ يَدْعُو وَيُكَبِّرُ وَيَحْمَدُ وَيُهَلِّلُ حَتَّى جُلِّيَ عَنْ الشَّمْسِ فَقَرَأَ سُورَتَيْنِ وَرَكَعَ رَكْعَتَيْنِ

Maksudnya: “Pada suatu waktu di masa Rasulullah SAW ketika aku sedang bermain panah, tiba-tiba terjadi gerhana matahari. Lalu kulemparkan semua alat permainanku itu. Aku berkata; “Aku akan melihat apakah gerangan yang dilakukan Rasulullah SAW apabila terjadi gerhana matahari seperti itu. Setelah aku sampai ke tempat Baginda, aku dapati Baginda sedang mengangkat tangannya berdoa, takbir, tahmid dan tahlil sehingga matahari terang kembali. Baginda membaca dua surah dan solat dua rakaat.”

(HR Muslim, hadis sahih)

4. BERZIKIR DAN BERISTIGHFAR

Ketika berlakunya gerhana, Rasulullah SAW menggalakkan untuk kita memperbanyakkan berzikir dan beristighfar iaitu memohon ampun kepada Allah SWT.

Dari Abu Burdah dari Abu Musa berkata;

خَسَفَتْ الشَّمْسُ فَقَامَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَزِعًا يَخْشَى أَنْ تَكُونَ السَّاعَةُ فَأَتَى الْمَسْجِدَ فَصَلَّى بِأَطْوَلِ قِيَامٍ وَرُكُوعٍ وَسُجُودٍ رَأَيْتُهُ قَطُّ يَفْعَلُهُ وَقَالَ هَذِهِ الْآيَاتُ الَّتِي يُرْسِلُ اللَّهُ لَا تَكُونُ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلَا لِحَيَاتِهِ وَلَكِنْ { يُخَوِّفُ اللَّهُ بِهِ عِبَادَهُ } فَإِذَا رَأَيْتُمْ شَيْئًا مِنْ ذَلِكَ فَافْزَعُوا إِلَى ذِكْرِهِ وَدُعَائِهِ وَاسْتِغْفَار

Maksudnya:“Ketika terjadi gerhana matahari, Rasulullah SAW berdiri dengan tergesa-gesa seolah akan terjadi hari kiamat. Baginda lantas mendatangi masjid dan solat dengan berdiri, rukuk dan sujud yang paling panjang, yang pernah aku lihat dari yang Baginda pernah lakukan. Kemudian Baginda bersabda: “Inilah dua tanda-tanda yang Allah hantarkan, ia (gerhana) tidak berlaku kerana hidup atau matinya seseorang, tetapi ‘(Dia, Allah menakutkan hamba-hambaNya dengannya)’ (Qs. Az Zumar: 16). Maka jika kamu melihat sesuatu padanya (gerhana), maka segeralah untuk mengingat Allah, berdoa dan minta keampunan.”

(HR Bukhari, hadis sahih)

5. BERSEDEKAH

Daripada ‘Aisyah bahawa Rasulullah SAW  bersabda.

 أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الشَّمْسُ وَالْقَمَرُ لَا يُخْسَفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلَا لِحَيَاتِهِ فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ فَادْعُوا اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَكَبِّرُوا وَتَصَدَّقُوا

Maksudnya: “Terjadinya gerhana matahari dan bulan bukanlah kerana mati atau hidupnya salah seorang, apabila kamu melihat perkara itu, maka berdoalah kepada Allah SWT, bertakbirlah serta perbanyakkan bersedekah.”

(HR Abu Daud, hadis sahih)

HUKUM SOLAT GERHANA

Dalam mazhab Syafii, mendirikan solat sunat gerhana adalah sunat muakkad, iaitu sunat yang dituntut untuk melakukannya.

Hal ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

وَمِنْ أَيٰتِهِ الَّيْلُ وَالنَّهَارُ وَالشَّمْسُ وَالْقَمَرُۗ لَا تَسْجُدُوا لِلشَّمْسِ وَلَا لِلْقَمَرِ وَاسْجُدُوا لِلّٰهِ الَّذِي خَلَقَهُنَّ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

Maksudnya: “Dan sebahagian dari tanda-tanda kebesaran-Nya ialah malam, siang, matahari dan bulan. Janganlah bersujud kepada matahari dan jangan (pula) kepada bulan, tetapi bersujudlah kepada Allah yang menciptakannya, jika kamu hanya menyembah kepada-Nya.”

(Surah Fussilat: 37)

WAKTU SOLAT SUNAT GERHANA

Solat gerhana bulan boleh dilakukan bermula apabila ternyata berlakunya gerhana bulan dan tamat dengan berakhirnya gerhana serta naiknya matahari.

TIDAK HARUS MELAKUKAN SOLAT SUNAT GERHANA KETIKA:

1. Bulan menjadi terang kembali kerana cahaya matahari tidak lagi dihalang oleh bumi.

2. Apabila terbit matahari hingga bulan tidak lagi kelihatan walaupun gerhana bulan berlaku ketika itu. Namun, jika matahari terbit tetapi bulan yang sedang gerhana masih kelihatan, maka solat sunat gerhana masih boleh dilakukan.

TATACARA MENDIRIKAN SOLAT SUNAT GERHANA

Berdasarkan kepada mazhab Syafii, ketika berlakunya gerhana, solat ini masih boleh dilaksanakan walaupun berada dalam waktu tahrim (waktu yang diharamkan solat).

Solat gerhana dilakukan sekurang-kurangnya 2 rakaat seperti solat sunat biasa. Ia dilakukan dengan dua kali rukuk dan dua kali berdiri, pada tiap-tiap satu rakaat.

Secara ringkasnya adalah seperti berikut:

RAKAAT PERTAMA

1. Niat.

2. Takbiratul Ihram.

3. Membaca surah al-Fatihah.

4. Membaca surah al-Baqarah atau mana-mana surah.

5. Rukuk dan membaca 100 kali tasbih.

6. Iktidal serta membaca surah al-Fatihah.

7. Membaca surah Ali ‘Imran atau mana-mana surah.

8. Rukuk dan membaca 90 kali tasbih.

9. Iktidal.

10. Sujud.

11. Duduk antara dua sujud.

12. Sujud.

RAKAAT KEDUA

1. Membaca surah al-Fatihah.

2. Membaca surah al-Nisa’ atau mana-mana surah.

3. Rukuk dan membaca 70 kali tasbih.

4. Iktidal serta membaca surah al-Fatihah.

5. Membaca surah al-Mai’dah atau mana-mana surah.

6. Rukuk dan membaca 50 kali tasbih.

7. Iktidal.

8. Sujud.

9. Duduk antara dua sujud.

10. Sujud.

11. Membaca tasyahud akhir.

12. Memberi salam.

13. Khutbah gerhana.

? Sunat menyaringkan suara pada bacaan al-Fatihah dan surah lain ketika solat sunat gerhana bulan.

? Mazhab Syafii menyatakan sunat untuk melakukan khutbah selepas solat gerhana ini.

MENGAPA DIGALAKKAN UNTUK MEMBACA SURAH YANG PANJANG DALAM SOLAT GERHANA?

Hal ini adalah kerana Aisyah r.a., berkata:

خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالنَّاسِ فَقَامَ فَأَطَالَ الْقِيَامَ

Maksudnya: “Telah terjadi gerhana matahari pada masa Rasulullah SAW lalu Baginda mengimami solat orang ramai. Baginda berdiri dan memperlamakan berdiri.”

(HR al-Bukhari, hadis sahih)

Ibnu Hajar al-‘Asqalani menjelaskan dalam kitab Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari mengenai lamanya Baginda SAW berdiri bahawa:

Disebutkan dalam hadis Ibnu Abbas seperti yang disebutkan setelah empat bab iaitu:

فَقَرَأَ نَحْوًا مِنْ سُورَة الْبَقَرَة فِي الرَّكْعَة الأُولَى

Maksudnya: “Baginda membaca ayat seperti panjangnya surah al-Baqarah pada rakaat pertama.”

Abu Daud juga meriwayatkan melalui jalur Sulaiman bin Yasar daripada Urwah sambil menambah lafaz:

قَرَأَ فِي الْقِيَام الأَوَّل مِنْ الرَّكْعَة الثَّانِيَة نَحْوًا مِنْ آل عِمْرَان

Maksudnya: “Baginda SAW membaca (ayat) seperti panjangnya surah Ali ‘Imran ketika berdiri pertama pada rakaat kedua.

Walau bagaimanapun, surah panjang tersebut hanyalah sekadar surah yang disarankan untuk membacanya ketika menunaikan solat gerhana.

Boleh juga jika kita membaca mana-mana surah yang lain seperti surah al-A’la, surah al-Ghashiyah, surah al-Syams, surah al-Zalzalah dan sebagainya.

NIAT SOLAT SUNAT GERHANA BULAN

Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Bulan (bersendirian)

أُصَلّى سُنَّةُ الخُسُوفِ رَكْعَتَيْنِ للَّهِ تَعَالَى

Maksudnya: “Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat kerana Allah Taala.”

Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Bulan (berjemaah)

أُصَلّى سُنَّةُ الخُسُوفِ رَكْعَتَيْنِ إِمَامًا/مَأْمُومًا للَّهِ تَعَالَى

Maksudnya: “Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat sebagai imam/makmum kerana Allah Taala.”

Mari sama-sama kita memperbanyakkan amalan ketika berlakunya gerhana bulan seperti yang telah disarankan Rasulullah SAW, mudah-mudahan segala amalan yang dilakukan sentiasa menjadikan kita hamba Allah yang mengharap Syurga dan redaNya ?

RUJUKAN

1. Ensiklopedia Solat (Rohidzir Rais, Fuad ismail dan Mohd. Wahid Abd. Hanif).

2. Laman Web Rasmi Mufti Wilayah Persekutuan

3. Laman Web Rasmi Agensi Angkasa Malaysia (MYSA)

4. Kaifiyat Solat Sunat Gerhana Matahari dan Bulan

5. Khutbah Gerhana Bulan Separa

Semoga bermanfaat buat semua.?

SILAKAN SHARE, KITA BERKONGSI KEBAIKAN DAN GANJARAN PAHALA. ???   

Asma’ binti Harun & Tim Penyelidikan

#UAHSahabatDuniaAkhirat”

Kredit : Asma’ binti Harun


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Bokitta Alamanda berwajah baharu, berkonsepkan ‘Premium Lifestyle’

BOKITTA, jenama tudung Muslimah premium sememangnya terkenal dengan rekaannya yang moden dengan ciri eksklusif yang bebas pin, selesa dan...

More Articles Like This