JURI tetap Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9), Datuk Syafinaz Selamat mengulas mengenai penampilan yang dianggap terlalu seksi ketika tampil pada program realiti terbabit, semalam.
Jelas Syafinaz, dia mahu jalani hidup dengan gembira tanpa memerlukan nasihat daripada orang lain.
“Kalau tak suka, ‘just swipe’ (abaikan). Dari dahulu sampai sekarang, inilah saya. Usia saya bakal mencecah 50 tahun pada tahun hadapan. Saya tidak mahu hidup saya dikongkong oleh orang lain.
“Jadi kalau anda suka dan gembira dengan saya, ikutlah. Tapi kalau anda tidak gembira (dengan penampilannya), abaikan.
“Semuanya pilihan kita sendiri. Nak komen pun jika perlu sahaja. Kalau rasa tak nak komen, jangan komen apa-apa,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Dalam pada itu, Syafinaz turut berpesan kepada orang ramai supaya tidak memberi komen kepada sesiapa.
“Kenapa awak perlu susahkan hati dan minta? Saya tidak rasa Tuhan kata awak perlu komen semua orang dalam dunia ini.
“Jalani kehidupan anda sendiri. Saya tidak kacau awak, awak jangan kacau saya,” katanya.
Terdahulu, penampilan Syafinaz di minggu suku akhir GV9 semalam telah mengundang reaksi negatif warganet yang rata-rata mengatakan pakaiannya itu terlalu mencolok mata dan tidak sesuai untuk digayakan dalam program hiburan yang ditonton oleh semua golongan usia.

