hukum persepsi dalam Islam
Antara kain rentang memaparkan kata-kata tidak puas hati berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). GAMBAR: Polis

Spekulasi: Seorang Menteri Besar (MB) dikhabarkan sedang berhadapan dengan krisis penentangan daripada dalam parti yang diketuai oleh timbalan beliau sendiri. Timbalan Menteri Besar (TMB) tersebut dikatakan menyanggah keputusan yang telah dibuat oleh MB sebelum ini, iaitu tidak bersetuju dengan projek melombong pasir yang dikhuatiri boleh menyebabkan tebing sungai mengalami hakisan yang teruk, dan seterusnya menyusahkan penduduk kampung yang rutin harian mereka bergantung kepada sungai sebagai punca rezeki.

Menurut beberapa penganalisis politik, tindakan TMB tersebut yang baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bahawa sebuah syarikat telah berjaya dalam membida projek tersebut dianggap telah mendahului MB dan seolah-olah mahu memaksa MB meneruskan projek yang menyusahkan rakyat itu. Kes ini mengesahkan lagi desas-desus yang mengatakan bahawa MB dan timbalannya itu sudah lama tidak sehaluan dan kedua-dua pihak dikatakan saling lobi melobi pimpinan atasan parti untuk terpilih sebagai calon MB selepas Pilihan raya Umum (PRU) Ke-15 nanti.

Contoh spekulasi di atas antara ke sekian banyak spekulasi yang kita sering dengar dan baca melalui media massa, termasuk di Internet. Selain politik, kita juga selalu mendengar spekulasi dalam dunia hiburan, ekonomi, sukan, bisnes, isu-isu antarabangsa, dan sebagainya.

Malah, dalam dunia moden hari ini, spekulasi sudah menjadi sesuatu yang tidak boleh dielakkan dan dalam keadaan tertentu menjadi suatu kemestian pula. Nak tak nak, kita semua terlibat sama ada secara langsung mahu pun tidak langsung dalam spekulasi.

Dalam dunia bisnes dan ekonomi contohnya, khususnya yang berteraskan ekonomi kapitalisme, spekulasi-spekulasi yang dibuat oleh para spekulator telah menjadi sumber rujukan utama sebelum para pemain dalam bursa saham membuat keputusan dalam pelaburan mereka.

Lebih daripada itu, spekulasi juga boleh menyebabkan sesebuah negara terjebak dalam krisis ekonomi yang teruk sebagaimana yang pernah dialami oleh negara ini pada tahun 1997 dahulu akibat spekulasi mata wang pada masa itu.

Sebelum ini, dalam majalah al Islam, saya telah mengupas serba sedikit spekulasi yang berlaku dalam dunia hiburan, atau yang selalu kita sebut sebagai gosip. Maka pada kali ini, saya mahu mengajak para pembaca sekalian untuk kita sama-sama merenung sejenak permainan spekulasi yang berlaku dalam dunia politik. Hal ini memandangkan kita semua kini berada dalam mood PRU Ke-15.

Dalam politik, spekulasi pada kebiasaannya sering digunakan oleh parti-parti politik, atau ahli-ahli politik sebagai alat, atau senjata untuk menyerang pihak lawan, sama ada dari luar mahu pun dari dalam parti. Dalam hal ini, spekulasi berfungsi memberi persepsi negatif terhadap pihak lawan dengan harapan para pengundi, atau perwakilan akan terpengaruh dengan spekulasi-spekulasi tersebut, lalu tidak bersedia untuk memberi undi kepada pihak-pihak, atau individu-individu yang menjadi sasaran spekulasi tersebut.

Betapa banyak kita tengok ahli politik yang tersungkur dalam pilihan raya, atau pemilihan parti, atau yang terpaksa dan dipaksa meletak jawatan dalam kerajaan dan parti gara-gara gagal menangani dan menjawab spekulasi yang melingkari dirinya sehingga boleh menjejaskan imej diri dan parti.

Apa yang pernah berlaku ke atas bekas seorang MB dari sebuah negeri di pantai barat pada tahun 2000 sebelum ini menunjukkan bahawa spekulasi adalah senjata yang bersifat serampang dua mata.

Selain berfungsi memaparkan persepsi negatif, spekulasi juga boleh berperanan mewujudkan persepsi positif terhadap parti yang diwakili, atau pemimpin yang disayangi. Maka diuar-uarkan kononnya jika si polan bin si polan menjadi wakil rakyat, kawasan yang diwakili olehnya akan mendapat kemajuan yang pesat lantaran hubungan yang baik antara calon tersebut dengan para pemimpin atasan yang berpengaruh.

Spekulasi dibenarkan? 

Ada sesetengah pihak berpendapat bahawa spekulasi dalam politik adalah sesuatu yang lumrah dan ‘dibenarkan’ lantaran pertembungan dalam politik seumpama suatu peperangan. Pepatah Arab ada menyebut “peperangan itu adalah tipu helah”.

Menjelang PRU bagitu banyak berita-berita spekulasi muncul bagi membunuh pihak lawan.. GAMBAR HIASAN: Abd Razak Aid

Oleh itu, spekulasi adalah ‘halal’ selagi kaedah ini mampu memberi kelebihan kepada individu terbabit, atau kumpulan yang diwakilinya, serta mendatangkan kesusahan dan masalah kepada pihak lawan.

Perlu juga disedari bahawa bukan semua spekulasi tidak betul dan bohong semata-mata. Malah, sebahagian daripada spekulasi mempunyai kebarangkalian yang besar untuk boleh dipercayai, khususnya jika disertai dengan hujah, fakta, dan petunjuk yang sukar ditangkis oleh pihak lawan.

Namun, sekiranya spekulasi tersebut hanya berdasarkan khabar angin, atau dengar cakap semata-mata, sebagai orang Islam kita seharusnya bimbang dengan amaran daripada Allah dalam surah al-Hujurat: 12

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa …”.

Apatah lagi jika spekulasi tersebut diheboh-hebohkan oleh individu dan golongan yang mempunyai sifat-sifat orang munafik dan fasik. Firman Allah dalam surah al-Hujurat: 6

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”.

Justeru, dalam keghairahan kita memilih Yang Berhormat (YB) sama ada bagi kawasan Parlimen mahu pun Dewan Undangan Negeri (DUN), hendaknya kita semua berhati-hati agar tidak terpengaruh dengan sebarang spekulasi liar yang tidak berasas, khususnya spekulasi-spekulasi yang berbentuk menyerang peribadi calon yang bertanding.

Sebaliknya, pemilihan dan penilaian kita semua hendaklah berpandukan kriteria-kriteria yang telah ditetapkan oleh Allah dalam al-Quran berkaitan ciri-ciri pemimpin yang baik dan berwibawa.

Antara ayat al-Quran yang berkaitan ialah firman-Nya dalam surah Yasin: 21  

“… Turutlah orang-orang yang tidak meminta kepada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk”,

Dan firman-Nya dalam surah al-Baqarah: 247

“… Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan…”

Melalui kedua-dua ayat al-Quran di atas, Allah Taala telah menetapkan empat kriteria utama dalam pemilihan calon pemimpin, iaitu:

* Calon tersebut adalah seorang yang dilihat ikhlas dalam perjuangannya, tidak menjadikan dunia politik sebagai batu loncatan untuknya meraih keuntungan dunia.

* Calon tersebut bergerak dan melakukan sesuatu berdasarkan hidayah dan panduan yang telah digariskan dalam Islam. Pendek kata, calon tersebut menjadikan al-Quran dan hadis Nabi s.a.w. sebagai rujukan utama dalam politiknya.

* Calon tersebut mempunyai ilmu pengetahuan yang mencukupi sehingga mampu menggalas tugas membangunkan bangsa dan negara.

* Calon tersebut mempunyai tubuh badan yang sesuai dan tahap kesihatan yang baik agar ia mampu memberi tumpuan yang sepenuhnya terhadap tugasnya sebagai wakil rakyat dan pemimpin.

Akhir kata, marilah kita sama-sama keluar beramai-ramai mengundi dalam PRU nanti kerana undi adalah hak kita. Jangan mensia-siakan hak anda! Wallahu a’lam

Oleh: Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah, Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

_____________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram