Rahmat Allah untuk kafir

Rahmat atau kasih sayang yang Allah turunkan ke bumi ini, hasilnya ialah binatang buas pun boleh menyayangi anaknya dan manusia boleh duduk dan saling mengasihi walaupun tidak ada pertalian darah.

Ini salah satu ciri-ciri utama rahmat Allah. Jikalau kita meneliti kasih sayang Allah melalui huraian para ulama terhadap nama al-Rahman dan al-Rahim, kita akan dapati rahmat yang terkandung dalam nama al-Rahman dan al-Rahim itu merangkumi dunia dan juga akhirat.

Rahmat Allah di dunia merangkumi semua makhluk sama ada mukmin mahupun kafir. Adapun rahmat Allah di akhirat, dalam erti kata rahmat yang sebenar-benarnya iaitu syurga, hanya untuk hamba-hamba Allah yang beriman. Firman Allah dalam surah al-Ahzab: 43,

Dan adalah Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman.

Allah sebut lagi, dalam surah al-A’raf : 56,

Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik.

Cara meraih rahmat Allah

Al-Shaikh Abdul Rahman al-Sa’di di dalam kitabnya Bahjatu Qulubil Abrar menjelaskan, terdapat dua cara untuk mendapatkan sifat rahmat yang mulia. Pertama, melalui naluri di mana Allah meletakkan di dalam jiwa hamba-hamba-Nya sifat rahmat, kasihan dan sayang terhadap sekalian makhluk.

Lalu mereka pun bertindak mengikut naluri ini. Mereka akan mendapat pahala dengan usaha mereka memberi manfaat kepada sekalian makhluk mengikut kemampuan mereka. Bahkan Allah mungkin memberi mereka balasan baik kerana keikhlasan hati mereka melebihi usaha mereka.

Kedua, melalui pendidikan di mana seseorang hamba itu apabila mengetahui sesuatu amalan itu merupakan akhlak yang mulia, dia akan berusaha mendidik dirinya untuk melaksanakannya. Di sini dia bertindak demikian kerana dia meyakini pahala dan dosa yang Allah nyatakan untuk sesuatu amalan itu.

Maka, apabila kita melihat kepada realiti dewasa ini di mana ada ibu bapa yang sudah hilang rasa sayang kepada anak kandung sendiri sehingga sanggup dibunuh dengan kejam, pasti kita tertanya-tanya adakah sifat rahmat ini telah mula pudar?

Sebenarnya, apa yang berlaku ialah sebahagian manusia tidak memberi perhatian kepada dua cara ini. Ada kalanya mereka mengabaikan naluri dan fitrah murni yang tersemat dalam jiwa mereka. Hasilnya, sifat murni yang ada mula pudar dan mungkin boleh hilang sama sekali.

Ada kalanya pula mereka tidak berusaha menimba ilmu tentang nilai-nilai murni yang baru. Mereka malas belajar dan tidak ingin bertanya. Hasilnya mereka berterusan hidup dalam kejahilan dan ketandusan akhlak-akhlak mulia.

Semua makhluk di dunia mendapat rahmat Allah

Bersebab dari itu, timbullah insan yang tidak bersifat rahmat, atau lebih tepat lagi tidak berperikemanusiaan. Semoga Allah memudahkan untuk umat Islam bangkit menggilap semula jati diri Muslim dengan mempelajari nilai-nilai murni, mengamalkannya serta menyebarkannya dengan penuh dedikasi dan konsisten.

Syurga atas rahmat Allah

Kita perlu tahu segala usaha yang dilakukan tidak akan menjadi penjamin untuk masuk syurga. Dalam erti kata lain, amalan baik itu bukanlah pertukaran untuk syurga. Sebaliknya, amalan baik itu hanya mencerahkan peluang untuk masuk syurga.

Sebenarnya orang yang beramal baik itu akan masuk syurga dengan rahmat Allah dan kurniaan-Nya. Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Usahalah sebaik mungkin dan setepat mungkin dan bergembiralah. Sesungguhnya amalan seseorang itu tidak akan memasukkannya ke dalam syurga.” Mereka bertanya,

“Anda juga wahai Rasulullah?” Baginda jawab, “Saya juga begitu, kecuali Allah memeliharaku dengan keampunan dan rahmat.” (HR Bukhari & Muslim)

Hadis itu jelas mengaitkan kemasukan orang yang beriman ke dalam syurga dengan rahmat dan kurniaan Allah. Ini salah satu dari kesan 99 rahmat yang Allah simpan untuk hari akhirat.

Berbicara tentang rahmat, mungkin kita akan terfikir tentang berkat. Wujudkah perbezaan antara dua perkataan ini? Melihat ayat 21 dan 31 surah Maryam dapatlah kita rumuskan bahawa rahmat Allah menghasilkan keberkatan. Firman Allah dalam surah Maryam: 21,

“Jibril berkata,”Demikianlah”. Tuhanmu berfirman, “Hal itu adalah mudah bagiku, dan agar dapat Kami menjadikannya suatu tanda bagi manusia dan sebagai rahmat dari Kami, dan hal itu adalah suatu perkara yang sudah diputuskan”.”

Kemudian Allah nyatakan dalam ayat 31,

Dan Dia menjadikan aku seorang yang diberkati di mana saja aku berada, dan Dia memerintahkan kepadaku (mendirikan) solat dan (menunaikan) zakat selama aku hidup.”

Justeru, usahakanlah agar amalan kita mengundang rahmat Allah, kerana bila Allah merahmati kita, Dia akan memberkati kita. Wallahu a’lam

__________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram